KHAIRUL bersama anak-anaknya, (dari kiri) Khaleef, Khaled dan Khaleel di rumah mereka. FOTO/SUPIAN AHMAD
KHAIRUL bersama anak-anaknya, (dari kiri) Khaleef, Khaled dan Khaleel di rumah mereka. FOTO/SUPIAN AHMAD
Siti Zarinah Sahib

BUKAN calang-calang lelaki mampu menguruskan tiga anak lelaki dengan si kecil baru berusia 10 bulan secara bersendirian. Namun bagi Khairul Abdullah dia bersyukur kerana diberikan kekuatan mendepani emosi yang ada masanya turun naik, menguruskan urusan persekolahan, rumah tangga dan meluahkan kasih sayang kepada tiga permata hati miliknya.

Kala menemu ramah penulis buku dan juga pereka grafik ini, ternyata dia tidak dapat menahan sebak apabila bercerita mengenai permaisuri hatinya, Marleena Abdul Manaff, 39, yang dijemput Ilahi pada 1 Ogos lalu. Semuanya berlaku secara mengejut dan pantas.

“Bermula dengan demam secara tiba-tiba kemudian arwah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) disebabkan keadaan yang semakin teruk. Sejak itu dia terus tidak sedarkan diri. Pada hari ketiga dia terus pergi meninggalkan saya dan anak tanpa ucapan terakhir,” katanya yang sebak bercerita.

Ujar lelaki ini, walaupun sepanjang sakit, masa bersama arwah tidak lama, dia sudah mempersiapkan diri untuk menerima sebarang kemungkinan dengan reda.

“Sejak hari kedua apabila doktor tidak memberikan sebarang harapan, saya sudah bersedia. Apabila kemungkinan ini benar-benar berlaku, saya menangis sepuas-puasnya dan cuba berlapang dada. Saya reda kehilangannya dengan sepenuh hati kerana dia adalah milik Allah yang abadi.

“Saat perkataan reda itu saya ucapkan dengan ikhlas seakan-akan satu kelegaan menyelinap ke dalam hati. Saya sedar mengungkap dengan bibir sangat mudah tetapi hakikatnya tidak ramai yang mampu melakukannya,” katanya sayu.

Pada saat ada lelaki yang menyerahkan anak kepada ibu bapa di kampung untuk dijaga dan menguruskan emosi yang belum stabil, Khairul bersyukur kerana dapat berubah dengan cepat lantas mampu menguruskan rumah tangga terutama anak yang masih kecil.

“Tipu jika saya katakan tidak rindu. Walaupun sudah reda, kenangan bersama arwah masih menebal dalam ingatan. Memang saya ambil masa untuk pulih. Sesekali menangis apabila terkenangkan arwah, saya banyak meluahkan dalam bentuk penulisan apabila dada terasa sebak dengan kerinduan.

“Itu normal terutama mereka yang kehilangan insan tersayang. Buatlah apa saja yang mampu meredakan tekanan asalkan ia tidak mempengaruhi kehidupan,” katanya jujur.

Walaupun mempunyai adik-beradik, Khairul menyatakan ada perkara boleh diluah, ada yang perlu disimpan. Jadi dia lebih selesa bercerita dengan cara menulis kerana ia lebih jujur. Namun dia menasihatkan mereka yang mempunyai pengalaman sama supaya mencari seseorang boleh mendengar dan memberikan maklum balas segera seperti kaunselor kerana mereka lebih profesional dan tidak bercerita maklumat kepada orang lain

Namun dalam nada tegas Khairul meluahkan dia bersyukur dikelilingi keluarga yang sangat mengambil berat. Rakan selalu bertanya khabar walaupun ada di antara mereka yang sering meminta agar dia bersabar dan tabah dengan dugaan.

“Kedua-dua perkataan ini sememangnya tidak membantu untuk memulihkan emosi mereka yang kehilangan insan tersayang. Sebaliknya tukar dengan perkataan berbentuk doa agar urusan dipermudahkan dan arwah ditempatkan dalam kalangan insan beriman. Itu yang paling terkesan,” katanya.

KHAIRUL bersama anaknya Khaled di rumah mereka. FOTO/SUPIAN AHMAD
KHAIRUL bersama anaknya Khaled di rumah mereka. FOTO/SUPIAN AHMAD

ISTERI MEMPERSIAPKAN KHAIRUL SEBELUM KEMATIANNYA

Bercerita perkara yang perlu diuruskan sebaik saja isteri meninggal dunia, ujar Khairul, dia perlu meredakan emosi diri, anak dan urusan rumah tangga.

Hakikatnya kerja rumah seperti memasak, mengemas dan menjaga anak tidak biasa dilakukan suami memandangkan isteri yang menguruskan sepenuhnya. Berbeza dengan wanita yang bekerja, apabila kehilangan suami biasanya mereka mampu menguruskan anak dengan mudah kecuali sekiranya tiada simpanan tunai.

“Apa yang berlaku kepada saya sebaliknya. Saya bersyukur kerana ketika hayatnya isteri seperti sedang mempersiapkan saya menghadapi saat kehilangannya. Dia yang bekerja sebagai juruaudit di jabatan kerajaan sejak zaman persekolahan seorang yang sangat teliti dan berdisiplin.

“Buktinya beberapa minggu sebelum pemergiannya dia memberitahu saya mengenai fail anak, jadual pemvaksinan, akaun bank, akaun Tabung Haji dan di mana letaknya semua dokumen berkaitan insurans serta pelbagai maklumat pengurusan kewangan yang perlu saya ketahui. Dia meletakkan di tempat khas agar mudah diambil.

“Alhamdulillah, sehari selepas arwah meninggal semua urusan dapat diselesaikan dengan mudah termasuk kewangannya. Ini kerana semua buku bank, maklumat insurans, surat beranak tersusun kemas di dalam fail dan di dalam rekod Excel yang dibuat arwah.

“Malah kata masuk (login) dana kata kunci laluan media sosial, perbankan, e-mel semuanya sudah diberitahu awal. Jadi dengan mudah saya menutup semua akaun media sosialnya dan juga akses ke akaun perbankan dan akaun dalam talian yang lain,” katanya.

Khairul juga diajak mengemas rumah bersama-sama. Misalnya isteri menyusun buku manakala Khairul menyapu lantai dan mencuci tandas. Begitulah seterusnya, semua rutin ini berganti-ganti membuatkan lelaki ini tidak kekok melakukannya.

“Begitu juga dengan tugas memasak di dapur. Keistimewaan Marleena adalah memasak pelbagai jenis lauk-pauk. Namun saya sering diminta memasak masakan lain seperti laksa, mi dan kek. Jadinya selepas kehilangannya saya mahir memasak pelbagai jenis masakan jika diminta anak,” katanya.

Dia yang juga mahir dalam pengurusan anak menjelaskan ketika kelahiran anak pertama, Khaleef di Jerman, Khairul diajar menguruskan bayi seperti memakaikan lampin, memandikan dan menidurkan si kecil. Jadi untuk kelahiran anak kedua dan ketiga ia tidak menjadi masalah kerana sudah mahir dalam segalanya. Begitu juga dengan kerja membasuh dan melipat baju, semuanya diajar Marleena ketika dia masih hidup.

“Saya diajar menjadi lebih sistematik. Pakaian dilipat mengikut susunan jenis baju agar mudah diambil. Apabila saya fikirkan sejenak apa juga dilakukan arwah ketika hayatnya, seakan-akan dia ingin mempersiapkan saya supaya mampu menguruskan keluarga dengan mudah apabila dia tiada.

“Benar apabila saya berkongsi luahan di Facebook ramai yang kagum bagaimana seorang lelaki boleh menjaga tiga anak yang masih kecil. Menguruskan makan minum, memberi susu dan menyuapkan makanan. Saya katakan kepada mereka memang saya boleh kerana sudah bersedia dan arwah isteri yang mempersiapkan saya dengan semuanya,” ujarnya terharu sambil menahan sebak.

Dari segi kewangan, oleh kerana arwah isteri berpendapatan tetap dia menguruskan perbelanjaan anak termasuk susu, lampin dan insurans mereka. Jadi Khairul yang bekerja sebagai penulis sambilan hanya membantu dan mengisi kekurangan perbelanjaan keluarga.

“Apabila isteri sudah tiada, semua tanggungjawab terletak di bahu saya. Saya perlu lebih kuat mencari rezeki untuk mereka. Syukur kerana insurans sangat membantu dan memberikan nilai yang sangat besar untuk masa hadapan mereka,” katanya.

Sebagai lelaki, Khairul memberikan nasihat agar suami lebih menghargai isteri mereka. Belajar bersama-sama meringankan tugas isteri di dapur dan menguruskan anak. Ini kerana sekiranya salah seorang sudah tiada banyak perkara yang dapat dilakukan walaupun secara bersendirian.

KHAIRUL bersama anaknya Khaled di rumah mereka. FOTO/SUPIAN AHMAD
KHAIRUL bersama anaknya Khaled di rumah mereka. FOTO/SUPIAN AHMAD

CARA JAGA HATI ISTERI

Berikut adalah panduan yang dipetik menerusi Facebook Khairul Abdullah mengenai cara menjaga hati wanita khususnya isteri:

1. Perempuan suka mendengar lelaki mengucapkan kata cinta atau sayang walaupun mereka tahu hakikatnya suami memang menyayangi isteri. Tetapi dengan mendengar daripada mulut suami ia akan membuatkan isteri rasa bahagia.

2. Perempuan suka jika dibantu walaupun perkara kecil seperti mengangkat beg plastik yang sedang dijinjing, atau tolong memegang beg ketika dia sedang mencuba kasut.

3. Perempuan berasakan diri mereka sangat dihargai walaupun suami membantu melakukan tugas yang ringan seperti mengemas katil.

4. Perempuan suka menerima hadiah, walau sekecil-kecil hadiah sebagai tanda ingatan daripada suami. Sekeping kad, sekuntum bunga atau sekeping coklat sudah memadai.

5. Perempuan suka lelaki yang boleh mendengar kerana mereka suka meluahkan masalah.

6. Perempuan suka diberikan kejutan. Misalnya sejambak bunga atau tiket penerbangan ke destinasi idaman mereka.

7. Dalam apa juga situasi perempuan lebih suka mendengar jawapan ya berbanding tidak.

9. Perempuan suka lelaki yang bertanggungjawab. Misalnya membantu melakukan kerja rumah, menjaga anak dan menukar lampin si kecil.

10. Perempuan tidak suka lelaki ego. Jika bersalah mudah memohon maaf dan mengaku kesalahan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 5:46 AM