Muhamaad Razis Ismail


Penggunaan media sosial antara pelengkap dan gaya hidup masyarakat pada masa kini. Namun, situasi itu mendorong terjadinya perkara yang tidak dingini.

Baru-baru ini umpamanya, tular beberapa kes gangguan seksual berlaku di media sosial di negara ini.

Jika dahulu, gangguan seksual lazimnya berlaku secara bersemuka, kini ia mula menular di Internet.

Lebih membimbangkan penggunaan Internet yang semakin meluas membabitkan pelbagai lapisan masyarakat membuka ruang lebih luas terhadap perlakuan tidak bermoral ini.

Pensyarah Kanan di Jabatan Komunikasi, Pusat pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, jenayah dalam talian ini merujuk kepada sebarang tindakan atau aktiviti yang berbaur seksual kepada seseorang tanpa kerelaan atau keinginan penerima.

"Antara bentuk tindakan yang dapat diklasifikasikan sebagai gangguan seksual dalam talian ialah menghendap (stalking), memberi ucapan benci atau lucah, memeras ugut, memberi komen dengan niat untuk menimbulkan kemarahan pengguna lain (trolling), mencari dan menyebarkan maklumat sulit untuk memalukan atau menjatuhkan maruah seseorang (doxing).

"Selain itu, terdapat tindakan lain termasuk mengugut rogol, menyebarkan gambar atau video lucah bekas kekasih kerana berdendam (revenge porn), menghujani seseorang dengan sejumlah mesej yang besar secara berterusan dan menghantar kandungan berbentuk seksual kepada seseorang yang tidak menginginkannya," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas lanjut, berdasarkan beberapa kajian, gangguan seksual dalam talian boleh berlaku dalam tiga kategori iaitu

'Catfishing' membabitkan pelaku memperdaya mangsa untuk terjebak dengan hubungan romantik atau hubungan emosi dengan menipu mengenai maklumat diri atau menggunakan identiti orang lain.

INDIVIDU mempunyai kecelikan siber rendah sering menjadi mangsa.
INDIVIDU mempunyai kecelikan siber rendah sering menjadi mangsa.

"'Grooming' iaitu individu dewasa yang berkawan dengan kanak-kanak secara dalam talian sama ada secara terus dengan mangsa atau melalui ibu bapanya dengan motif untuk melakukan hubungan seksual dengan
mereka.

"Diikuti dengan 'Sexting' iaitu perlakuan mengirim atau menerima gambar, video, mesej berunsur lucah melalui pelbagai pelantar media baharu," katanya.

Menurutnya, statistik Malaysia Computer Emergency Response Team (MyCERT) di bawah CyberSecurity Malaysia menunjukkan pola gangguan dalam talian termasuk gangguan seksual yang meningkat kebelakangan ini.

"Pada tahun 2020, ia menunjukkan peningkatan ketara iaitu sejumlah 596 kes atau 5.5 peratus daripada aduan keseluruhan.

RAMAI mangsa beranggapan gangguan seksual sebagai taboo.
RAMAI mangsa beranggapan gangguan seksual sebagai taboo.

"Manakala statistik terkini (sehingga akhir Ogos 2021), jumlah aduan gangguan dalam talian ialah sebanyak 301 kes atau mewakili 9.4 peratus aduan keseluruhan," kata Dr Mohd Khairie.

Beliau yang juga ketua di Advanced Communication Research Unit (ACRU) UUM berkata, pemangsa atau penjenayah ini umumnya beranggapan bahawa dengan media sosial mereka sukar dikesan dengan menggunakan penyamaran identiti.

"Namun hakikatnya kesan jejakan (footprint) menerusi aktiviti secara dalam talian lebih mudah dikesan secara amnya. Mereka ini juga berani disebabkan masalah ketagihan terhadap perilaku itu.

"Mereka bukan sahaja dianggap berani tetapi melihat bahawa media sosial adalah suatu tapak atau sumber yang lebih berpotensi luas untuk mendapatkan mangsa disebabkan mudah melakukan penyamaran diri," katanya.

Beliau menjangkakan remaja atau awal dewasa di bawah usia 24 tahun berisiko mengalami gangguan seksual di media sosial.

IBU bapa perlu memantau gejala gangguan seksual dalam kalangan keluarga.
IBU bapa perlu memantau gejala gangguan seksual dalam kalangan keluarga.

"Kumpulan ini dilihat amat rapat dan membesar dengan fenomena siber atau digital selain kurang pengalaman dan kematangan berhubung gangguan seksual.

"Bagaimanapun, gangguan seksual boleh berlaku terhadap pengguna yang mempunyai tahap kecelikan dan kemahiran menggunakan media sosial yang rendah," katanya.

Jelasnya, kecelikan siber atau kesedaran dan pengetahuan siber dalam kalangan masyarakat masih lagi belum memuaskan. "Disebabkan itu kebanyakan isu seperti gangguan seksual dalam talian tidak mereka sedari. Mungkin ada yang mengatakan mereka mengambil ringan, tetapi hal ini berlaku disebabkan kurang atau rendahnya tahap kesedaran dan kemahiran bermedia sosial.

"Seperkara lagi ialah mangsa beranggapan hal berkaitan seksual ini sebagai taboo yang tidak akan mereka kongsi atau dedahkan kepada orang lain," katanya.

Beliau berkata, kesan awal terhadap mangsa gangguan seksual di Internet, lazimnya adalah tekanan psikologi.

"Jika tidak ditangani atau mendapatkan bantuan dan berlaku secara berterusan ia akan membawa kepada trauma yang teruk hatta boleh membawa kepada permasalahan mental.

"Gangguan seksual membabitkan media sosial secara terbuka pastinya akan memberi impak psiko-sosial yang lebih parah dan mungkin mangsa mengambil keputusan yang sangat dahsyat seperti bunuh diri," katanya.

Justeru itu, beliau menyarankan semua pihak termasuk ibu bapa meningkatkan kesedaran bagi memantau gejala gangguan seksual dalam kalangan ahli keluarga mereka.

"Agensi kerajaan dengan kerjasama pertubuhan masyarakat madani (civil society organisation) wajar meningkatkan usaha mendidik dan meningkatkan celik siber dalam kalangan masyarakat Malaysia.

"Kerajaan perlu segera membentangkan dan meluluskan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual di Parlimen dan memastikan akta itu dapat menangani bukan sahaja dalam konteks gangguan berbentuk fizikal malah secara dalam talian.

"Peningkatan kesedaran mengenai ancaman gangguan seksual dalam talian adalah kunci utama pada ketika ini untuk membendung dan memerangi jenayah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 7:00 AM