DARI kiri, Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Timbalan Pengarah Cawangan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), Dr Feisul Idzwan Mustapha bersama Vahr, Dr Chen, Doustdar dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong ketika pelancaran Hari Diabetes Sedunia 2019 di Putrajaya, baru-baru ini.
DARI kiri, Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Timbalan Pengarah Cawangan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), Dr Feisul Idzwan Mustapha bersama Vahr, Dr Chen, Doustdar dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong ketika pelancaran Hari Diabetes Sedunia 2019 di Putrajaya, baru-baru ini.
Oleh Siti Zarinah Sahib


MENURUT Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kira-kira 3.5 juta rakyat negara ini menghidap diabetes dengan tahap prevalen 17.5 peratus daripadanya adalah orang dewasa berusia 18 tahun dan ke atas.

Statistik ini menunjukkan Malaysia antara negara yang menunjukkan angka tertinggi di dunia dan Asia mempunyai pesakit diabetes. Lebih membimbangkan, dijangka tujuh juta rakyat Malaysia berkemungkinan menghidap diabetes menjelang 2025.

Persekutuan Diabetes Antarabangsa (PDA) menerusi kempen Hari Diabetes Sedunia 2019 bertema Keluarga dan Diabetes berusaha meningkatkan kesedaran mengenai kesan diabetes dan menekankan peranan keluarga dalam pengurusan, penjagaan, pencegahan dan pendidikan.

Sejajar hasrat PDA itu, sempena Hari Diabetes Sedunia 2019, Novo Nordisk bersama KKM bergabung tenaga menjayakan projek Sama-Sama bagi memperkasakan dan mengupayakan penjaga pesakit keluarga dalam pengurusan serta pencegahan diabetes.

Projek perintis yang dilancarkan tahun ini membabitkan 100 pesakit dan ahli keluarga yang tinggal di Putrajaya. Mereka dipilih daripada empat klinik kesihatan di sana.

Menurut Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min, pesakit dan ahli keluarga terpilih akan mengikuti latihan merangkumi empat komponen utama. Mereka akan didedahkan teknik pengurusan diabetes selama setahun bermula bulan ini sehingga November tahun hadapan.

“Ia termasuk pendidikan dan latihan, aktiviti kesihatan dan kesejahteraan keluarga, kit penjagaan di rumah selain penyertaan serta komunikasi dengan pendidik termasuk penilaian sebelum dan selepas program,” katanya.

Walaupun KKM sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pesakit dan masyarakat, institusi keluarga perlu memainkan peranan, bukan saja membantu pesakit menguruskan penyakit mereka, tetapi mendidik ahli keluarga mengenai diabetes.

“Kerjasama dengan Novo Nordisk dalam projek Sama-Sama ini diharap dapat memberi tumpuan memperkasakan ahli keluarga penghidap diabetes, sekali gus mewujudkan persekitaran sokongan yang lebih baik kepada mereka,” katanya.

Mengulas mengenai acara hari ini, Duta Denmark ke Malaysia, Jesper Vahr menegaskan, diabetes ternyata membebankan sesebuah negara dan penduduknya.

“Namun kerjasama seperti ini akan membolehkan kita bersama-sama mengatasi masalah. Kedutaan kami bangga untuk menyokong Novo Nordisk dan rakan di Malaysia dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai diabetes,” katanya.

Naib Presiden Eksekutif, Operasi Antarabangsa, Maziar Mike Doustdar berharap projek Sama-Sama dapat memberi kesedaran mengenai diabetes, seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan pesakit dan keluarga mereka.

Peranan keluarga dalam penjagaan pesakit diabetes:

1. Pengesanan awal

Pengesanan awal diabetes menjadi tanggungjawab keluarga. Isteri misalnya boleh mengingatkan suami menjalani saringan awal sekiranya mempunyai risiko tinggi. Kajian mendapati satu daripada dua orang dengan diabetes terlepas daripada diagnosis sebenar kerana tidak menjalani saringan kesihatan.

Oleh yang demikian, keprihatinan tinggi keluarga amat penting bagi memastikan bebas diabetes.

Saringan kesihatan untuk diabetes amat mudah - hanya dengan pemeriksaan tahap gula darah.

DOUSTDAR berucap ketika majlis perasmian Projek Sama-Sama di Putrajaya.
DOUSTDAR berucap ketika majlis perasmian Projek Sama-Sama di Putrajaya.

2. Gaya hidup sihat

Banyak kes diabetes jenis II boleh dicegah sekiranya pasangan menjalani gaya hidup sihat. Mengurangkan risiko keluarga untuk penyakit ini adalah bermula dari rumah.

Sepatutnya setiap ahli keluarga perlu menjadi model kepada diri sendiri dan ahli keluarga lain dalam menjalani gaya hidup sihat.

Apabila ada ahli keluarga yang mengamalkan pemakanan sihat dan senaman, ini akan memotivasikan ahli keluarga yang lain untuk mengamalkan gaya hidup yang sama.

3. Melakukan pemantauan

Penjaga pesakit diabetes perlu memantau jenis makanan diambil pesakit serta jumlahnya. Dapatkan maklumat mengenai diabetes daripada doktor atau mana-mana anggota kesihatan.

Mengikut data PDA, satu daripada dua pesakit diabetes dan satu daripada empat ahli keluarga pesakit diabetes mempunyai akses kepada program pendidikan diabetes.

Oleh itu, setiap individu dan ahli keluarga perlu mengetahui akses untuk mendapatkan pendidikan dan khidmat nasihat bagi membantu menjaga pesakit diabetes. Akses maklumat kesihatan ini perlu daripada sumber yang sahih, bukannya dari

pada media yang tidak diketahui kewibawaannya.

Jangan abaikan pesakit sebaliknya sentiasa memberikan motivasi supaya pesakit terus mengambil ubat-ubatan seperti disarankan.

Bagi yang berisiko tinggi, ahli keluarga perlu mewajibkan pesakit melakukan saringan komplikasi di klinik kesihatan terdekat sekurang-kurangnya sekali setahun.

Jaga pemakanan pesakit. Soal pemakanan sangat penting untuk memastikan penyakit yang dihidapi insan tersayang sentiasa dalam keadaan terkawal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 5:00 AM