MANGSA buli boleh alami tekanan. - FOTO Google
MANGSA buli boleh alami tekanan. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


JIKA dulu, buli lazimnya berlaku secara bersemuka, namun di zaman serba canggih ini ia turut menular sehingga ke alam maya.

Lebih dikenali sebagai buli siber, perkara ini boleh berlaku dalam keadaan pihak terbabit dapat dihubungkan melalui internet

Lebih membimbangkan, ketika negara dilanda pandemik Covid-19 kejadian buli siber dilihat semakin membimbangkan.

Apa tidaknya, kaedah berkomunikasi dan bersosial secara norma baharu melalui internet yang semakin meluas membuka ruang terhadap perlakuan tidak bermoral ini.

Pensyarah Kanan di Jabatan Komunikasi, Pusat pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, buli siber dapat ditakrifkan sebagai satu bentuk gangguan sosial di era digital.

"Fenomena ini yang juga dikenali sebagai gangguan dalam talian adalah satu tindakan berunsur kekasaran oleh satu individu atau sekelompok individu terhadap individu atau sekumpulan individu lain dengan menggunakan teknologi komunikasi.

"Kekasaran yang dimaksudkan antaranya ialah menindas, menganiaya, menakutkan dan memburukkan seseorang menerusi ruang digital seperti di laman web, blog dan media," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, berdasarkan data CyberSecurity Malaysia menunjukkan terdapat pertambahan 129 peratus laporan kes buli siber pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, sekiranya diteliti lanjut pada 2019 berbanding 2018 menunjukkan penurunan.

"Oleh itu, dapat dirumuskan memang benar kes buli siber ketika Covid-19 amat merisaukan.

"Kita perlu sedar, data dari CyberSecurity itu adalah kes yang dilaporkan dan saya yakin banyak lagi kes yang berlaku namun tidak dilaporkan kepada agensi itu," katanya.

Beliau berkata, fenomena buli siber berleluasa ketika pandemik ini berikutan semua masyarakat mengamalkan kelaziman baharu dalam berkomunikasi atau bersosial.

NORMA baharu mendorong penggunaan internet lebih meluas. - FOTO Google
NORMA baharu mendorong penggunaan internet lebih meluas. - FOTO Google

IBU bapa perlu pantau anak-anak. - FOTO Google
IBU bapa perlu pantau anak-anak. - FOTO Google

"Covid-19 memaksa majoriti masyarakat tertumpu dalam alam siber bagi hampir kebanyakan aspek kehidupan.

"Semua keadaan ini membuka ruang kepada potensi gejala buli siber ketika Covid-19," katanya.

Berdasarkan beberapa kajian sama ada di peringkat global mahupun domestik terdapat beberapa tanda berlakunya buli siber antaranya mangsa disebut atau diberi gelaran yang tidak enak, memperlekeh dan sebagainya.

"Ada kalanya, mangsa juga menerima imej atau foto yang tidak menyenangkan tanpa diminta atau foto mangsa disebarkan tanpa keizinannya.

"Selain itu, mangsa juga sering menerima soalan di alam siber yang mengganggu peribadi atau pergerakan seseorang juga antara simptom pembulian berlaku. Ada juga keadaan di mana khabar angin mengenai mangsa disebarkan," katanya.

Mengulas lanjut, lazimnya tindakan buli siber ini membawa mangsa mengalami tekanan diri yang membawa kepada gejala negatif diri sehingga membunuh diri.

"Tindakan buli siber ini boleh disifatkan sebagai satu bentuk penyakit sosial. Malah di negara tertentu, fenomena ini dianggap sebagai satu bentuk jenayah sosial," katanya.

Beliau yang juga ketua di Advanced Communication Research Unit (ACRU) UUM berkata, masih ramai mangsa buli siber yang tidak melaporkan pelakuan jenayah ini sehingga ia masih berleluasa.

"Hakikatnya ramai mangsa mengambil tindakan untuk tidak melaporkan jenayah ini yang secara tidak langsung menggalakkan lagi pembuli siber.

"Sekurang-kurangnya berkongsi permasalahan terbabit dengan ahli keluarga atau rakan untuk mendapat bantuan supaya dapat memutus penularan jenayah sosial ini.

"Kita perlu bangkit bersama untuk menghentikan budaya negatif ini kerana alam siber adalah kelaziman baharu yang dapat memberi kesejahteraan kepada semua," katanya.

Justeru itu, bagi membendung budaya buli siber ini, masyarakat perlu ditingkatkan kecelikan digital mereka.

"Pembabitan semua pihak seperti ibu bapa, komuniti termasuk golongan agama perlu digembeleng bagi meningkatkan kesedaran semua lapisan masyarakat.

"Kerajaan perlu perkasakan lagi didikan literasi digital seiring dengan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 7:00 AM