MEMBANTU isteri melakukan kerja rumah adalah salah satu bentuk ekspresi perlakuan menunjukkan rasa kasih dan menghargai pasangan. - FOTO Google
MEMBANTU isteri melakukan kerja rumah adalah salah satu bentuk ekspresi perlakuan menunjukkan rasa kasih dan menghargai pasangan. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


SETIAP kali penulis buku, Khairul Abdullah,47, memuat naik kenangan bersama arwah isterinya, Marleena Abdul Manaf yang meninggal tiga tahun lalu pasti 'mengusik' emosi pengikut setia laman Facebook bapa tunggal tiga cahaya mata itu.

Penceritaan menarik ditambah dengan pengisian yang mendalam memberi mesej penting kepada suami di luar sana supaya menghargai pasangan ketika mereka masih berpeluang melakukannya.

Ia biasanya berupa celoteh berkenaan rutin beliau sebagai suami yang melakukan kerja rumah dan perlakuan sederhana bersama pasangan membuatkan ia dikenang sebagai detik paling bermakna sebaik arwah isterinya sudah tiada.

Bagi Khairul, meskipun dia antara suami yang kerap membantu arwah isteri melakukan kerja rumah, namun dia masih berasa segala usahanya itu tidak memadai sepanjang melayari kehidupan berumah tangga lebih 14 tahun.

"Saya mengakui sehingga sekarang masih terasa kehilangan arwah isteri dan sukar untuk mencari 'pengganti' kerana kehidupan saya banyak dihabiskan bersama arwah. Kami berkahwin 14 tahun dan sebelum itu berkawan selama enam tahun.

"Jadi, hampir separuh usia saya dihabiskan bersama arwah dan banyak perkara kami lakukan bersama termasuk kerja rumah serta menjaga anak. Tetapi, sebaik kehilangan arwah, rasa sesal tetap ada kerana berasa tidak cukup rajin untuk tolong uruskan kerja rumah dan anak-anak. Selain itu, saya juga berasa kurang meluahkan rasa sayang dan kasih kepada pasangan.

"Saya banyak berkongsi kisah saya dan arwah kepada orang di luar sana supaya menghargai pasangan masing-masing. Pada saya apabila 'kehilangan' itu berlaku, ia akan memberi kesan mendalam," katanya yang menulis buku Dairi Super Daddy.

Tambah Khairul, sebenarnya dalam hidup berpasangan untuk mencapai keharmonian itu adalah subjektif dan paling mudah dengan meringankan beban atau tugas pasangan masing-masing.

"Setiap kali saya kongsi status mengenai kenangan saya dan arwah, ramai memberi maklum balas terutama wanita yang berharap pasangan mereka membaca atau melakukan perkara sama.

"Paling kesal jika mendengar luahan 'pengikut' (follower) sudah melewati usia senja memendam hati dan perasaan dengan sikap pasangan mereka yang culas membantu meringan tugasan di rumah semudah mengangkat pinggan sendiri.

"Kesimpulan saya, sebenarnya untuk membahagiakan isteri adalah perkara yang mudah. Tidak perlu banglo mewah atau harta berjuta sebaliknya dengan memudahkan urusan isteri di rumah dan mengasuh anak-anak sudah cukup.

"Selain itu, perlu juga ungkapan kasih dan sayang diluahkan sebagai tanda menghargai usaha isteri yang turut membantu suami dalam menjaga keluarga," katanya.

KHAIRUL sudah mampu menguruskan kerja rumah dan anak-anak sendiri.
KHAIRUL sudah mampu menguruskan kerja rumah dan anak-anak sendiri.

Menjelaskan situasi wanita masa kini yang memegang peranan pelbagai dalam keluarga juga memerlukan sokongan dan dorongan pasangan bagi menghadapi situasi terutama tatkala pandemik.

"Tambahan pula ketika ini ramai yang bekerja dari rumah termasuk wanita yang juga isteri dalam pada masa sama perlu menjaga anak-anak mengikuti sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) serta menguruskan rumah tangga, pada saya tugasan yang mencabar.

"Justeru, peranan itu perlu dikongsi bersama. Suami boleh jadi secekap isteri mengendalikan kerja rumah jika mereka biasakan diri untuk membantu pasangan masing-masing," katanya.

Sementara itu, Kaunselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, punca sebilangan masyarakat melihat tugas melakukan kerja rumah dan mengasuh anak-anak adalah tugas wanita kerana stigma masyarakat yang terpengaruh dengan budaya setempat.

"Istilah 'queen control' dan beberapa lagi pemikiran yang kurang tepat mengenai peranan melakukan kerja rumah dan mengasuh anak terletak pada bahu wanita sepatutnya tidak lagi relevan.

"Kena betulkan perspektif itu dalam mewujudkan 'tenaga positif' dalam kalangan masyarakat yang mana dengan melihat peranan berkongsi tugas melakukan kerja rumah dan mengasuh anak-anak itu adalah tanggungjawab bersama.

"Apabila pasangan atau masyarakat boleh mengubah corak berfikir, ia akan membantu membentuk kepada tingkah laku yang baik. Lama-kelamaan ia diterima sebagai kebiasaan dan norma," katanya.

Bagi wanita yang kadangkala dibebani tekanan akibat sikap pasangan yang culas membantu dalam hal menguruskan rumah tangga, kata Siti Fatimah, sebaiknya tingkatkan kawalan diri.

Katanya, dengan kaedah menyayangi diri sendiri selain mencari sokongan emosi daripada golongan terdekat atau profesional dapat mengurangkan tekanan itu ketika berada di rumah.

"Sebenarnya apabila dalam keadaan tertekan, cari sumber sokongan moral dan berkongsi dengan orang terdekat yang boleh memberi buah fikiran rasional. Lebih baik jika boleh mendapat khidmat pakar seperti kaunselor untuk detoks emosi yang negatif.

"Selain itu, lakukan perkara yang mereka sukai bagi mengurangkan rasa tertekan akibat sikap pasangan atau hal rumah tangga. Aspek ini penting dalam penjagaan kendiri terutama dalam keadaan emosi dan mental yang terganggu," katanya.

MENGASUH anak-anak di rumah juga perlu dilakukan bersama. - FOTO Google
MENGASUH anak-anak di rumah juga perlu dilakukan bersama. - FOTO Google

Pakar itu turut berkongsi keperluan setiap individu untuk mencari atau menikmati tujuh jenis rehat supaya dapat berfungsi dengan baik:

1. Rehat mental

Kosongkan fikiran seketika daripada memikirkan sesuatu yang membebankan mental. Contohnya, elak memikirkan sesuatu yang sudah berlaku atau belum berlaku.

2. Rehat emosi

Detoks bebanan emosi seperti luahkan kepada orang masalah atau lepaskan bebanan perasaan dengan menangis.

3. Rehat sosial

Putuskan seketika hubungan anda ruang lingkup sosial seperti kenalan negatif dan sebagainya.

4. Rehat fizikal

Mungkin santai dan tidur antara proses pemulihan semula jadi untuk bantu kembalikan tenaga.

5. Rehat sensori

Rehatkan deria seperti perlakuan tidak menggunakan gajet atau mengunjungi media sosial untuk meninjau situasi semasa yang akan mendatangkan kegelisahan pada diri.

6. Rehat kreatif

Memikirkan idea atau solusi boleh memberi beban kepada fikiran. Sebaiknya lakukan perkara yang mudah.

7. Rehat spiritual

Dekatkan diri kepada Allah SWT boleh memberi ketenangan yang diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 7:00 AM