Yusliza Yakimir Abd Talib


Kadar penetrasi Internet dan penggunaan media sosial yang semakin tinggi di Malaysia kini bukan saja menjurus kepada peningkatan kes buli dalam talian, malah turut mempengaruhi pertambahan kes gangguan siber sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Seiring usaha meningkatkan kesedaran orang awam, khususnya ibu bapa dan anak muda terhadap pentingnya mengawal tingkah laku ketika melayari Internet, Gabungan Menentang Gangguan dan Ancaman Siber (PeopleACT) tampil melancarkan kempen #WiseUpWithWan.

Ia sebagai sebahagian daripada strategi lebih luas untuk menangani komen di dalam talian yang berbentuk kebencian, mengaibkan, ugutan, ancaman rogol atau bunuh dan lain bentuk keganasan lain di ruang siber.

Realitinya, gangguan siber tidak boleh dipandang enteng berikutan sudah menjadi ancaman ketiga paling berbahaya selepas penipuan dan pencerobohan. Hal ini dilaporkan sendiri agensi pakar teknikal keselamatan siber di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), CyberSecurity Malaysia.

Satu kaji selidik yang dijalankan oleh PeopleACT tahun lalu mendapati bahawa 400 rakyat Malaysia merasakan komen yang berbentuk kebencian adalah satu bentuk keganasan siber.

Menurut kajian itu lagi, satu daripada enam lelaki (dibandingkan dengan satu daripada sembilan wanita) pernah dimalukan di atas talian dengan butiran peribadi dan gambar mereka didedahkan seseorang yang tidak bersetuju dengan mereka.

Bagaimanapun, wanita (20.9 peratus) didapati mengalami dua kali ganda risiko menjadi mangsa gangguan seksual di atas talian berbanding lelaki (9.8 peratus).

Ahli kempen PeopleACT, Lim Ka Ea berkata, pengguna Internet sering berasakan diri mereka bebas menggunakan perkataan dan gambar yang cenderung membangkitkan kemarahan orang lain, khususnya mereka yang lemah.

Namun katanya, terdapat satu peringkat ejekan atau cemuhan meningkat melampaui batasan, seterusnya menjurus ke arah gangguan siber atau siber-hendap (cyberstalking).

“PeopleACT adalah gabungan inisiatif Pusat Perlembagaan dan Hak Asasi Manusia Malaysia (MCCHR) di bawah cabang program UndiMsia! Menerusi kempen #WiseUpWithWan, kami ingin mempamerkan mesej bantahan terhadap pengganggu siber dan menggalakkan netizen untuk memilih kata-kata mereka secara bijak dalam usaha menghapuskan keganasan serta kebencian dalam ruang siber yang dimiliki semua.

“Oleh kerana Internet bersifat tanpa nama (anonymous), pengacau dalam atas talian Berasa berani dan tidak segan membuat ancaman bunuh, rogol dan lain-lain komentar yang kesat.

“Dengan bermulanya kempen ini, kami berharap dapat mewujudkan persekitaran siber yang lebih selamat, saling menghormati dan dalam masa sama memperkasakan rakyat Malaysia melalui reformasi perundangan dan kesedaran awam,” katanya.

Setiap poster membawa mesej tegas untuk mencabar dan menghentikan penggunaan komen kebencian yang memudaratkan di atas talian.

Ucapan kasar seperti ‘sundal, balik ke negara kau’ atau ugutan ‘kalau aku jumpa kau, aku tembak’, mahupun kenyataan yang kebanyakan daripada kita berasakan tidak begitu mengganggu seperti ‘bodohnya kau’, boleh merendahkan maruah, sekali gus membawa kepada kebencian jika tidak ditangani sewajarnya.

Wise Wan atau Wan yang Bijaksana diperkenalkan dalam bentuk watak fiksyen. Ia mengajak netizen berfikir sebelum mereka memuat naik sebarang komen dan tidak membiarkan gangguan siber meraih kemenangan. Kempen ini juga memberi alasan kepada orang ramai untuk bersikap bijak dalam melepaskan kebencian kerana kata-kata boleh mencederakan perasaan orang yang membaca, tanpa disedari.

Sepanjang tahun ini, PeopleACT mengadakan perjumpaan dan berunding dengan pihak berkepentingan, terdiri daripada wakil kerajaan dan bukan kerajaan untuk mengumpul data mengenai lima isu yang dibangkitkan dalam kertas isu yang dirangka tahun lalu. Gabungan ini menuntut penjelasan sama ada undang-undang di Malaysia sudah mencukupi untuk menangani masalah gangguan siber.

Untuk mengakhiri gangguan siber dan memastikan ruang siber Malaysia bebas daripada sebarang bentuk kebencian, PeopleACT mahu netizen membalas sebarang komen berbentuk kebencian di Internet dengan poster bersama hashtag #WiseUpWithWan. Poster berkenaan boleh dimuat turun menerusi laman web mcchr.org/sla/wiseupwithwan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 11:53 AM