PENGURUSAN diabetes amat penting.
PENGURUSAN diabetes amat penting.
Muhamaad Razis Ismail


RAMAI dalam kalangan masyarakat di negara ini belum memahami sepenuhnya mengenai penyakit diabetes dan komplikasi kesihatannya.

Kenyataan itu didedahkan menerusi kajian Indek Diabetes Malaysia (MDI) yang julung kalinya dijalankan pada 12 April lalu hingga 9 Mei lalu menerusi kempen Beyond Sugar.

MDI adalah sebuah tinjauan untuk mengukur kesedaran dan kefahaman mengenai diabetes yang disokong AstraZeneca dengan kerjasama Persatuan Endokrin & Metabolik Malaysia (MEMS).

Pandangan daripada 2,539 maklum balas tahun ini akan membentuk pemikiran AstraZeneca dan MEMS bagi inisiatif pendidikan umum menjelang tahun hadapan.

Konsultan Kanan Endokrinologi dan Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Profesor Dr Chan Siew Pheng berkata, berdasarkan tinjauan itu, lebih separuh daripada responden (52 peratus) mendedahkan bahawa mereka tidak menyedari bahawa diabetes tidak boleh diubati.

"Selain itu, 51 peratus responden berpendapat bahawa pengurusan diabetes adalah sesuatu yang mudah. Manakala satu daripada tiga responden (37 peratus) yang menghidap diabetes tidak mengetahui kadar bacaan gula yang tidak normal.

CEGAH diabetes lebih awal.
CEGAH diabetes lebih awal.

"Lebih mengejutkan adalah sekitar 1/3 rakyat Malaysia berpendapat bahawa pengurangan pengambilan gula semata-semata sudah memadai.

"Tinjauan ini adalah salah satu cara untuk kami meneliti pemikiran rakyat Malaysia mengenai kesihatan mereka dan isu berkaitan seperti diabetes untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai langkah lain yang boleh kami ambil di peringkat akar umbi.

"Kami tidak lagi mahu untuk hanya berada di sisi pesakit apabila mereka sudah disahkan menghidap diabetes dan ini adalah masanya untuk usaha yang lebih dirancang rapi serta bermakna bagi menangani krisis kesihatan ini," katanya.

Sementara itu, Presiden AstraZeneca Malaysia, Dr Sanjeev Panchal berkata, disebabkan tahap kesedaran diabetes warga Malaysia terhad, pihaknya mengambil langkah maju untuk melancarkan kempen Beyond Sugar iaitu sebuah inisiatif kesedaran dengan kerjasama MEMS.

Katanya, inisiatif ini bertujuan mendidik orang awam bahawa makanan manis dan pengurusan paras gula dalam darah sahaja tidak akan mencegah komplikasi diabetes.

RAMAI tidak sedar diabetes tingkatkan risiko masalah jantung.
RAMAI tidak sedar diabetes tingkatkan risiko masalah jantung.

"Di AstraZeneca, kami sedar dengan peningkatan diabetes yang membebankan dalam kawasan tertentu, namun tahap kesedaran mereka masih terhad.

"Dapatan daripada tinjauan MDI mengesahkan jurang kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai penyakit ini dan bagaimana kami sebagai sebuah syarikat biofarmasetika, berpotensi untuk memainkan peranan penting dalam mendukung perjuangan Malaysia menentang Penyakit Tidak Berjangkit (NCD). Ia menerusi pemerkasaan ekosistem kesihatan kita dengan penyelesaian yang melangkaui pengambilan pil ubat-ubatan.

"Salah satu usaha kami adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran awam dan menggalakkan pemeriksaan Faktor Risiko Pelbagai (Multi-Risk Factor, MRF) untuk diagnosis awal bagi komplikasi diabetes," katanya.

Jelasnya, melalui kempen ini, pihaknya ingin mendidik orang ramai dengan maklumat penting mengenai diabetes dan kesan-kesannya serta memperkasakan mereka untuk berbincang bersama doktor selain menjalani pemeriksaan MRF bagi diagnosis awal.

"Kerjasama kami dengan MEMS juga akan membolehkan kami menangani jurang kesedaran menerusi kempen ini,"katanya.

DIABETES tingkatkan risiko penyakit buah pinggang.
DIABETES tingkatkan risiko penyakit buah pinggang.

Sementara itu, menerusi program sulung diabetes 'TakeCareofMe,' pihaknya turut menyokong diagnostik MRF pada peringkat penjagaan primer dengan tujuan pencegahan komplikasi diabetes.

"Melalui pengurusan awal diabetes, kita boleh menunda komplikasi diabetes dan membolehkan diagnosis serta rujukan awal demi meningkatkan taraf rawatan bagi penghidap diabetes.

"Kami berhasrat untuk melaksanakan tinjauan MDI secara tahunan supaya kami dapat menilai sebarang perubahan kepada tahap kesedaran dan tingkah laku rakyat Malaysia terhadap diabetes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 6:31 AM