CARA terbaik untuk melambatkan atau mencegah komplikasi buah pinggang berkaitan dengan diabetes adalah dengan sentiasa mengekalkan tahap glukosa darah yang sihat.
CARA terbaik untuk melambatkan atau mencegah komplikasi buah pinggang berkaitan dengan diabetes adalah dengan sentiasa mengekalkan tahap glukosa darah yang sihat.
Muhamaad Razis Ismail


Terdapat pelbagai punca yang mengakibatkan kegagalan buah pinggang tetapi, tanpa ragu diabetes antara punca utama bagi penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Dianggarkan satu dalam tiga dewasa yang menghidap diabetes juga menghidap penyakit buah pinggang kronik. Ia membabitkan sebanyak 40 peratus pesakit diabetes jenis 21. Kondisi ini dipanggil Penyakit Buah Pinggang Diabetik (DKD) atau juga dikenali sebagai Diabetic Nephropathy.

Ia berlaku apabila buah pinggang anda mengalami masalah menapis sisa buangan daripada darah yang kemudiannya dikeluarkan dalam bentuk air kencing. Jika ia tidak dirawat, buah pinggang anda akan gagal dan tidak boleh berfungsi. Jika ini berlaku, anda mungkin memerlukan pemindahan buah pinggang atau dialisis.

Berdasarkan laporan Malaysian Dialysis and Transplant Registry 2018, sebanyak 69.2 peratus pesakit buah pinggang peringkat akhir disebabkan DKD.

Semakin tinggi tahap diabetes seseorang, semakin tinggi peluang mereka untuk menghidap DKD. Trend yang membimbangkan ini menyebabkan Malaysia mempunyai kadar prevalen kegagalan buah pinggang paling tinggi di dunia yang berpunca dari diabetes.

Kebiasaannya diabetes mengambil masa bertahun-tahun untuk merosakkan buah pinggang dan jika ia berlaku, gejala DKD tidak begitu ketara di peringkat awal dan hanya akan lebih jelas apabila penyakit sudah di peringkat serius.

Ramai orang tidak menyedari bahawa mereka menghidap diabetes jenis 2 untuk jangka masa yang lama boleh mengakibatkan peluang yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit buah pinggang sejurus selepas disahkan menghidap diabetes.

PESAKIT diabetes tanpa gejala untuk menjalani saringan penyakit buah pinggang
PESAKIT diabetes tanpa gejala untuk menjalani saringan penyakit buah pinggang

Beberapa gejala bagi penyakit buah pinggang yang berpunca dari diabetes adalah seperti pertambahan berat badan, pergelangan kaki bengkak, loya atau muntah, air kencing berbuih, lesu, nafas berbau air kencing, gatal-gatal, selera makan berkurangan dan kaki bengkak.

Selain itu, organ lain yang mungkin terjejas oleh penyakit buah pinggang ialah mata dengan gejala seperti penglihatan kabur dan floaters.

Cara terbaik untuk melambatkan atau mencegah komplikasi buah pinggang yang berkaitan dengan diabetes adalah dengan sentiasa mengekalkan tahap glukosa darah yang sihat.

Pakar Pemakanan Klinikal dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur, Poh Kai Ling berkata, untuk mengamalkan pemakanan sihat, kita perlu kembali kepada perkara asas dan mengikuti Pinggan Sihat Malaysia yang menyarankan pembahagian #SukuSukuSeparuh - karbohidrat (suku pinggan), protein (suku pinggan), buah-buahan dan sayur-sayuran (separuh pinggan.

Katanya, ini adalah panduan pemakanan sihat terbaik namun sering kali diabaikan malah sentiasa dianggap remeh oleh kebanyakan orang.

SENTIASA jalani pemeriksaan awal untuk mengesan diabetes.
SENTIASA jalani pemeriksaan awal untuk mengesan diabetes.

"Apabila bercakap mengenai paras gula dalam darah bagi mengelakkan kerosakan buah pinggang menjadi lebih teruk, matlamat utama adalah mengamalkan pengambilan pemakanan sihat dan seimbang yang terdiri daripada pelbagai jenis makanan sambil mengamalkan pengawalan bahagian mengikut Pinggan Sihat Malaysia.

"Kesederhanaan dan saiz bahagian adalah faktor utama. Anda boleh mengambil mana-mana karbohidrat tetapi dalam bahagian sederhana mengikut kesesuaian dan mengurangkan pengambilan garam atau natrium. Kurang natrium dalam diet anda dapat membantu menurunkan tekanan darah sekali gus mengurangkan pengumpulan cecair dalam badan anda, yang biasa berlaku dalam penyakit buah pinggang," katanya.

Sementara itu, Perunding Perubatan Am dan Pakar Nefrologi di Pusat Perubatan Bukit Tinggi, Dr Kenneth Lai Koah Kien berkata, dengan ubat-ubatan serta rawatan terkini di pasaran, kunci kepada rawatan yang berkesan untuk komplikasi ini ialah hubungan kukuh antara pesakit, doktor, sokongan ahli keluarga dan paramedik seperti pakar pemakanan dan jururawat.

"Kadar kematian dan penyakit kardiovaskular meningkat secara eksponen bagi pesakit dengan DKD. Pesakit DKD biasanya akan menemui ajal lebih awal sebelum mencapai peringkat akhir penyakit buah pinggang.

"Jika pesakit mencapai peringkat akhir penyakit buah pinggang, mereka memerlukan terapi penggantian buah pinggang termasuk pemindahan buah pinggang atau dialisis.

KUNCI kepada rawatan penyakit buah pinggang yang berkesan ialah hubungan kukuh antara pesakit, doktor, sokongan ahli keluarga dan paramedik.
KUNCI kepada rawatan penyakit buah pinggang yang berkesan ialah hubungan kukuh antara pesakit, doktor, sokongan ahli keluarga dan paramedik.

"Pesakit perlu memantau komorbiditi mereka dengan penuh teliti bersama doktor mereka termasuk hipertensi, obesiti, hiperkolesterolemia dan merokok. Semua penyakit ini boleh membawa maut bersama diabetes," katanya.

Pakar penjagaan kesihatan akan menasihati pesakit diabetes tanpa gejala untuk menjalani saringan penyakit buah pinggang dan jantung kerana penyakit ini biasanya berlaku secara senyap selain tidak menampakkan sebarang gejala sehingga sampai ke peringkat serius.

Saringan yang disyorkan untuk penyakit DKD adalah dengan melakukan ujian mudah, seperti ujian air kencing yang dipanggil Urine ACR bagi meneliti kebocoran protein serta ujian darah bagi melihat fungsi buah pinggang yang dipanggil serum creatinine.

Kempen For Your Sweetheart pula mengajak semua rakyat Malaysia untuk memelihara kesihatan diri dan orang tersayang dengan Pemeriksaan Diabetes HbA1c Percuma di klinik yang mengambil bahagian di seluruh negara. Inisiatif ini disokong Boehringer Ingelheim dengan kerjasama Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES) dan Persatuan Diabetes Malaysia (PDM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 6:20 AM