Muhamaad Razis Ismail

DALAM usaha membantu membangunkan ekonomi penduduk setempat terutama yang tinggal di kawasan luar bandar pelbagai inisiatif diambil kerajaan untuk membantu mereka menjana pendapatan.

Agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya iaitu Kraftangan Malaysia turut tidak ketinggalan mengadakan pelbagai program yang bukan sahaja memberi fokus kepada pengusaha kraf, malah melahirkan lebih ramai pengiat kraf di negara ini.

Antara inisiatif yang diambil termasuk Projek Semarak Kraf yang bertujuan membangun dan mewujudkan komuniti kraf baharu terdiri daripada belia/beliawanis, asnaf, orang kurang upaya (OKU), golongan B40, golongan suri atau ibu tunggal, Orang Asli atau etnik Sabah dan Sarawak di satu-satu kawasan atau daerah.

Projek ini juga memberi pendedahan dan mendekatkan lagi komuniti setempat untuk mengenali produk kraf serta terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam perusahaan kraf untuk menjana pendapatan utama atau sampingan.

Sebanyak 20 Projek Semarak Kraf dilaksanakan dengan empat projek dijalankan di Negeri Sembilan.

Di Negeri Sembilan, ia membabitkan aktiviti Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Tekstil Ikat dan Celup serta Anyaman Rotan dengan penyertaan 65 orang dalam kalangan suri rumah selain peniaga yang tiada asas dalam penghasilan produk kraf.

PRODUK anyaman rotan. FOTO & VIDEO Halimaton Saadiah Sulaiman
PRODUK anyaman rotan. FOTO & VIDEO Halimaton Saadiah Sulaiman

Peserta projek diberi penekanan kepada kemahiran membancuh warna, teknik ikat dan celup serta proses pemati warna manakala bagi anyaman rotan, peserta diberi kemahiran asas anyaman rotan, rekaan dan pengiraan kos selain harga bahan.

Penulis berpeluang melihat sendiri proses penghasilan produk batik seperti baju-T dan selendang serta anyaman rotan untuk hasilkan bakul di Inap Desa Kampung Teluk Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Rata-rata peserta Projek Semarak Kraf menyambut baik inisiatif Kraftangan Malaysia yang mampu memberi impak positif terhadap ekonomi penduduk setempat.

Peserta, Abu Bakar Yusof, 65, berkata, sebagai pesara dia bergantung sepenuhnya dengan pendapatan menerusi kehadiran pelancong yang menginap di inap desa miliknya.

Katanya, selepas menyertai Program Semarak Kraf, dia berjaya memberi tambah nilai terhadap inap desa yang diusahakan.

"Menerusi program ini, saya menyertai bengkel menghasilkan batik dengan menggunakan teknik ikat dan celup selama empat hari.

"Dengan kehadiran tenaga pengajar yang berpengalaman, saya dan peserta lain dapat kuasai teknik itu dalam masa singkat," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Homestay D'Pelandok Best, Kampung Teluk Pelanduk berkata, kemahiran baharu itu dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai tarikan baharu di inap desanya.

ABU Bakar (kanan) membancuh pewarna. FOTO & VIDEO Halimaton Saadiah Sulaiman
ABU Bakar (kanan) membancuh pewarna. FOTO & VIDEO Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya menawarkan pakej baharu dengan mengajar pengunjung menghasilkan sendiri batik sebagai cenderahati.

"Alhamdulillah, saya menerima sambutan menggalakkan daripada pelancong di dalam dan luar negara termasuk China dan Jepun. Malah, saya turut menerima kunjungan pelajar dari sekolah antarabangsa yang berminat mengetahui mengenai keunikan kraftangan di negara kita.

"Pada masa sama, saya menjana pendapatan tambahan melalui penjualan produk kraf di inap desa dan dalam talian termasuk di Facebook E-Kraf Bazar," katanya.

Perkara sama diakui suri rumah, Noripah Salam, 47, yang bersyukur selepas terpilih menyertai Projek Semarak Kraf pada tahun lalu.

Menurutnya, sebelum ini, dia hanya berniaga kecil-kecilan untuk membantu meringankan perbelanjaan suami yang berniaga sendiri selain bergantung dengan perniagaan inap desa.

"Bermula daripada tidak mengetahui apa-apa mengenai kraftangan, saya memperoleh pengetahuan baharu menghasilkan produk daripada rotan," katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, program itu memberi banyak manfaat kepada wanita terutama suri rumah sepenuh masa untuk menjana pendapatan menerusi produk kraf.

"Produk ini boleh dihasilkan sendiri di rumah tanpa terikat dengan masa yang ketat.

"Saya sendiri akan fokus dengan penghasilan produk kraf sama ada di rumah atau di bengkel pada waktu pagi ketika suami dan anak tiada di rumah. Saya cadangkan pada masa hadapan, program ini diperluaskan ke seluruh negeri ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Mohd Razis Md Said berkata, Projek Semarak Kraf yang dilaksanakan di negeri itu meliputi tiga kawasan di Port Dickson dan satu di Jempol.

"Projek ini juga memberi pendedahan kepada komuniti setempat untuk terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam perusahaan kraf bagi menjana pendapatan tambahan.

"Selain pengunjung yang datang menginap di inap desa, mereka dapat merasai pengalaman baharu dengan menghasilkan produk kraf sebagai cenderahati kepada diri sendiri.

"Pada masa hadapan, kami berusaha lebih agresif untuk pembangunan produk baharu bagi menarik lebih ramai pelancong ke sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 7:00 AM
PESERTA Projek Semarak Kraf menghasilkan batik dengan teknik ikat dan celup. FOTO & VIDEO Halimaton Saadiah Sulaiman
PESERTA Projek Semarak Kraf menghasilkan batik dengan teknik ikat dan celup. FOTO & VIDEO Halimaton Saadiah Sulaiman