SITI Aisyah Sulaiman menunjukkan gambar Zulfaizan Muhammad yang maut dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, berhampiran Kampung Lepan Jaya. FOTO Siti Norhidayatidayu Razali
SITI Aisyah Sulaiman menunjukkan gambar Zulfaizan Muhammad yang maut dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, berhampiran Kampung Lepan Jaya. FOTO Siti Norhidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Ramli Ibrahim

“BAGI menjaga kebajikan lapan cucu yang masih kecil dan menantu yang kehilangan suami, saya akan mengambil tanggungjawab menjaga mereka.

“Setakat ini, menantu yang patah kaki dan lapan anaknya, ada yang patah tulang pinggul, hidung dan cedera di badan masih dirawat di Hospital Gua Musang,” kata Siti Aisyah Sulaiman, 76, ibu Zulfaizan Muhammad, 43, yang terbunuh dalam kemalangan awal pagi kelmarin.

Isterinya, Wan Zakiah Wan Abdul Razak, 39, dan lapan anak, Siti Fatimah Zulfaizan, 15, Masyitah, 14, Khaulah, 11, Solehah, 9, Mawaddah, 7, Sakinah, 5, Muhammad Saad, 3, dan Ahmad Zaid, setahun cedera dalam kejadian berkenaan.

Kemalangan di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, berhampiran Kampung Lepan Jaya, menyebabkan Zulfaizan yang bekerja sebagai guru Tahfiz Darul Ulum Zaiyadal, Meru, Klang, Selangor meninggal dunia di lokasi.

Kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dengan van Toyota Hiace yang dipandu Zulfaizan turut menyebabkan suami isteri, Che Azmi Che Hamzah, 48, dan Nor Hayati Mohamed, 43, meninggal dunia serta tiga anak mereka cedera.

Siti Aisyah yang masih terkejut dengan kejadian terbabit berkata, Zulfaizan yang juga anak ketujuh daripada sembilan beradik itu pulang ke Kampung Changgai di sini, pada Aidiladha kedua sebelum bergerak pulang ke Klang jam 10.10 malam Khamis lalu.

Katanya, anaknya bertolak pulang pada waktu malam bagi mengelak kesesakan.

“Anak saya menjadi guru di tahfiz hampir dua tahun lalu manakala menantu saya tidak bekerja kerana menjaga anak.

“Saya pasti kehidupan menantu dan lapan anaknya amat sukar kerana mereka hilang tempat bergantung, namun sebagai ibu saya mahu mereka tinggal di rumah ini,” katanya.

LAPORAN Harian Metro, semalam. FOTO NSTP
LAPORAN Harian Metro, semalam. FOTO NSTP

Sementara itu, adik Zulfaizan, Mohd Almizie, 39, yang turut mengajar di tahfiz sama berkata, mereka dimaklumkan berkaitan kemalangan itu pada jam 4.15 pagi selepas dihubungi isteri arwah.

Katanya, sebelum meninggal, arwah abangnya memang berubah apabila dia menjadi pendiam.

“Sebelum ini, abang seorang yang ceria, namun kali ini saya lihat mukanya letih.

“Ketika memandu pulang ke kampung dan kembali ke Klang, saya dimaklumkan arwah abang kerap berhenti rehat,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga akan menjaga kebajikan anak-anak arwah.

“Menjadi tanggungjawab kami untuk memberi pelajaran kepada anak-anak arwah sehingga mereka berjaya.

“Mereka akan tinggal bersama ibu, manakala tiga anak arwah yang belajar di Kuala Lumpur akan meneruskan persekolahan di sana yang dipantau oleh saya,” katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Adik nak jumpa mama'
  • Pasangan suami isteri dikebumi bersama
  • Ajal selepas ziarah jenazah saudara
  • Suami isteri antara tiga maut
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 10:00 AM