ROTAN digunakan sebagai bahan utama dalam menghasilkan set pelapik pinggan dan set meja kopi.
ROTAN digunakan sebagai bahan utama dalam menghasilkan set pelapik pinggan dan set meja kopi.

Penggunaan rotan sebagai hiasan dalaman adalah satu pilihan bijak bagi penggemar produk kraf tempatan.

Malah, hiasan berasaskan bahan semula jadi ini tampak lebih berseri jika ditempatkan pada sudut atau ruang tertentu.

Antara produk kraf rotan yang sering menjadi pilihan pengguna ialah bakul, bidai, beg anyaman, tudung saji dan hiasan dinding.

Menerusi program Anugerah Kreatif Kraf anjuran Institut Kraf Negara, baru-baru ini, rekaan produk kraf yang kreatif dan inovatif berjaya dihasilkan.

Berikut antara produk kraf rotan yang menerapkan ciri lebih ringkas, segar dan moden bersesuaian dengan gaya hidup masa kini:

Queen relax

Rekaan yang menggunakan material rotan dan diaplikasikan dalam reka bentuk kerusi malas.

Inspirasi bentuk perahu dizahirkan dalam bentuk kerusi malas. Papan lapis 9 milimeter (mm) digunakan sebagai rangka di bahagian dalam, kemudian dilitupi dengan anyaman menggunakan rotan pulur saiz 4 mm bagi rotan tiang serta anyaman menggunakan rotan saiz 3 mm.

Bahagian kaki pula meng­gunakan rotan batang bersaiz 34 mm berkulit dan dengan teknik ikatan pada bahagian tertentu.

Warna coklat yang kebiasaannya terdapat pada warna perahu digunakan bagi menampakkan elemen alam semula jadi dan corak warna yang melintang tampak lebih teratur serta berdisplin. Seakan-akan kerusi malas, produk ini amat sesuai diletakkan di ruang rehat.

Kerusi sompoton

Penggunaan motif alat muzik sompoton menghasilkan produk hiasan dengan satu tempat duduk yang turut sesuai diletakkan di ruang bilik tidur.

Kepala sompoton dijadikan kerusi dan pengambilan warna dari sompoton dikontemporarikan menggabungkan warna asli. Hasilnya nampak lebih tenang dan lembut.

Rotan bersaiz 28 mm digunakan sebagai rangka utama dalaman pada kerusi, sementara rotan pulur saiz 6 mm pula digunakan untuk rangka kaki kerusi.

Teknik lilitan menegak pada bahagian penyandar sementara tempat duduk, kedua-dua tepi kerusi menggunakan teknik lingkaran seakan-akan serupa dengan gula-gula lolipop.

Warna yang menarik pada corak dan garisan diaplikasikan. Bahagian tepi kedua-dua kerusi pula tampil dengan corak geometrik dan segi tiga.

Beg rotan legenda Kadazan

Ia sesuai dijadikan produk cenderamata, menampilkan reka corak yang lebih kontemporari dan diminati ramai.

Gabungan bahan lain seperti kulit dan logam disertakan dengan teknik anyam jalin satu serta jalin pintal dua songsang rotan 2 mm dan 2.5 mm menampakkan beg lebih ringan meskipun warnanya hitam.

Permainan warna hitam, kuning dan merah pada beg menggambarkan tenaga yang kembali pulih secara beransur-ansur dan semangat tinggi.

Penggunaan warna kuning dan merah pada anyaman beg nampak begitu menyerlah dan sesuai digayakan dengan gaya kasual untuk semua lapisan umur.

Placemat

Rotan digunakan sebagai bahan utama dalam menghasilkan set pelapik pinggan dan set meja kopi untuk produk hotel bermotifkan ‘gong’ ini.

Bentuk gong yang geometrik diterapkan dalam reka bentuk pelapik pinggan dan pergerakan warna gong menggunakan warna monokrafik dari cerah ke gelap.

Rotan pulur 2 mm digunakan sebagai tiang anyaman dan rotan pulur 1.5 mm sebagai anyaman produk.

Selain penggunaan kayu jelutung sebagai bahan gabungan produk dengan menggunakan teknik kerawang untuk dijadikan perincian pada produk ini.

Maklumat lanjut di www.kraftangan.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2015 @ 5:04 AM