PESAKIT diabetes berdepan risiko Covid-19.
PESAKIT diabetes berdepan risiko Covid-19.
Muhamaad Razis Ismail


Ketika ini Malaysia masih lagi memerangi pandemik Covid-19, dengan merekodkan lebih daripada 11,000 kematian berkaitan pandemik ini sejak ia menular di negara ini.

Tujuh daripada 10 orang yang menghidap Covid-19 di Malaysia adalah dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit diabetes.

Kajian mendapati bahawa penghidap diabetes adalah tiga hingga empat kali lebih mudah untuk mengalami gejala Covid-19 yang serius berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes.

Pesakit diabetes antara kumpulan yang berisiko tinggi untuk menghidapi Covid-19 dan Malaysia kini mempunyai lebih daripada 3.5 juta penghidap diabetes. Namun, masih ramai yang tidak menyedari atau lewat mengetahui yang mereka menghidap penyakit diabetes.

Mengulas mengenai vaksin Covid-19 untuk pesakit diabetes, Pakar Endokrinologi dan Diabetes, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Dr Miza Hiryanti Zakaria berkata, bagi memerangi pandemik itu, beberapa langkah sudah dilaksanakan.

Katanya, ini termasuk memakai topeng pelindung muka, mengamalkan penjarakan sosial dan yang paling penting adalah dengan mencapai imuniti berkelompok melalui vaksinasi.

"Kumpulan berisiko tinggi, seperti pesakit diabetes harus divaksin secepat mungkin.

"Vaksin direka untuk memprogramkan sistem ketahanan tubuh supaya dapat mengenali dan menyekat virus yang menyebabkan Covid-19 dengan selamat," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, bagaimanapun pesakit diabetes perlu mendapatkan nasihat perubatan daripada doktor mereka sebelum divaksinasi.

MASIH ramai tidak sedar menghidap diabetes.
MASIH ramai tidak sedar menghidap diabetes.

"Ini bagi membantu mereka merancang pelan pengurusan hari sakit mereka bagi menangani kemungkinan kesan sampingan vaksin.

"Ubat-ubatan diabetes tidak mempengaruhi keberkesanan vaksin begitu juga sebaliknya.

"Beberapa kesan sampingan boleh menyebabkan turun naik gula dalam darah, maka penting untuk mengetahui bagaimana menangani situasi itu dan mendapatkan nasihat perubatan jika diperlukan," katanya.

Menyedari keperluan itu, Kempen For Your Sweetheart menjemput semua rakyat Malaysia untuk menjaga kesihatan diri dan orang tersayang menerusi pemeriksaan diabetes percuma di klinik-klinik yang mengambil bahagian di seluruh negara.

Inisiatif murni dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai hubung kait antara diabetes dan penyakit jantung.

Usaha pemeriksaan diabetes percuma ini mendapat sokongan dari Boehringer Ingelheim dengan kerjasama Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS) dan Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES).

Untuk tahun ketiga, kempen kali ini membawakan Pemeriksaan Diabetes HbA1c percuma untuk semua rakyat Malaysia.

Kesedaran dan pengetahuan sama ada seseorang itu menghidap diabetes adalah langkah pertama untuk pengurusan risiko penyakit jantung yang berkaitan dengan diabetes.

Ia penting apatah lagi ketika keadaan krisis Covid-19 semakin meruncing dan penghidap diabetes dianggap golongan berisiko tinggi. Oleh itu, pengesanan dan rawatan awal adalah penting.

Kempen For Your Sweetheart cukup teruja dalam memainkan peranan bagi membolehkan rakyat Malaysia mengesan penyakit diabetes lebih awal menerusi Pemeriksaan Diabetes Percuma.

Pemeriksaan Diabetes percuma 'For Your Sweetheart' bermula Julai sehingga Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 6:43 AM