PROJEK PPKK membangun dan mewujudkan komuniti kraf baharu untuk membabitkan diri secara langsung dalam perusahaan kraf bagi menjana pendapatan utama mahupun secara sampingan.
PROJEK PPKK membangun dan mewujudkan komuniti kraf baharu untuk membabitkan diri secara langsung dalam perusahaan kraf bagi menjana pendapatan utama mahupun secara sampingan.
Mohamed Fared Noh


Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengambil inisiatif membangunkan masyarakat dari golongan belia, asnaf, orang kelainan upaya (OKU), golongan kategori B40 (bandar dan desa), golongan suri rumah, ibu tunggal, Orang Asli, etnik Sabah dan Sarawak di satu-satu kawasan atau daerah menyertai Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) bagi menjana pendapatan.

Projek ini membabitkan bidang tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf.

Projek PPKK diadakan bertujuan bagi membangun dan mewujudkan komuniti kraf baharu untuk membabitkan diri secara langsung dalam perusahaan kraf bagi menjana pendapatan utama mahupun secara sampingan.

Projek ini dilaksanakan melalui kaedah train and place, peserta dilatih dari aspek kemahiran teknikal dan keusahawanan oleh Kraftangan Malaysia berdasarkan bidang kraf yang ditetapkan. Penyertaan dalam projek ini mampu meningkatkan kebolehpasaran golongan sasar untuk mendapatkan pekerjaan atau menjadikan perusahaan kraf sebagai kerjaya sepenuh masa mahupun sampingan.

Bagi memastikan projek ini mencapai objektifnya, Kraftangan Malaysia menetapkan pelaksanaan tiga aktiviti utama iaitu Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf, Kursus Keusahawanan dan Simulasi Perniagaan Komuniti.

BIDANG kraf dalam projek PPKK ialah tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf.
BIDANG kraf dalam projek PPKK ialah tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf.

Pada peringkat permulaan, peserta diajar dengan aktiviti latihan kemahiran teknikal di bawah Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf yang bertujuan memberi pendedahan dan membangunkan kemahiran peserta dalam penghasilan produk kraf yang menarik serta berkualiti untuk dipasarkan bagi menjana pendapatan.

Peserta diajar secara berfasa dengan memfokuskan peningkatan kemahiran secara berperingkat mengikut modul yang ditetapkan.

Pada masa sama juga, peserta diberikan Kursus Keusahawanan bagi memberi pendedahan berkaitan aspek pengurusan perniagaan, kewangan, operasi, pemasaran, teknologi maklumat serta komunikasi.

Kursus ini membantu mempersiapkan para peserta atau komuniti baharu ini untuk menjadi usahawan kraf yang berjaya.

Selain itu, peserta didedahkan dengan pengalaman memasarkan produk kraf dihasilkan secara langsung kepada pelanggan di bawah aktiviti Simulasi Perniagaan Komuniti semasa promosi anjuran Kraftangan Malaysia.

Pada Disember ini, Kraftangan Malaysia menganjurkan dua promosi iaitu Festival Kraf Johor yang bermula 20 Disember 2023 hingga 1 Januari 2024 bertempat di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru dan Kraf Borneo Kita sempena MOTAC@ Bintulu pada 29 Disember 2023 hingga 7 Januari 2024 bertempat di Lasar Kenyalang Bintulu, Sarawak.

Orang ramai dijemput hadir untuk bersama-sama memeriahkan festival ini selain menyokong penglibatan komuniti kraf baharu yang terlibat bagi kedua-dua festival ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 7:01 AM