JAGA gigi anda.
JAGA gigi anda.
HM Digital

Bukan saja untuk kecantikan, namun penjagaan gigi yang rapi amat diperlukan demi memastikan tahap kesihatan mulut dan gigi sentiasa berada pada tahap terbaik.

Tidak kira bila masanya, apatah lagi untuk menyambut lebaran, setiap individu mendambakan gigi yang putih dan bersih. Namun atas pelbagai faktor antaranya pengaruh usia, penyakit genetik dan permukaan dentin terdedah yang akhirnya mengakibatkan gigi haus.

Hakikatnya, senyuman adalah ekspresi daripada hati, namun ada kalanya seseorang itu sukar untuk memberikan senyuman menawan disebabkan perasaan kurang yakin dan berasakan gigi dalam keadaan kurang sempurna.

Tabiat merokok dan corak pemakanan harian pula boleh menyebabkan gigi berubah warna menjadi kekuningan dan kusam.

Individu yang mengalami masalah itu pasti berasa malu untuk berdepan dengan khalayak. Ada yang sanggup menghabiskan banyak wang bagi mendapatkan gigi yang cantik, sekali gus mengembalikan keyakinan diri.

Menurut doktor pergigian, Dr Mukhlis Saufian, perubahan warna gigi terjadi kerana faktor luaran seperti merokok, minum minuman berwarna seperti kopi, teh, wain merah atau minum berkarbonat berwarna gelap.

“Ia juga boleh terjadi disebabkan faktor dalaman seperti saraf pada bahagian gigi tidak berfungsi atau gigi sudah mati. Biasanya perubahan warna gigi mengambil masa berbulan hingga bertahun lamanya.

“Pengaruh usia, penyakit genetik, rawatan kanal akar gigi, pereputan gigi dan ubatan seperti tetracyline menyebabkan perubahan warna pada gigi,” katanya.

Dr Mukhlis berkata, penjagaan gigi seharusnya bermula daripada perkara asas iaitu memberus gigi dengan baik dan betul.

“Paling mudah adalah menggunakan ubat gigi pemutih yang boleh menghilangkan kotoran pada permukaan gigi. Setiap kali memberus gigi dengan ubat gigi pemutih, kotoran yang disebabkan oleh makanan, minuman dan tompokan plak dapat dibersihkan.

“Antara rawatan pilihan adalah estetika dalam pergigian yang biasanya merujuk kepada perkhidmatan pergigian yang meningkatkan penampilan gigi seseorang,” ujarnya.

KAEDAH PEMUTIHAN GIGI

Menurut Dr Mukhlis, pemutihan adalah prosedur pergigian estetika yang paling biasa dan prosedur ini dilakukan menggunakan hidrogen peroksida, sejenis asid yang tidak terlalu kuat dengan kadar pH 6.2 manakala pH neutral adalah 7.

“Rangsangan opalescence dilakukan menggunakan teknologi yang mampu memutihkan gigi dengan ketara dalam masa lebih kurang satu jam. Ia sesuai untuk mereka yang mahukan hasil serta-merta.

“Rangsangan opalescence menggunakan 40 peratus hidrogen peroksida sebagai bahan aktif yang disapukan pada gigi dan kemudian cahaya biru akan dipancarkan pada permukaan gigi tadi,” katanya.

Menurutnya, ketika cahaya biru dipancarkan, proses pemutihan berlaku apabila hidrogen peroksida bebas melalui semua bahagian gigi, menyebabkan perubahan warna gigi kepada warna yang lebih cerah atau putih.

“Hidrogen peroksida dan cahaya biru akan bertindak balas bagi menghasilkan gigi yang lebih putih. Kaedah ini terbukti secara klinikal mampu menjadikan gigi lebih cerah daripada warna asal. Sebelum sebarang proses pemutihan gigi dijalankan, doktor akan memeriksa gigi seseorang itu terlebih dulu kerana rawatan pemutihan tidak akan dilakukan sekiranya gigi individu terbabit bermasalah.

“Pesakit yang menghadapi masalah pergigian seperti gusi luka, gigi retak dan penyakit lain dinasihatkan supaya mengatasi masalah itu terlebih dulu sebelum menjalani prosedur ini,” ujarnya.

RISIKO

Mengupas mengenai risiko ketika rawatan dijalankan, Dr Mukhlis berkata, risikonya amat rendah dan kebiasaannya hanya akan berasa pedih dan tidak selesa pada bahagian gusi sekiranya seseorang itu mengalami masalah gigi sensitif.

“Ini disebabkan cecair pemutih berkemungkinan terkena pada bahagian yang sensitif. Namun rasa itu biasanya tidak lama kerana bahagian gusi akan ditutup sepanjang rawatan dijalankan.

“Keputusan prosedur ini berbeza bagi setiap individu bergantung kepada warna asal gigi mereka. Rawatan pemutihan gigi juga tidak sesuai untuk mereka yang berusia 16 tahun ke bawah, individu yang mempunyai penyakit diabetes tidak terkawal dan wanita hamil atau menyusukan bayi,” katanya.

Kata Dr Mukhlis, prosedur ini hanya mengambil masa sekitar 40 minit dan disebabkan pemutihan gigi dilakukan menggunakan asid maka ia hanya dicadangkan dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh setahun, namun boleh diulang seawal tiga bulan selepas prosedur pemutihan terdahulu.

“Individu yang menjalani proses pemutihan gigi dinasihatkan untuk menggunakan ubat gigi dengan kuasa pemutih sebagai langkah memastikan gigi kekal putih. Mereka juga dinasihatkan untuk tidak mengambil makanan atau minuman yang berwarna sekurang-kurangnya selama tiga hingga tujuh hari bagi memastikan keberkesanannya.

“Selain itu, mereka juga akan dibekalkan dengan krim untuk gigi mengandungi kalsium dan fosfat, dua mineral utama yang terkandung dalam gigi. Ternyata proses ini bukan saja demi menjaga kebersihan malah tahap kesihatan gigi,” ujarnya.

LANGKAH DAPATKAN GIGI PUTIH SEMULA JADI

1. Berus gigi dengan disiplin

Kerap memberus gigi dapat menjamin kesihatan gigi dan gusi. Berus gigi setiap kali selepas makan dan ini akan membuatkan anda berasa segar dan mulut sentiasa bersih. Sekurang-kurangnya beruslah gigi tiga kali sehari. Pagi,

tengah hari dan sebelum tidur. Paling penting, sebelum tidur untuk mengelakkan sisa makanan berada terlalu lama dalam mulut.

2. Jaga pemakanan

Corak pemakanan mesti dijaga, cuba kurangkan makanan yang manis, melekit dan mudah melekat di celah gigi. Kurangkan minum teh, kopi dan minuman berkarbonat yang boleh mengubah warna gigi.

3. Gunakan cecair kumur berflorida

Sebaiknya, kumur dengan cecair kumur berflorida sekali sehari sebelum tidur, beberapa minit selepas memberus gigi bagi mengelakkan tindak balas antara cecair kumur dengan ubat gigi. Dinasihatkan tidak makan atau minum 30 minit sebelum dan selepas menggunakan cecair kumur. Pilih cecair kumur berflorida yang tiada kandungan alkohol kerana ia boleh menyebabkan luka bagi yang mempunyai gusi sensitif.

4. Berjumpa doktor gigi dua kali setahun

Jumpalah doktor gigi untuk dapatkan pemeriksaan, sebaik-baiknya enam bulan sekali. Carilah doktor gigi yang sanggup meluangkan sedikit masa untuk berbincang mengenai penjagaan gigi yang betul.

5. Berkumur selepas makan

Jangan lupa untuk berkumur setiap kali selepas makan. Selain itu anda digalakkan memberus gigi sejam selepas makan. Jika mahu memberus gigi sejurus selepas makan, beruslah tanpa menggunakan ubat gigi atau gunakan floss.

6. Kunyah gula-gula getah selepas makan

Selain tip penjagaan gigi di atas, anda juga boleh mengunyah gula-gula getah. Gula-gula getah ini berfungsi sebagai pembersih sisa makanan pada gigi. Cuma, apa yang perlu anda pastikan, pilih gula-gula getah yang kurang mengandungi gula dan tidak manis. -Siti Nadirah Hafidzin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 1:54 PM