GANGGUAN seksual kepada kanak-kanak boleh merosakkan masa hadapan mereka. - FOTO Google
GANGGUAN seksual kepada kanak-kanak boleh merosakkan masa hadapan mereka. - FOTO Google
Oleh Hafiz Ithnin


KES melanggar peradaban tamadun manusia membabitkan salah laku seksual dalam kalangan kanak-kanak nampaknya semakin menjadi-jadi.

Kadangkala individu yang diharapkan untuk membela kanak-kanak ibarat menjadi haruan yang membaham anaknya sendiri. Tidak sekadar itu, terdapat juga yang sanggup menjadi pembunuh kerana nafsu mereka!

Jijik dan hina. Dua frasa yang boleh dikategorikan kepada si pelaku jenayah seksual kanak-kanak kerana nafsu aneh yang terdesak!

Mengulas perkara itu, Penyelidik Pakar Pendidikan Pra-Formal Kanak-Kanak dan Timbalan Dekan di Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, semakin membangun dunia di sekeliling kita, semakin mencabar usaha membesarkan anak-anak.

"Dewasa ini kes jenayah serius seperti amang seksual kepada kanak-kanak dan remaja berlaku walaupun pihak berwajib sentiasa memantau dan mengambil tindakan pantas.

"Di alam maya Internet, orang dewasa yang berkecenderungan seksual songsang terhadap kanak-kanak dan remaja aktif menjadi pemangsa seksual untuk menjerat mangsa," katanya.

Tambahnya, di alam sebenar pula pemangsa seksual yang ingin mencabul kehormatan kanak-kanak dan remaja di bawah umur bebas berkeliaran di sana sini.

"Maka ibu bapa, ahli keluarga dan golongan pendidik perlu mengambil peranan kritikal untuk mengekang aktiviti songsang pemangsa seksual, sekali gus memastikan kebajikan serta kesejahteraan kanak-kanak selain remaja di bawah umur sentiasa terpelihara.

"Beberapa langkah pencegahan perlu diambil supaya kanak-kanak dan remaja dapat hidup dalam keadaan yang tenang tanpa gangguan seksual," katanya.

PERUBAHAN tingkah laku kanak-kanak seperti di bilik darjah perlu diperhatikan orang di sekeliling bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa jenayah gangguan seksual. - FOTO Google
PERUBAHAN tingkah laku kanak-kanak seperti di bilik darjah perlu diperhatikan orang di sekeliling bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa jenayah gangguan seksual. - FOTO Google

Jelasnya, apabila anak anda dihantar ke rumah penjaga atau tadika, pastikan ia tempat yang selamat.

"Di nurseri atau tadika di negara maju pula, menukar lampin pun perlu dilakukan dua guru atau penjaga iaitu seorang menukar dan seorang lagi memantau.

"Disebabkan di negara kita peraturan masih terkebelakang, ibu bapa dan pendidik prasekolah mesti memainkan peranan yang lebih besar ke arah ini," katanya.

Nasihatnya, jangan pandang lewa hal yang begitu penting seperti keselamatan anak kita di rumah penjaganya atau ketika di tadika.

"Langkah keselamatan kedua adalah sentiasa memantau penggunaan aplikasi komputer atau telefon pintar yang diakses anak anda.

"Anak saya umpamanya menyukai aplikasi 'Minecraft' yang boleh dimainkan di telefon pintar atau tablet. Walaupun aplikasi permainan ini baik untuk melatih kreativiti dan pemikiran. Namun ada segelintir yang bersifat kurang sopan.

"Permainan ini boleh dimain secara sosial (social gaming) dan kita boleh berkomunikasi dengan orang lain. Masalahnya bukan semua pemain yang berada atas talian ialah orang yang baik lagi budiman," tambahnya.

Katanya lagi, terdapat bukti yang menunjukkan pemangsa seksual suka menyelinap masuk ke aplikasi permainan yang digemari kanak-kanak dan remaja. Pastikan anda selalu memeriksa gajet anak anda untuk memastikan dia terlindung daripada orang yang tidak dikenali.

"Langkah ketiga ialah mendidik anak anda supaya dia tidak suka 'berahsia' pada setiap masa kerana ada pemangsa seksual yang cekap memanipulasi pemikiran kanak-kanak dengan bermacam-macam pujukan dan rayuan.

"Salah satu strategi jahat manusia seperti ini ialah dengan menyuruh anak anda berahsia dan menyimpan cerita daripada orang lain. Hal ini boleh berlaku di dunia maya atas talian atau di alam sebenar sekeliling kita," katanya.

Dr Airil Haimi menyarankan supaya mengajar anak-anak untuk tahu membezakan sentuhan yang 'Okey' dengan yang tidak.

"Orang kita pantang sangat kalau disebut 'pendidikan seksual'. Macam-macam pendapat yang kita dengar. Tetapi, tahukah anda salah satu rasional utama pendidikan seksual ialah untuk memastikan kanak-kanak dan remaja dapat menjaga keselamatan diri supaya tidak terjebak dalam perangkap pemangsa seksual?

"Anak-anak perlu diajar bahawa ada sentuhan yang 'Okey' dan ada pula yang tidak selain perlu diberitahu kepada orang lain," katanya.

KANAK-kanak sentiasa perlu berada dalam keadaan selamat. - FOTO Google
KANAK-kanak sentiasa perlu berada dalam keadaan selamat. - FOTO Google

Tambahnya lagi, terangkan dengan sejelas mungkin bahagian tubuh mana yang boleh disentuh dan yang mana tidak boleh sama sekali tanpa sebab yang munasabah begitu juga dengan orang yang tidak dikenali.

"Usaha seperti ini, dengan izin Tuhan, akan menyediakan anak anda untuk hidup dengan selamat dalam dunia yang ada penjenayah serta pemangsa seksual," katanya.

Dr Airil Haimi mengakui sedih apabila terdengar cerita bahawa ramai penjenayah paedofilia atau orang dewasa yang bernafsu songsang terhadap kanak-kanak dan pemangsa seksual terdiri daripada orang yang dikenali atau ahli keluarga sendiri.

"Lebih menyedihkan, apabila berlakunya hal yang tragis ini, ahli keluarga sendiri kata mereka 'tak sangka' atau 'tak tahu pun' kejahatan teruk ini sedang berlaku dalam rumah. Maka pastikan anda bersedia mendengar segala cerita, keluh dan kesah anak anda pada setiap masa serta ketika," katanya.

Katanya, ibu bapa perlu perhatikan petanda gangguan keselamatan diri anak mereka.

"Jangan cepat menidakkan jika sesuatu hal buruk mungkin berlaku kepada anak anda kerana ia tidak mengenal usianya. Tindakan pantas perlu diambil supaya bantuan dapat diberikan kepada anak itu selain tindakan undang-undang boleh diambil terhadap si pelaku yang berperangai binatang sebelum dia memboloskan diri.

"Perhatikan petanda yang menunjukkan anak anda mungkin menjadi mangsa jenayah atau penderaan seksual.

"Perubahan personaliti yang mendadak, menjadi pendiam tanpa sebab, hilang selera makan dengan tiba-tiba dan banyak petanda lain mungkin memberi petunjuk bahawa anak anda sudah menjadi mangsa pencabulan atau jenayah fizikal lain," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 7:00 AM