Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Barisan gigi putih berseri bukan saja mampu menyerlahkan penampilan dan meningkatkan keyakinan diri seseorang, tetapi ia juga boleh membuatkan wajah kelihatan lebih manis.

Semua orang menginginkan gigi putih bak mutiara namun penggunaan produk yang mengandungi bahan kimia berbahaya boleh merosakkan gigi dan menjejaskan tahap kesihatan.

Begitu banyak pilihan produk terdapat di pasaran ketika ini sehingga cara paling mudah, murah dan selamat untuk memutihkan gigi melalui penggunaan produk semula jadi tidak terlintas di fikiran kebanyakan orang.

Bagi mereka yang berminat, berikut disenaraikan beberapa tip memutihkan gigi menggunakan bahan semula jadi:

-Makan makanan rangup

Makanan rangup mampu menyingkirkan gula atau bahan kimia yang melekat pada gigi. Ini kerana gula dan bahan kimia yang dibiarkan lama pada gigi akan merosakkan warna gigi dan menyebabkan terbentuknya lubang, seterusnya merosakkan gigi.

-Amalkan pengambilan epal dan sayuran

Epal diketahui memiliki asid malik yang turut digunakan dalam bahan pemutih gigi bertujuan menyingkirkan kotoran.

Begitu juga dengan strawberi dan oren yang memiliki asid yang boleh membuatkan gigi bersih daripada kotoran.

Strawberi boleh digosok pada gigi untuk mendapatkan hasil lebih memuaskan. Namun selepas itu, gigi perlu digosok segera dengan ubat gigi berfluorida bagi menguatkan gigi.

Selain itu, sayuran seperti timun, brokoli, saderi dan lobak merah juga berada dalam kategori pemutih gigi semula jadi kerana sifatnya yang rangup membuatkan air liur lebih berkesan untuk membersihkan kotoran.

-Berkumur selepas makan

Amalan berkumur setiap kali selepas makan boleh menyingkirkan sebarang makanan kecil yang masih terlekat pada gigi seterusnya mengelak gigi kotor dan mereput.

-Gunakan lemon

Hasilkan pes dengan mencampurkan beberapa titik lemon dan garam. Sapukan pada gigi ­dengan menggunakan berus dan amalkan untuk beberapa hari bagi melihat kesannya.

Namun, ia perlu disusuli dengan menggosok gigi seperti biasa dengan ubat gigi kerana kandungan asid dalam lemon boleh melemahkan gigi.

-Makan keju

Ada kajian mendedahkan makan keju selepas menikmati hidangan mampu menghalang masalah gigi reput dan membantu gigi mendapat mineral penting seperti kalsium dan fosforus.

-Berus dan flos

Memberus dan flos gigi harus dijadikan amalan harian kerana ia amat penting untuk memastikan gigi sentiasa bebas daripada kotoran, seterusnya mengelak ia bertukar warna menjadi kekuningan.

Lebih ramai memberus daripada flos sedangkan kotoran juga terselit di celah gigi dan tidak boleh dikeluarkan dengan hanya memberus.

-Penggunaan soda penaik

Soda penaik adalah pembersih serba boleh yang mampu memutih dan membersihkan gigi. Ambil secubit soda penaik dan campurkan sedikit air bersama garam.

Gosok seperti biasa selama satu minit dan kumur untuk membuang lebihan soda penaik. Lakukan hanya dua kali seminggu dalam tempoh seminit

kerana soda penaik bersifat menghakis dan boleh merosakkan enamel gigi jika kerap mengamalkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:10 AM