Aida Adilah Mat


MATA juling antara perkara yang tidak boleh dipandang remeh oleh ibu bapa kerana ia akan memberi impak besar terhadap keadaan fizikal dan mental seorang anak.

Ini kerana sebanyak 80 peratus kanak-kanak yang menjalani kehidupan sebagai individu juling mempunyai masalah sosial, kurang keyakinan diri dan imej yang negatif kerana berasakan diri serba kekurangan.

Malah ibu bapa perlu mengetahui masalah juling ini kesannya sama teruk seperti yang dilalui pesakit yang mengalami katarak, glaukoma dan penyakit mata seperti masalah mata kencing manis (retinopati diabetes) dan ARMD (degenerasi makula).

Pakar perunding Oftalmologi dan Pediatrik Oftamologi, Dr Fiona Chew Lee Min berkata, peratusan kanak-kanak yang dianggarkan mempunyai masalah juling adalah dua hingga lima peratus dan di Malaysia peratusan ini adalah sekitar 1.4 hingga 2.2 peratus.

Katanya, kebanyakan ibu bapa ketika ini meremehkan masalah juling kerana kurangnya perhatian, tidak menganggap ia sebagai satu masalah serta mendapat maklumat yang salah.

“Juling adalah keadaan di mana kedudukan mata tidak selari. Juling boleh membabitkan sebelah atau kedua-dua belah mata.

“Ia tidak sama dengan mata malas atau ambliopia. Tetapi, juling boleh menyebabkan mata malas dan sebaliknya iaitu mata malas boleh menyebabkan mata anak anda menjadi juling.

“Saya nasihatkan ibu bapa agar segera mengambil tindakan sekiranya mendapati mata anak mereka juling kerana ia boleh dirawat seawal usia enam bulan.

“Ibu bapa tidak perlu bimbang, sekiranya rawatan memerlukan pembedahan, prosesnya hanya membabitkan tempoh satu hingga satu setengah jam. Ada juga pembedahan yang membabitkan mata tapi hanya di luar bola mata untuk mengalihkan kedudukan mata saja,” katanya.

Kata Dr Fiona, impak terhadap mata juling sangat besar jika tidak diberi rawatan segera antaranya masalah mental, kemurungan, pelajaran merosot dan paling teruk adalah kanak-kanak mudah mendapat kemalangan apabila susah untuk turun tangga, melintas jalan atau longkang dan kerap terhantuk.

Mungkin juga ibu bapa tidak peka, masalah juling ini juga boleh menjadi faktor kepada anak mereka sukar untuk mendapat peluang pekerjaan dan kerjaya.

Juling boleh berlaku disebabkan keturunan ataupun berpunca daripada rabun jauh, dekat atau silau.

“Mata malas juga antara faktor penyumbang kepada mata juling ini. Selain itu kerosakan saraf otot mata (disebabkan trauma, angin ahmar, masalah saraf seperti myasthenia gravis juga boleh menyebabkan seseorang itu berdepan masalah juling pada golongan dewasa,” katanya.

KESAN MATA JULING

Dr Fiona menjelaskan, terdapat beberapa kesan yang boleh memudaratkan khasnya kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah ini. Selain memberi kesan kepada fizikal ia turut menjejaskan mental seseorang individu itu.

Antara perkara yang memberi kesan kepada fizikal adalah dari segi posisi badan kerana cara mereka melihat adalah tidak sama berikutan kanak-kanak ini mungkin menutup satu mata di tempat yang terang. Kepala juga boleh menjadi teleng, pertumbuhan muka yang tidak sekata yang turut menjejaskan gaya mereka berjalan.

Kanak-kanak yang menghadapi masalah ini akan berdepan masalah untuk menganggar jarak kerana medan penglihatan yang kurang.

Manakala kemurungan juga boleh berlaku kepada pesakit juling. Ia kerana mereka akan berdepan masalah tidur dan tidak suka melihat muka orang lain ketika bercakap berikutan kurang keyakinan diri.

“Saya pasti bila mereka kurang keyakinan diri ini akan mendorong kepada masalah lain iaitu mereka akan kurang berkawan.

“Apabila perkara ini berlaku, pesakit juling juga akan cepat terasa dan kecewa serta cenderung berdepan tekanan,” katanya.

Ini berlaku kerana pesakit yang mempunyai masalah juling biasanya lebih lambat dari segi fizikal dan pembelajaran.

Katanya, 80 peratus pesakit juling mempunyai masalah sosial kerana sering berfikiran negatif terhadap kekurangan yang dihadapi.

Beliau berkata, perspektif berhubung mata juling perlu diubah kerana ramai yang beranggapan bahawa rawatan juling tidak berkesan untuk dewasa adalah tidak benar. Selain itu ada juga segelintir yang berpendapat bahawa juling ini tidak boleh dirawat. Ini sebabnya ramai yang mengabaikan masalah ini.

JENIS JULING

Juling sekali-sekali

Juling kekal

Subkategori Juling

Esotropia (mata menghala ke hidung)

Eksotropia (mata menghala ke telinga)

Juling menegak (mata menghala ke atas atau ke bawah)

Juling berputar (mata yang berputar)

TIP MENGHINDARI BERLAKU MATA JULING

Mendapatkan pemeriksaan mata yang berkala, enam bulan, setahun, tiga tahun, tujuh tahun dan 12 tahun sekiranya tiada masalah mata.

Mendapatkan rawatan seawal mungkin sekiranya ada masalah mata.

Amalkan tabiat penjagaan mata sihat

Tidak bermain gajet, lebihkan masa di bawah cahaya matahari dan pemakanan yang sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 5:30 AM
KEDUDUKAN mata yang terjejas akibat juling.
KEDUDUKAN mata yang terjejas akibat juling.