WAKIL media diberi peluang memakai cermin mata DME dan mengesan pelbagai objek ketika pelancaran EYLEA di Malaysia, baru-baru ini.
WAKIL media diberi peluang memakai cermin mata DME dan mengesan pelbagai objek ketika pelancaran EYLEA di Malaysia, baru-baru ini.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Penyakit kencing manis menjejaskan 382 juta orang di seluruh dunia dan angka itu dijangka meningkat 55 peratus kepada 592 juta orang menjelang 2035.

Edema makular diabetes (DME) dan retinopati diabetik (DR) adalah komplikasi mikrovaskular biasa bagi penghidap diabetes.

DR adalah penyakit yang memberi kesan kepada saluran darah retina manakala DME berlaku apabila kebocoran cecair ke pusat makula, bahagian cahaya sensitif retina yang bertanggungjawab dalam penglihatan langsung dan tajam.

Bendalir dalam makula boleh menyebabkan kehilangan penglihatan yang teruk atau kebutaan.

Justeru, Bayer HealthCare baru-baru ini mengumumkan penyelesaian aflibercept untuk suntikan ke dalam mata (EYLEA) yang diluluskan bagi indikasi ketiga untuk merawat masalah penglihatan akibat DME di Malaysia.

Perunding Mata dan Pakar Bedah Vitreo-Retina, Dr Barkeh Hanim Jumaat berkata, di Malaysia daripada 10,856 pesakit yang berdaftar dengan Diabetic Eye Registry, lebih dua pertiga daripada pesakit tidak pernah menjalani sebarang pemeriksaan mata sebelum ini. Kira-kira 10 peratus daripada mereka pula buta dengan tahap penglihatan 3/60. Kebanyakan pesakit (92 peratus) mempunyai diabetes mellitus jenis dua.

Katanya, oleh kerana diabetes semakin meningkat di negara ini, dijangka bilangan mereka yang mendapat kesan daripada DME juga bertambah.

“DME adalah punca utama kehilangan penglihatan yang sederhana hingga teruk pada pesakit kencing manis dan menjadi punca yang boleh menyebabkan buta dalam populasi umur bekerja di negara yang paling maju,“ katanya.

Rawatan laser photocoagulation sudah diperkenalkan untuk merawat DME. Jika tepat pada masanya, laser boleh mengurangkan risiko kehilangan penglihatan yang sederhana kira-kira 50 peratus selepas tiga tahun.

Bagaimanapun, kira-kira 10 peratus daripada pesakit yang mendapat rawatan laser masih boleh kehilangan penglihatan selepas dua tahun.

Walaupun jelas pentingnya untuk mengelakkan kehilangan penglihatan, keperluan untuk memulihkan penglihatan melalui perubatan novel atau terapi laser sehingga baru-baru ini dipenuhi dengan pesakit DME.

Rawatan modaliti terkini untuk merawat DME adalah dengan memberikan suntikan antivaskular faktor pertumbuhan endothelial (Anti-VEGF) ke dalam mata.

Ini termasuk ubat-ubatan seperti ranibizumab dan yang terkini, aflibercept yang dilesenkan untuk digunakan bagi merawat DME.

Kajian menunjukkan bahawa suntikan anti-VEGF ke dalam mata mencegah saluran darah daripada bocor dan menambah baik makula edema. Rawatan yang cepat meningkatkan peluang peningkatan visual pesakit ini,” katanya.

Katanya, saranan semasa bagi rawatan anti-VEGF dengan ranibizumab adalah untuk menyuntik secara bulanan dan berterusan sehingga peningkatan penglihatan yang dicapai.

Dengan pilihan anti-VEGF, aflibercept, pesakit memerlukan suntikan setiap bulan untuk lima bulan pertama diikuti setiap suntikan bulan seterusnya sehingga kestabilan dicapai.

Rawatan anti-VEGF terbukti membaiki penglihatan dengan cepat dan mampan, mengurangkan risiko lanjut kehilangan penglihatan dan edema makula yang lebih baik pada pesakit DME dengan kadar bahaya yang rendah okular dan bukan okular.

Ramai penghidap diabetes dalam kalangan umur bekerja, oleh itu komplikasi yang timbul boleh menyebabkan kehilangan produktiviti. Justeru, penting untuk saringan dan diagnosis komplikasi kencing manis seperti DR seawal mungkin untuk mengelakkan kehilangan penglihatan kekal.

Pesakit tanpa rawatan, kira-kira separuh daripada mereka kehilangan dua atau lebih baris ketajaman visual dalam tempoh dua tahun diagnosis yang boleh memberi kesan kepada keupayaan mereka untuk melaksanakan aktiviti penting setiap hari seperti bekerja dan memandu.

Mengulas mengenai inovasi terkini daripada syarikat itu, Pengarah Urusan Bayer Co (M) Sdn Bhd dan Wakil Negara Bayer HealthCare di Malaysia, Singapura dan Brunei, Thomas Steffen berkata, pihaknya berbesar hati dapat menawarkan EYLEA sebagai penyelesaian untuk keperluan yang tidak dipenuhi dalam pengurusan penyakit mata akibat diabetes.

“Pengenalan EYLEA menunjukkan Bayer memberi komitmen dalam oftalmologi untuk membawa pilihan rawatan baru kepada pesakit yang mengalami keadaan penyakit mata serius,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 2:36 PM