RAWATAN karang gigi boleh bantu bantu kurangkan masalah kuning gigi.
RAWATAN karang gigi boleh bantu bantu kurangkan masalah kuning gigi.
Nurul Husna Mahmud


Senyuman pasti tidak sempurna apabila gigi berwarna kuning yang mengundang rasa tidak selesa ketika berdepan dengan orang ramai.

Gigi kuning selalunya dikaitkan dengan kualiti kesihatan dan kebersihan diri. Mereka yang giginya berwarna kuning sering dilihat pengotor dan tidak pandai menjaga diri.

Sebenarnya gigi bertukar kepada warna kuning atas beberapa faktor antaranya pengambilan makanan dan minuman yang boleh menjejaskan kesihatan gigi, perokok, komplikasi rawatan dan ubat-ubatan selain faktor umur.

Gigi kuning gigi yang berpunca daripada makanan umpamanya, membabitkan pengambilan gula tinggi dalam makanan.

Ketika anda masih kecil, ibu selalu melarang dan mengatakan jika terlalu banyak makan gula-gula boleh merosakkan gigi dan kenyataan itu sebenarnya betul.

Pengambil makanan dan minuman tinggi gula termasuk dalam produk tenusu serta jus yang ada gula tambahan antara punca kerosakan gigi teruk kepada kanak-kanak pada usia bawah lima tahun.

Satu tinjauan dilakukan Jabatan Kesihatan Awam England mendapati, tabiat mengambil makanan tinggi gula iaitu tiga kali ganda melebihi jumlah sepatutnya menyebabkan suku kanak-kanak negara itu menderita kerosakan gigi serius seawal lima tahun.

Gula adalah makanan kepada bakteria dan keadaan itu mengundang kerosakan gigi bermula dengan gejala enamel (lapisan paling luar) bertukar kepada warna kuning.

Selain itu minuman seperti kopi dan teh hitam dalam kalangan orang dewasa juga dikatakan boleh menyebabkan masalah gigi menjadi kuning.

Dari segi komplikasi ubat pula, dikatakan kesan pengambilan ubat tertentu terutama antipsikotik dan ubat tekanan darah tinggi mempunyai kesan sampingan yang menyebabkan gigi bertukar warna.

Begitu juga bagi sesetengah ubat antibiotik seperti doksisiklin dan tetrasiklin yang dikatakan boleh menyebabkan gigi bagi kanak-kanak yang berusia bawah lapan tahun mudah bertukar menjadi kuning atau lebih keperangan.

Lain-lain prosedur rawatan seperti komiterapi dan radiasi bagi membunuh sel barah juga boleh memberi kesan kepada keputihan gigi.

Faktor lain mengenai gigi kuning yang berlaku pada kanak-kanak dengan tiba-tiba, ia juga boleh menjadi petanda mengenai sejarah trauma atau kes membabitkan kemalangan atau terjatuh.

Gigi boleh bertukar warna disebabkan 'kejutan serius' apabila individu mengalami kemalangan atau insiden trauma yang teruk. Selain kanak-kanak, gigi golongan dewasa turut bertukar warna jika mengalami trauma.

Untuk penjagaan gigi lebih baik dan sihat, sebaiknya jalani rutin pemeriksaan selain rawatan karang gigi untuk mendapatkan warna gigi putih.

Terdapat juga petua boleh diamalkan untuk mendapatkan gigi putih dengan menggunakan bahan dari rumah:

1. Menggunakan soda penaik

Soda mengandungi bahan yang boleh menyingkirkan kotoran dan memutihkan gigi. Sifatnya yang alkali boleh meneutralkan pH dalam mulut dan mengatasi masalah mulut berbau.

Kaedah yang boleh dilakukan ialah dengan letakkan serbuk soda penaik pada berus gigi. Kemudian boleh berus seperti biasa atau basahkan sedikit untuk memudahkan kerja mencuci gigi. Lakukan rutin itu seminggu sekali.

2. Menggunakan lemon

Lemon mempunyai aroma dan sering digunakan sebagai bahan pencuci alami. Dalam membantu memutihkan gigi, lemon boleh digunakan dengan dua kaedah. Kaedah pertama ialah perahan lemon diletakkan pada gigi sama ada menggunakan berus gigi atau jari. Ratakan dulu pada bahagian enamel gigi dan biarkan lima minit. Berus lembut dan bilas.

Kaedah kedua ialah menggunakan hirisan lemon terus kepada gigi dan kemudian bilas. Boleh juga tambahkan sedikit garam bukit.

3. Menggunakan cuka epal

Cuka epal bukan sahaja digunakan dalam masakan tetapi baik untuk memutihkan gigi. Kaedahnya ialah gosok cuka epal di permukaan gigi menggunakan berus atau jari. Biarkan seketika dan kemudian kumur. Lakukan rutin ini sekali seminggu.

4. Makan buah strawberi dan nanas

Satu petua yang cukup unik dan mudah ialah dengan hanya makan buah seperti strawberi serta nenas boleh membantu mencantikkan gigi.

Jadikan ia sebagai sumber makanan yang menyihatkan selain dapat membantu dalam memutihkan gigi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 6:45 AM