FARIZA (kiri) bersama Pengurus Besar Established Pharmaceutical Abbot Malaysia, Lee Eng Peng (tengah) dan Zanariah ketika pelancaran Lipanthyl Penta (fenofibrate) 145mg untuk pesakit diabetes Jenis 11 dan diabetes baru-baru ini.
FARIZA (kiri) bersama Pengurus Besar Established Pharmaceutical Abbot Malaysia, Lee Eng Peng (tengah) dan Zanariah ketika pelancaran Lipanthyl Penta (fenofibrate) 145mg untuk pesakit diabetes Jenis 11 dan diabetes baru-baru ini.
PENGHIDAP diabetes perlu jalani pemeriksaan mata berkala.
PENGHIDAP diabetes perlu jalani pemeriksaan mata berkala.
Hidayatul Akmal Ahmad

Fenomena kehilangan kaki dalam kalangan pesakit diabetes tidak terkawal sudah menjadi perkara biasa. Tetapi tahukah anda, diabetes juga boleh menyebabkan kita menjadi buta yang dikenali sebagai retinopati diabetes.

Retinopati diabetes ialah retinopati (kerosakan pada retina) yang disebabkan oleh komplikasi penyakit diabetes. Ia terjadi akibat dinding salur darah yang lemah, menyebabkan berlaku kebocoran lemak dan penyumbatan kapilari.

Ia boleh menyebabkan penglihatan mata merosot seterusnya buta. Keadaan ini dialami kira-kira satu daripada tiga rakyat Malaysia yang menghidap diabetes Jenis II.

Perunding Oftalmologi, Dr Nor Fariza Ngah berkata, ia adalah punca kebutaan yang paling umum dalam kalangan penghidap diabetes dalam lingkungan usia bekerja.

“Lebih lama seseorang menghidap diabetes lebih tinggi risiko mereka untuk menghidap kerosakan penglihatan atau kebutaan. Ini boleh membawa kepada implikasi sosial dan ekonomi yang serius kepada pesakit jika tidak ditangani.

“Masalah penglihatan akan berlaku jika pesakit tidak mengawal kandungan gula dalam darah. Pandangan akan terganggu jika pembuluh darah tersumbat atau berlaku kebocoran yang menyebabkan pendarahan serta bengkak pada retina.

“Penyumbatan salur darah yang banyak dalam retina akhirnya menyebabkan berlaku pertumbuhan salur darah baru yang tidak normal dalam mata pesakit,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran indikasi baru bagi Lipanthyl Penta (fenofibrate) dengan indikasi baru merawat retinopati diabetes Jenis II dan retinopati diabetes di ibu negara baru-baru ini.

Semua penghidap diabetes Jenis II berisiko mendapat retinopati diabetes dan ia adalah salah satu komplikasi diabetes yang amat menjejaskan.

Lebih 50 peratus daripada penghidap diabetes Jenis II mengalami retinopati selepas 10 tahun menghidap penyakit berkenaan. Tanpa rawatan berkesan, 10 peratus daripada penghidap diabetes akan mengalami masalah serius selepas 15 tahun sehingga menjejaskan kehidupan seharian mereka manakala kira-kira dua peratus akan buta sepenuhnya.

Pada 2030, dianggarkan seramai 2.68 juta orang akan menghidap diabetes di Malaysia dan menurut statistik terbaru di negara ini, tahap penularan retinopati diabetes ialah 36.8 peratus pada 2007.

Menurut Fariza, retinopati diabetes sukar dikesan pada peringkat awal tanpa sebarang gejala fizikal sehingga masalah penglihatan terjadi.

“Kebanyakan pilihan rawatan semasa bagi retinopati diabetes tahap awal tertumpu kepada usaha memperbaiki kawalan glisemia bagi mengekang penularan penyakit.

“Manakala rawatan lebih invasif seperti laser serta rawatan anti-VEGF diperlukan apabila retinopati diabetes berada pada peringkat lanjut di mana penglihatan mungkin terjejas.

“Bagaimanapun rawatan ini lazimnya diiringi risiko yang boleh menjejaskan mata iaitu penglihatan periferi dan mungkin mengakibatkan kesan buruk sistemik,” katanya.

Penyediaan fenofibrate sebagai rawatan oral sehari sekali bagi retinopati diabetes menawarkan pilihan rawatan tidak invasif kepada penghidap diabetes jenis 11 yang berisiko menghidap masalah penglihatan.

Fenofibrate bahan aktif yang Lipanthyl mengawal tahap kolesterol ke julat yang diingini. Ia juga mempunyai kesan bermanfaat yang meluas terhadap kawalan lipid, keradangan, angiogenesis dan apoptosis sel yang dipercayai faktor yang melindungi daripada perkembangan retinopati diabetes dalam penghidap diabetes Jenis II.

Sementara itu, Perunding Endokrinologi, Dr Zanariah Hussein berkata, meskipun rawatan semasa bagi retinopati diabetes adalah berkesan dalam cara masing-masing, bukti nyata daripada kajian klinikal Fenofibrate Intervention and Event Lowering in Diabetes (FIELD) dan Action to Control Cardiovascular Risk in Diabetes (ACCORD) menunjukkan situasi di mana pesakit berpeluang mengurangkan penularan retinopati diabetes sebelum keadaan bertambah buruk hingga memerlukan rawatan invasif.

“Pengenalan rawatan oral yang berkesan untuk retinopati diabetes memberi pilihan rawatan kepada pesakit daripada dibebani kos yang tinggi untuk rawatan invasif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 5:05 AM