POLIP menyebabkan kerengsaan pada lapisan rahim mengganggu implantasi embrio.
POLIP menyebabkan kerengsaan pada lapisan rahim mengganggu implantasi embrio.
Hafiz Ithnin

SEKIRANYA anda sudah berkahwin dan melakukan hubungan kelamin dengan pasangan, kemudian terdapat tompokan darah, jangan pandang ringan mengenai perkara itu.

Ia mungkin simptom polip endometrium atau ringkasnya, polip yang kerap terjadi kepada wanita usia reproduktif dan salah satu penyebab paling kerap berlaku pendarahan rahim yang tidak normal seperti pendarahan antara haid.

Pakar Metro IVF dan Perunding Kesuburan, Dr Tee Swi Peng turut menjelaskan, polip adalah ketumbuhan lapisan di dalam rahim yang disebut endometrium.

Katanya, kebanyakan polip endometrium adalah tidak merbahaya (benign). Apabila polip endometrium dikeluarkan, sampel itu dihantar ke makmal untuk dianalisis untuk menentukan bahawa bukan jenis yang merbahaya.

"Polip di dalam rahim menyebabkan pendarahan yang tidak normal dan antara salah satu punca ketidaksuburan wanita.

"Kajian turut mendapati bahawa kawasan yang paling biasa di rahim untuk dijumpai polip endometrium adalah di dinding rahim posterior," katanya.

GAMBARAN polip yang menjadi penyebab pendarahan rahim tidak normal.
GAMBARAN polip yang menjadi penyebab pendarahan rahim tidak normal.

Katanya, polip yang terdapat di kawasan pembukaan tiub fallopio rahim dikaitkan dengan kemungkinan kehamilan yang lebih tinggi apabila ia dikeluarkan berbanding dengan membuangnya dari lokasi lain di dalam rahim.

"Ini menunjukkan bahawa polip di lokasi ini lebih cenderung dikaitkan dengan kesukaran untuk hamil. Polip endometrium dapat menyebabkan kerengsaan pada lapisan rahim mengganggu implantasi embrio.

"Apabila polip mengganggu implantasi bermakna embrio sukar melekat pada dinding rahim. Sekiranya terdapat kelainan pada rahim, disarankan agar wanita itu menjalani histeroskopi untuk menghilangkan kelainan itu," katanya.

Pakar itu menambah, terdapat beberapa kajian menunjukkan sekiranya wanita mempunyai polip dan membuang polip, wanita itu berpeluang untuk hamil adalah tinggi.

"Sebagai contoh, kajian menunjukkan wanita berpeluang untuk hamil adalah sebanyak 63 peratus menggunakan kaedah permanian berhadas (IUI) jika membuang polip.

SIMPTOM polip yang dialami wanita.
SIMPTOM polip yang dialami wanita.

"Jika ia tidak dibuang, peluang untuk hamil hanya 28 peratus," katanya yang turut menambah kitaran haid tidak teratur, pendarahan yang banyak semasa kitaran haid, tompokan darah atau pendarahan berlaku antara kitaran haid, tompokan darah selepas wanita menopaus dan ketidaksuburan juga menjadi simptomnya.

Katanya, wanita yang mempunyai polip tidak harus bimbang kerana peluang untuk sembuh atau hamil adalah tinggi dengan rawatan yang bersesuaian menerusi rundingan dan pemeriksaan dengan pakar.

"Wanita harus sentiasa peka terhadap kesihatan kendiri melalui rutin pemeriksaan bersama pakar perubatan. Sebarang kemusykilan terhadap perubahan kesihatan diri, saranan untuk menjalani pemeriksaan lanjut amat penting," nasihatnya.

PUNCA POLIP

Punca sebenar tidak diketahui dan antara punca polip adalah:

1. Gangguan hormon

Penyebab utama pertumbuhan dalam lapisan dasar endometrium adalah gangguan hormon dan perubahan keradangan. Hormon estrogen yang tinggi dalam darah seorang wanita menyebabkan pertumbuhan lapisan dalaman rahim. Ini boleh nyata dalam bentuk polip atau percambahan serentak kawasan mucosal (hiperplasia endometrium). Kekurangan hormon wanita lain - progesteron membawa kepada fakta bahawa polip berkembang dengan sangat aktif.

SAMPEL polip dikeluarkan untuk dianalisis ke makmal.
SAMPEL polip dikeluarkan untuk dianalisis ke makmal.

2. Berat badan berlebihan

Ia terbukti bahawa tisu adipose tidak hanya disimpan di bawah kulit dan di dalam sel-sel organ. Ia juga boleh menghasilkan hormon estrogen, yang mencetuskan pertumbuhan polip.

3. Keturunan

Kecenderungan pertumbuhan polip dalam rahim juga boleh diwarisi. Sebagai contoh, jika ibu mempunyai polip, maka anak-anak perempuannya perlu menitikberatkan keadaan kesihatan mereka.

4. Penerimaan tamoxifen

Ubat ini digunakan untuk merawat tumor boleh menyebabkan pertumbuhan polip.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 6:30 AM