SETIAP anak memiliki karakter tersendiri.
SETIAP anak memiliki karakter tersendiri.
Nurul Husna Mahmud


SETIAP ibu bapa memiliki cara tersendiri dalam membesarkan anak mereka.

Sebelum menentukan hala tuju asuhan mereka terhadap anak masing-masing, ibu bapa perlu terlebih dahulu 'mengenali' siapa sebenarnya anak mereka.

Menurut pakar klinikal psikologi dari Columbia Universiti, Amerika Syarikat, Dr Shefali Tsabary, ibu bapa lebih mudah mengasuh atau mengendali anak dengan memahami personaliti anak.

Beliau turut menerangkan bagi kanak-kanak terdapat enam jenis personaliti dan setiap satunya memiliki karakter tersendiri.

Berikut adalah enam personaliti boleh dilihat kepada anak-anak:

1. Mudah cemas

Anak-anak yang memiliki personaliti ini biasanya mempunyai sikap cerewet, cepat marah dan emosi mudah terjejas meskipun untuk perkara remeh.

Sudut positif karakter ini pula menjadikan kanak-kanak terbabit sangat sensitif dan mudah dipengaruhi.

Mereka cenderung untuk mengendalikan rasa bimbang terhadap sesuatu perkara yang berlaku di sekeliling mereka dengan baik.

Namun jika mereka berada pada tahap tidak mampu menanggung bebanan emosi atau perkara itu dirasakan terlalu membebankan, kanak-kanak itu tidak teragak-agak menunjukkan rasa cemas.

IBU bapa perlu faham personaliti anak.
IBU bapa perlu faham personaliti anak.

Petua bagi ibu bapa dengan kanak-kanak personaliti mudah cemas ialah tangani mereka dengan tegas dan tenang. Jika ibu bapa memberi reaksi sama ada dalam marah atau bimbang, ia boleh mencetuskan 'tsunami' emosi.

Puji mereka kerana kebolehan memahami sesuatu berlaku di persekitaran dan ajar bersikap tenang ketika keadaan memerlukan.

Contohnya lakukan aktiviti seperti meminta anak yang berasa gugup, tutup mata dan minta dia memikirkan sesuatu membuatkan dia selesa.

2. Si penjelajah yang hiperaktif.

Personaliti kanak-kanak ini tidak boleh duduk diam atau kekal berada di satu tempat.

Kanak-kanak ini sering dilabel sebagai 'menyusahkan' ibu bapa dan guru kerana mereka boleh menjadi sangat aktif sehingga tidak terkawal.

Tetapi kelebihan anak personaliti ini ialah mereka sangat berani meneroka sesuatu yang baru.

Petua ibu bapa ketika berdepan anak sebegini ialah ibu bapa perlu hormat dan tidak membuatkan anak berasa seperti dimalukan.

Latih anak dengan konsep menerima secara terbuka tanpa syarat supaya mereka boleh menyesuaikan diri dengan baik. Antaranya memuji kreativiti dan imaginasi si anak.

3. Mudah disantuni atau dilayan

Kanak-kanak dengan personaliti ini tidak ubah seperti mentega, lembut dan mudah dibentuk.

Mereka ini mudah menjadi 'mangsa' jika dibesarkan ibu bapa yang dominan atau memiliki keinginan tinggi untuk mengawal.

PEMALU perlu dorongan ibu bapa untuk kehadapan.
PEMALU perlu dorongan ibu bapa untuk kehadapan.

Malah mereka mudah mematuhi tugasan diberikan. Namun dalam keadaan tertentu mereka memberi tekanan kepada diri kerana keinginan tinggi untuk membantu.

Sebagai ibu bapa perlu ajar cara anak dengan personaliti terbabit melindungi hak mereka. Ingatkan anak supaya utamakan keperluan diri dan mengatakan tidak jika ada permintaan dirasakan keterlaluan.

4. Pemalu atau introvert

Kanak-kanak biasanya individu kuat berangan tetapi di sebalik cita-cita besar itu terdapat karakter pemalu dan 'introvert'.

Kanak-kanak dengan personaliti ini mudah bergelut dengan kemahiran sosial dan sukar memulakan perbualan.

Tidak hairanlah kanak-kanak sering menunjukkan sikap unik seperti merenung ke angkasa, mencoret buku nota atau menghabiskan banyak masa bersendirian sehingga tertanya sama ada mereka ini 'bertapa' di dalam rumah.

Justeru untuk tangani anak ini, masyarakat mungkin boleh memberitahu bahawa mereka harus menjadi sebaliknya.

Bantu mereka berasa selamat dan serlahkan kekuatan atau kelebihan diri.

5. Pemberontak

Karakter anak dengan personaliti ini boleh diibaratkan memiliki keinginan tinggi.

Mereka tidak akan mematuhi sehingga mereka yakin itu adalah sesuatu yang ingin lakukan.

Pakar dalam menilai karakter anak-anak sedia memahami betapa mencabarnya anak-anak dengan personaliti itu. Anak yang mempunyai keyakinan tinggi membuatkan dia tidak takut akan kuasa.

Kanak-kanak ini perlu berasa dihormati kerana keazaman mereka.

Ibu bapa boleh mulakan dengan pujian iaitu mengatakan suka keupayaan anak mengikut suara hati sendiri dan tidak dipengaruhi pendapat luar.

6. 'Happy-go-lucky' atau karakter ceria

Kanak-kanak ini sentiasa ketawa dan dalam mood yang baik. Mereka tidak cerewet atau suka memerintah.

Satu-satunya kelemahan personaliti ini ialah mereka boleh menjadi terlalu santai dan kelihatan tidak bermotivasi.

Akibatnya, sesetengah ibu bapa mungkin menganggap mereka sebagai tidak cukup bercita-cita tinggi.

Apa yang ibu bapa tidak sedar ialah kanak-kanak personaliti ceria sebenarnya adalah diperlukan mereka pada fasa perkembangan itu.

Jadi raikan pendekatan positif anak yang memiliki personaliti ceria kerana mereka boleh mewujudkan aura ceria dan kegembiraan dalam setiap situasi termasuklah memanfaatkan individu yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 6:08 AM