JALANI pemeriksaan mata segera.
JALANI pemeriksaan mata segera.
Muhamaad Razis Ismail

Penuaan jenis basah atau wet AMD adalah salah satu punca utama golongan yang melebihi usia 65 tahun hilang penglihatan di Amerika Utara, Eropah, Australia dan Asia.

Malah, di negara ini kira-kira 46,000 rakyat Malaysia yang melebihi usia 45 tahun diketahui menghidap penyakit mata ini dan berisiko menjadi buta secara kekal.

Wet AMD ialah penyakit kronik yang menyebabkan salur darah abnormal tumbuh di bawah makula.

Makula ialah bahagian tengah retina dalam mata yang memberikan penglihatan pusat yang tajam dan jelas serta kebolehan mengenali warna.

Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Nor Fariza Ngah berkata, salur darah ini rapuh dan boleh bocor lalu menyebabkan penakungan cecair serta darah dalam makula.

"Kebocoran ini mengganggu binaan makula yang normal, akhirnya merosakkan makula dan meninggalkan parut mengakibatkan pesakit mengalami kemerosotan penglihatan.

"Antara simptom awal wet AMD ialah pandangan yang herot-berot dan kesukaran melihat objek dengan jelas," katanya.

PENUAAN jenis basah.
PENUAAN jenis basah.

Menurutnya, diagnosis dan rawatan segera amat penting kerana apabila penyakit ini semakin melarat, kerosakan sel bertambah teruk lalu mengurangkan lagi mutu penglihatan.

"Hal ini boleh mengakibatkan penglihatan pusat hilang sepenuhnya. Pesakit tidak dapat membaca, memandu mahupun mengecam muka dan akhirnya mereka tidak lagi boleh hidup berdikari," katanya.

Tambahnya, pada 2005, penyekat faktor pertumbuhan endotelium vaskular atau anti-VEGF dihasilkan, sekali gus memberikan harapan menambah baik penglihatan pesakit.

"Anti-VEGF ialah ubat yang diberikan secara suntikan untuk menyekat VEGF yang berlebihan dalam mata yang menggalakkan pertumbuhan salur darah secara abnormal di bawah makula.

"Rawatan ini dapat 'mengeringkan' cecair dalam retina dan melambatkan perkembangan wet AMD," katanya.

Beliau berkata, rawatan ini, biasanya bermula dengan suntikan bulanan dan keputusan untuk memanjangkan selang masa sehingga suntikan yang seterusnya dibuat berdasarkan respons penyakit terhadap rawatan itu.

"Kepatuhan terhadap jadual suntikan penting untuk memastikan pesakit mendapat manfaat terapeutik yang dihasratkan dan memperoleh hasil rawatan yang optimum.

MEMBERI kesan kepada penglihatan.
MEMBERI kesan kepada penglihatan.

"Suntikan yang kerap begini menimbulkan cabaran bagi pesakit dan ramai antara mereka menghadapi kesulitan apabila terpaksa menghadiri setiap janji temu," katanya.

Pada tahun lalu, brolucizumab, agen terapeutik anti-VEGF baharu oleh Novartis mendapat kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara di Malaysia dan juga kelulusan pertama di rantau ini.

Presiden & Pengarah Urusan Novartis Malaysia Patrik Grande berkata, brolucizumab mempunyai potensi membantu memanjangkan selang waktu antara dos kepada tiga bulan, sekali gus membolehkan pengurangan kekerapan suntikan.

"Ini dapat meringankan beban pesakit dan penjaga serta menambah baik pematuhan selain hasil rawatan secara keseluruhannya.

"Dengan adanya jadual rawatan yang lebih mudah diikuti, pesakit tidak perlu keluar begitu kerap ketika tempoh pandemik ini selain dapat meluangkan lebih masa terhadap perkara penting dalam hidup mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 6:25 AM