FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Perbuatan mengintai atau menghendap di media sosial adalah satu kelakuan jenayah kerana ia boleh mengundang perasaan terancam dan tidak selamat kepada mangsa.

Hendap siber ini adalah tindakan mengekori pergerakan mangsa di media sosial dan pengumpulan data serta maklumat peribadi bagi tujuan tidak baik.

Pelaku menggunakan maklumat itu untuk menyebar dan membuat ugutan atau ancaman yang menyebabkan mangsa berasa tertekan serta ketakutan.

Ia dilakukan atas banyak alasan antaranya perasaan obses, minat atau benci yang melampau terhadap seseorang.

Perbuatan itu boleh menyebabkan seseorang mangsa mengalami gangguan emosi dan menggugat rutin kehidupan mereka.

Jenayah moden berkenaan boleh bermula hanya dengan gangguan melalui mesej, panggilan telefon, media sosial dan emel.

Jenayah terbabit juga boleh merebak kepada mengekori dan seterusnya menimbulkan rasa takut dan terancam kepada mangsa.

Beberapa negara luar sudah lama melaksanakan Anti-Stalking Law atau Undang-Undang Anti Hendap dan tindakan diambil segera apabila laporan dibuat kepada pihak berkuasa, selain mengenakan hukuman terhadap pesalah jika sabit kesalahan.

Di Malaysia, rang undang-undang Kanun Keseksaan (pindaan) 2022 berkenaan anti hendap itu baru sahaja diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Oktober tahun lalu.

Pindaan itu bertujuan memasukkan Seksyen 507A Kanun Keseksaan ke dalam Akta 574 untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan menghendap.

Ia menjadikan mengintai sama ada secara maya atau fizikal sebagai kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pada Mac lalu, kerajaan dilaporkan akan memasukkan penjejakan atau 'tracking' sebagai penambahbaikan terhadap RUU berkaitan jenayah intip dan hendap menerusi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dipetik berkata, penambahbaikan itu seiring perkembangan teknologi menerusi penggunaan peranti atau aplikasi penjejakan seperti Sistem Penentududukan Sejagat (GPS).

Beliau dilaporkan berkata, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh yang bertanggungjawab akan membawa RUU itu untuk bacaan kali kedua.

SKMM terima 13,290 aduan gangguan secara dalam talian

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merekodkan 13,290 aduan berkaitan gangguan secara dalam talian yang diterima sepanjang 2020 sehingga Januari lalu.

Jurucakap SKMM berkata, aduan gangguan yang diterima itu bukan saja buli, seksual, ancaman dan tindakan menakutkan tetapi juga menyalahgunakan maklumat, butiran atau gambar peribadi.

Menurutnya, gangguan seperti itu dipercayai bertujuan menganiaya, memalukan atau mengaibkan individu tertentu.

"Kesemua aduan yang diterima diteruskan dengan tindakan oleh SKMM termasuk merujuk kes terbabit kepada pihak penyedia platform media sosial.

"Untuk kes itu, SKMM menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, pindaan terhadap Akta 574 yang memasukkan Seksyen 507A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membabitkan aktiviti menghendap membolehkan siasatan lanjut dilakukan SKMM.

Justeru, beliau menasihati mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, aduan juga boleh dibuat kepada pihak SKMM melalui portal di https://aduan.skmm.gov.my.

Ditanya bagaimana orang ramai dapat mengelak menjadi mangsa, kata beliau, mereka perlu sentiasa peka dan tidak terlalu terbuka dalam berkongsi maklumat atau aktiviti harian di media sosial.

"Mangsa juga tidak digalakkan bertindak balas secara langsung terhadap penghendap kerana dikhuatiri mereka akan bertindak balas dengan lebih agresif," katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh dilaporkan berkata, penambahbaikan terhadap draf dua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan anti hendap dicadangkan bagi memastikan penekanan diberikan kepada kesalahan itu secara holistik serta merangkumi semua aspek perundangan.

FADHLI tak dapat beraksi tiga perlawanan sebelum ini.
FADHLI tak dapat beraksi tiga perlawanan sebelum ini.

Kenderaan dipasang GPS tanpa disedar

Bukan saja diintip di media sosial oleh bekas rakan lelakinya, seorang mangsa menghendap dalam talian turut diekori hingga kenderaannya dipasang dengan alat peranti sistem pemantau global (GPS) tanpa disedari.

Pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Suria, 31, itu berkata, tindakan lelaki berkenaan meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya dan dia masih trauma hingga kini.

Menceritakan kejadian terbabit, Suria yang berasal dari Kajang, Selangor berkata, semuanya terbongkar selepas dia menghantar kenderaannya untuk diservis sebelum mekanik menemui GPS di bawah keretanya itu.

"Sebelum ini, kami agak rapat sehinggalah saya menjauhkan diri daripadanya kerana dia seolah-olah mengongkong kehidupan saya.

"Sejak itu kami sudah tidak berhubung dan saya tidak mengesyaki apa-apa.

"Namun, selepas beberapa bulan saya kerap terserempak dengannya di mana-mana saja saya pergi.

"Mulanya, mulanya saya menyangkakan ia hanya secara kebetulan dan saya tidak mengambil pusing perkara itu.

"Lama-kelamaan saya mula berasa pelik dan ketakutan apabila dia turut menghubungi saya dan mengetahui keberadaan saya, malah pernah mengekori sehingga ke rumah," katanya.

Suria berkata, lelaki itu dikesan menggunakan akaun palsu di media sosial untuk melakukan hendap siber bagi mengetahui pergerakan dan aktiviti hariannya.

"Paling saya tidak boleh terima ialah apabila dia memasang alat GPS pada kenderaan saya untuk tahu ke mana saya pergi.

"Saya benar-benar terganggu dengan semua perlakuannya sehingga menimbulkan ketakutan," katanya.

Tidak tahan dengan ancaman dan perbuatan lelaki itu, Suria mengambil keputusan membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga.

Katanya, pegawai polis kemudiannya memberi amaran kepada pelaku terbabit supaya tidak terus mengekorinya lagi selain dia turut meminta bantuan ahli keluarga serta rakan untuk menemaninya apabila keluar.

Suria tidak menolak kemungkinan ramai wanita lain berdepan situasi sama dan tidak dapat berbuat apa-apa.

Beliau amat mengharapkan agar ada undang-undang bagi kesalahan mengendap termasuk di dalam talian dapat melindungi mangsa khususnya wanita daripada gangguan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 12:00 PM