Oleh Hafiz Ithnin


"Buat apa nak gaduh-gaduh? Yang sudah tu sudahlah. Kadang-kadang I pun tak faham lepas cerai nak kena jadi musuh.

"Kalau bercinta dulu boleh je maafkan u, u maafkan I. Lepas kahwin bercerai, sampai tua nak bergaduh sakan. Kesianlah dekat anak-anak. Kita bukannya budak-budak," jelas rakan penulis si ibu tunggal anak tiga.

Wanita berusia 40-an itu tidak panjang jodoh dengan bekas suaminya kerana orang ketiga. Namun, ketika majlis hari jadi anaknya, kelihatan hubungan rakan penulis dengan bekas suaminya masih baik.

Siap bergurau dan usik mengusik. Sehinggakan keletah mereka berdua menjadi usikan kami rakan-rakan yang hadir.

"Rujuk ajelah. Both of u look like so friendly and like nothing happened babe!" usik penulis kepada rakan wanita itu.

"Bagi I, cukuplah jodoh kami tak panjang. I maafkan dia dan sekarang berbaik bukan sahaja untuk anak-anak tapi sesama manusia.

Tapi for the other side (orang ketiga) I tak mahu tahu walaupun dia orang dah kahwin," balasnya.

KANAK-kanak lebih terkesan jika ibu bapa mereka berpisah.
KANAK-kanak lebih terkesan jika ibu bapa mereka berpisah.

Situasi itu membuatkan penulis melihat bahawa pengakhiran dalam perkahwinan dek perceraian bukanlah pembuka agenda permusuhan sebenarnya.

Perkara itu turut akui Ketua PsiTra Klinik Psikologi dan Konsultasi (PKPK), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai.

Malah, Dr Abdul Rahman melihat meskipun perceraian bukanlah perkara yang diminta atau dicari oleh pasangan yang berkahwin tetapi ia menjadi jalan terakhir sesetengah pasangan yang berhadapan dengan konflik rumah tangga sama ada tiada persefahaman mahupun disebabkan pihak ketiga.

"Apabila pasangan itu bercerai disebabkan pihak ketiga ataupun konflik besar yang berpanjangan membabitkan ketegangan emosi maka pengakhiran dipilih bersifat negatif.

"Tetapi, jika perceraian itu dibuat atas dasar yang rasional dan pengawalan emosi stabil kemungkinan ia menjadi satu perceraian bersifat positif iaitu tiada konflik selepas bercerai dan dapat menerima sebab penceraian. Paling penting hak penjagaan anak secara bersama," katanya.

KEGANASAN rumah tangga sehingga bercerai boleh memberi kesan buruk kepada psikologi anak.
KEGANASAN rumah tangga sehingga bercerai boleh memberi kesan buruk kepada psikologi anak.

Jelasnya, apabila berlakunya perceraian, perkara utama yang perlu diambil berat adalah kesannya terhadap psikologi anak-anak. Walaupun kesannya berbeza mengikut umur anak-anak, beberapa perkara perlu diambil berat bagi pasangan yang sudah atau dalam proses perceraian.

Tambahnya, setiap pasangan perlu tahu bahawa, anak-anak amat terkesan dengan perceraian ibu bapa dan keupayaan mereka dalam mengadapi kesan perceraian adalah berbeza mengikut peringkat umur.

"Bagi kanak-kanak yang lebih muda usianya iaitu usia enam hingga sembilan tahun adalah lebih sukar untuk menyesuaikan diri dan menangani tekanan akibat perceraian ibu bapa serta merasakan tekanan dan kepedihan yang amat.

"Reaksi emosi mereka juga sukar dizahirkan kerana sukar memahami apa yang sedang berlaku. Malah, anak-anak pada usia semuda ini juga tidak tahu untuk menzahirkan reaksi terbaik terhadap kedukaan yang dialami diri mereka sendiri," katanya.

Dr Abdul Rahman berkata, pada jangka masa pendek dan panjang, anak-anak yang mengalami perceraian ibu bapa akan lebih cenderung murung disebabkan perceraian yang tidak disangka dan dijangka.

"Anak-anak akan berasa malu apabila bersama dengan ahli keluarga lain ?dan rakan-rakan di sekolah.

PERCERAIAN selepas membina rumah tangga bukan sesuatu perkara yang mudah.
PERCERAIAN selepas membina rumah tangga bukan sesuatu perkara yang mudah.

"Perasaan berbelah bagi antara ibu, ayah atau kedua-dua jika anak-anak ?mempunyai hubungan yang amat rapat dengan kedua-duanya atau salah seorang daripadanya serta mengharapkan ibu dan ayah masih bersama," katanya.

Tambahnya, perasaan marah atas perceraian yang berlaku akan menyebabkan anak-anak menyalahkan diri sendiri mereka sendiri kerana merasakan menjadi punca.

"Mudah terasa mereka disisih dan dibenci ibu bapa yang meninggalkan mereka dan menyebabkan kepercayaan terhadap ibu bapa itu hilang juga boleh berlaku.

"Selain itu, anak-anak yang melalui fasa perceraian ibu bapa yang penuh dengan ?konflik dan berlaku penderaan kemungkinan akan membenci 'perkahwinan' itu sendiri apabila mereka membesar kerana tiada kepercayaan terhadap pasangan mereka," katanya.

Jelasnya lagi, malah, anak-anak yang melalui fasa perceraian ibu bapa berkemungkinan apabila dewasa akan bercerai apabila mereka berkahwin kerana percaya perceraian adalah jalan yang terbaik untuk menyelesaikan konflik rumah tangga.

"Walaupun kesan psikologi adalah besar dan bersifat jangka panjang apabila perceraian ibu bapa berlaku. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan oleh pasangan yang bercerai dalam menjaga kesejahteraan anak-anak mereka.

"Antaranya, kekal menjaga hubungan yang positif dengan bekas pasangan dalam menjaga kesejahteraan psikologi anak-anak yang sedang membesar dengan tidak memburuk-burukkan bekas pasangan kerana ia akan memberikan perspektif negatif terhadap ibu atau bapa mereka," katanya.

Jelasnya, ibu atau bapa perlu menunjukkan ketenangan emosi dan kesabaran kerana anak-anak akan mempelajari cara mengawal perasaan melalui teladan yang ditunjukkan terutama ketika berlakunya konflik perceraian.

"Kekal memberikan kasih sayang, menjalinkan hubungan yang rapat dan memahami tekanan perasaan yang dialami anak-anak akibat perceraian.

"Ibu atau bapa yang menghadapi perceraian perlu sedar akan perubahan emosi dan tingkah laku ditunjukkan anak-anak. Ibu atau bapa perlu lebih tenang dalam menangani isu ini," katanya.

Katanya lagi, ibu atau bapa perlu membantu anak-anak untuk meluahkan perasaan marah, takut, risau dan tekanan akibat perceraian ibu bapa dengan cara yang positif tanpa menyakiti dan agresif terhadap diri sendiri, menyakiti dan agresif terhadap orang lain, menyakiti dan agresif terhadap binatang dan juga bukan dengan cara merosakkan harta benda.

"Ibu atau bapa perlu memberitahu anak-anak yang dirinya sentiasa disayangi dan akan dijaga dengan sempurna walaupun ibu dan bapa sudah tidak bersama.

"Ibu atau bapa juga perlu mendapatkan sokongan daripada ahli keluarga masing-masing dalam memberikan sokongan psikologi, sosial dan emosi terhadap anak-anak yang terkesan serta kekal menjalinkan hubungan sihat dan positif dengan ahli keluarga bekas pasangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 7:00 AM