WALAUPUN tidak tinggal sebumbung, tanggungjawab
WALAUPUN tidak tinggal sebumbung, tanggungjawab
Yusliza Yakimir Abd Talib


RUMAH tangga mana yang tidak pernah berdepan dugaan. Ada pasangan yang mampu menghadapi cabaran namun sekiranya sudah tertulis tiada jodoh antara keduanya, maka perceraian menjadi jalan terakhir untuk masing-masing meneruskan kehidupan.

Selain suami isteri, anak akan turut menerima kesan perceraian. Apa dan bagaimana reaksi anak bergantung kepada umur, personaliti dan penerimaan mereka terhadap perpisahan ibu bapanya.

Tidak semua bekas pasangan mampu menggalas tanggungjawab bersama selepas perpisahan, malah sering kita dengar bapa yang lari daripada tanggungjawab dan menyerahkan sepenuhnya kepada bekas isteri untuk menjaga anak mereka.

Ia bukan saja memberi kesan emosi kepada anak-anak, malah bagi yang sedang melalui fasa remaja, sedikit sebanyak membantutkan perkembangan sahsiah diri dan keperibadian mereka.

SHAH dan bekas isteri kadangkala menghantar anak
SHAH dan bekas isteri kadangkala menghantar anak

Pengalaman bapa tunggal, Husalshah Rizal Hussain, 45, membesarkan anak remaja selepas bercerai diakui bukan mudah tanpa kerjasama bekas isteri dalam memastikan lima anak melalui perpisahan ibu bapa dengan positif.

Oleh itu katanya, betapa penting hubungan secara berterusan dan komunikasi dua hala yang positif di samping sistem sokongan yang terbaik untuk meningkatkan kualiti emosi dan sahsiah anak-anak.

“Perceraian seharusnya tidak menjadi punca keretakan hubungan dengan anak-anak, oleh itu ibu bapa perlu memainkan peranan dan tanggungjawab bersama.

“Jangan sesekali abaikan keperluan anak-anak dan dengar luahan hati mereka. Pasti mereka tidak dapat lari daripada membandingkan diri dengan rakan yang memiliki keluarga lengkap. Jadi, saya dan bekas isteri selalu ingatkan anak-anak jangan bandingkan mereka dengan kawan lain.

“Hakikatnya, apabila mereka tahu mengenai perceraian ini ketika anak yang sulung berumur 12 tahun, dia rasa sedih dan seolah-olah selepas ini keadaan menjadi lebih teruk.

“Tetapi, saya dan bekas isteri berjanji apa-apa yang berlaku antara kami berdua tidak boleh ditunjukkan di depan anak-anak. Kami mahu anak-anak lihat perhubungan kami tetap baik, boleh bersahabat, malah tidak bergaduh depan mereka. Jadi, sekurang-kurangnya mereka tidak rasa tertekan dan terganggu,” katanya.

BERGELAR bapa tunggal tidak menjauhkan Shah daripada anak-anak.
BERGELAR bapa tunggal tidak menjauhkan Shah daripada anak-anak.

Menurut Husalshah atau mesra disapa Shah, dia sentiasa menyokong dan mengambil berat aktiviti peribadi dan aktiviti sekolah anak-anak dengan menghadiri program yang mereka sertai. Dia juga membantu menyediakan keperluan anak-anak dengan harapan mereka merasakan sentiasa mempunyai dan dipunyai ayah dan ibu.

Sekiranya menghadapi masalah emosi atau sahsiah, Husalshah dan bekas isteri akan memastikan masalah terbabit tidak berlarutan selain mencari solusi mengikut kesesuaian keadaan ketika itu.

Dia bersyukur anak-anaknya tidak menghadapi masalah kerana sudah diterapkan semangat mandiri atau berdikari selepas mereka bercerai.

Menurut Husalshah, dua anaknya, Amir Haziq, 16, dan Amanina Safiah, 14, kini belajar di sekolah berasrama penuh dan tahun lalu anak sulungnya itu turut memperoleh keputusan cemerlang 10A dalam PT3.

“Saya dan bekas isteri sering berbincang mengenai pembangunan akademik anak-anak yang mana kebiasaannya bekas isteri akan fokus kepada akademik dan saya pula fokus kepada pembangunan kokurikulum.

“Kami berdua banyak jayakan aktiviti membabitkan anak-anak kerana sepakat tidak mahu tunjukkan masalah antara kami di depan mereka. Kami mahu anak-anak tengok semuanya seperti normal cuma ibu dan ayah mereka tidak tinggal bersama lagi.

“Syukur anak-anak tidak pernah memberontak atau melakukan perkara yang tidak baik, cuma kadangkala mereka luahkan rasa sedih kerana berasa tidak seperti kawan-kawan yang ibu bapanya datang bersama untuk hadir aktiviti atau acara di sekolah.

MESKIPUN berpisah Shah dan bekas isteri sentiasa bekerjasama mendidik dan membesarkan anak bersama.
MESKIPUN berpisah Shah dan bekas isteri sentiasa bekerjasama mendidik dan membesarkan anak bersama.

“Tapi, saya beritahu sama ada saya atau ibunya datang sama sahaja. Apa yang penting kami tetap datang walaupun tidak bersama. Alhamdulillah, anak-anak sangat memahami,” katanya.

Justeru, Husalshah menasihatkan bapa tunggal sepertinya supaya tidak melupakan tanggungjawab kepada anak-anak. Walaupun sudah tidak tinggal sebumbung, tetapi tanggungjawab membesarkan anak masih ada untuk dipikul bersama.

TIP PIKAT HATI ANAK

Shah turut memberikan beberapa panduan mendidik anak selepas bercerai:

Jangan sesekali abaikan anak-anak

• Ibu bapa biasanya menjadi model ikutan anak-anak, maka apa yang dilakukan akan dicontohi mereka suatu hati nanti. Jadi sentiasa tunjukkan teladan terbaik.

Gunakan masa sebaik mungkin untuk sentiasa bersama anak-anak

• Bercerai bukan alasan tiada masa untuk berjumpa anak-anak. Berikan perhatian terutama kepada anak-anak yang masih kecil.

Sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak

• Jangan putuskan komunikasi dengan mereka kerana akan beri kesan emosi berpanjangan. Manfaatkan media sosial sebaiknya untuk dekati anak.

Jadikan anak-anak sebagai rakan dan jadi pendengar yang baik

• Ambil tahu perasaan dan luahan hati anak-anak supaya mereka membesar dengan gembira tanpa tekanan emosi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 5:20 AM