BERPUASA menyebabkan mulut berbau, mujur ada amalan bersahur bagi mengelaknya.
BERPUASA menyebabkan mulut berbau, mujur ada amalan bersahur bagi mengelaknya.
Hafiz Ithnin

APABILA berada dalam bulan penuh keberkatan ini, isu kesihatan tentu antara perkara sering menjadi perbincangan memandangkan berpuasa sudah terbukti secara klinikal memberikan kesan positif kepada manusia.

Biasanya, kita mendengar mengenai berpuasa mampu menyihatkan badan manusia terutama di bahagian perut kerana dalam tempoh kira-kira 13 jam menahan makan dan minum, sistem di dalam perut kita dapat berehat selepas penat bekerja selama 11 bulan.

Kita juga sudah biasa dengar mengenai kata-kata di dalam perbincangan agama yang menyebut ‘mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi’ yang memberi pelbagai tafsiran yang begitu dekat dengan Maha Pencipta.

Sememangnya ketika kita berpuasa, mulut antara bahagian paling mendapat perhatian untuk ‘berpantang’ supaya tidak memasukkan makanan sesuka hati. Malah puasa juga mengajar kita menjaga percakapan, mengelak mengucapkan kata-kata boleh menyinggung hati insan lain atau berunsur riyak dan sombong.

Pada masa sama, ketika berpuasa, ramai antara kita mengalami masalah bau mulut yang menimbulkan rasa kurang selesa apabila bercakap dengan orang lain. Kadangkala ada yang sanggup tidak bercakap kerana malu!

Berkongsi mengenai perkara ini, Pakar Pergigian, Dr Firdaus Hanapiah berkata, masalah bau mulut ketika berpuasa disebabkan kekurangan air di dalam badan, seterusnya menyebabkan kurangnya pengeluaran air liur dari kelenjar liur di dalam mulut.

Beliau berkata, air liur mempunyai fungsi tersendiri antaranya sebagai ejen melembutkan makanan yang dimakan oleh manusia, menjadi pelincir dan pembersih mulut.

MAKANAN seperti buah-buahan mengandungi gula asli baik untuk gigi.
MAKANAN seperti buah-buahan mengandungi gula asli baik untuk gigi.

“Ketika berpuasa, kita berdepan cabaran hidrasi kerana kurang minum tetapi kita boleh menguruskan pengambilan air dengan baik sebelum berpuasa.

“Langkah boleh diambil ialah minum air sekurang-kurangnya dua liter sebelum tidur dan ketika bersahur. Pastikan air menjadi keutamaan selepas mengambil makanan yang mampu mengalas perut ketika berpuasa. Sebaiknya, minum banyak air kosong,” katanya.

Tambahnya, selain minum air, buah-buahan juga mampu menjadi ejen menghidrat kerana ia mempunyai serat dan gula asli yang mampu memberi tenaga yang lebih berbanding mengambil gula yang diproses.

Jelasnya, bakteria dalam mulut mudah menghadamkan gula berproses dan menghasilkan asid, sekali gus boleh merosakkan gigi berbanding gula asli yang lebih sukar untuk bakteria menukarkannya kepada asid.

“Bermula dengan pengurusan minuman dan makanan berkhasiat, ia membantu tubuh mengeluarkan lebih banyak air liur dan mengurangkan masalah mulut mengeluarkan bau kurang menyenangkan.

“Selain itu, ramai yang berasa sangsi mendapatkan rawatan seperti mencuci gigi, mencuci pendakap gigi, menampal atau memasang gigi sarung kerana dianggap boleh membatalkan puasa,” katanya.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Dr Firdaus berkata, rawatan yang disebutkan itu tidak membatalkan puasa dan sudah difatwakan, melainkan rawatan yang perlu melalui pembedahan termasuk mencabut gigi.

“Waktu terbaik melakukan rawatan gigi adalah pada bulan puasa kerana ketika itu mulut dalam keadaan terkawal tidak diganggu dengan makanan.

“Selain itu, bagi aktiviti mencuci gigi buat individu yang merokok juga mudah dilakukan kerana bekas kotoran tidak begitu tebal memandangkan jumlah rokok yang diambil sedikit berbanding hari tidak berpuasa,” katanya melihat Ramadan platform terbaik untuk berhenti merokok.

Ujarnya, di Malaysia ada golongan berdepan dengan penyakit kurang air liur atau xerostomia yang menyebabkan lebih banyak bakteria di dalam mulut.

PEMILIHAN ubat gigi yang betul untuk kanak-kanak penting.
PEMILIHAN ubat gigi yang betul untuk kanak-kanak penting.

Jelasnya, xerostomia berlaku akibat diabetes, umur lanjut, pengambil ubat menyebabkan mulut kering, rawatan kanser khususnya radioterapi atau kemoterapi.

“Bagi mengetahui sama ada kita mengalami masalah xerostomia seseorang akan sentiasa berasa dahaga, sukar untuk bercakap iaitu pertuturan tidak begitu baik dan mempunyai banyak ulser serta pastinya bau mulut.

“Paling membimbangkan untuk jangka panjang pesakit xerostomia akan mengalami penyakit gusi dan kerosakan gigi. Dianggarkan empat hingga lima peratus golongan dewasa Malaysia mengalami masalah xerostomia,” katanya.

Katanya, sebagai pakar pergigian, beliau menyarankan orang ramai mendapatkan pemeriksaan gigi untuk mengetahui penyakit yang dianggap biasa tetapi sebenarnya mempunyai potensi menjadi kronik dalam jangka panjang.

“Dalam bulan puasa ini, orang ramai jangan risau mendapatkan pemeriksaan atau membersihkan gigi kerana ia tidak membatalkan puasa dan menjaga kebersihan adalah dituntut dalam Islam,” katanya.

Tip elak mulut berbau dalam bulan puasa:

-Berus gigi selepas bersahur.

-Gunakan benang flos untuk membersihkan celah gigi.

-Jangan guna pencungkil gigi kerana boleh menyebabkan kerosakan gusi dalam jangka panjang.

-Orang dewasa perlu pakai ubat gigi mengandungi flourida untuk memberi daya tahan kepada enamel gigi.

-Kanak-kanak perlu elak menggunakan ubat gigi mengandungi flourida kerana ramai suka menelan ubat gigi. Ia mengakibatkan fluorosis gigi (pengambilan fluorida berlebihan sewaktu pembentukan enamel menyebabkan gigi kelihatan keputihan atau keperangan).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 7:00 AM