Fairul Asmaini Mohd Pilus


KEDIAMAN jenis apartmen servis dan kondominium paling banyak dilelong di negara ini sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM ), Ishak Ismail berkata, berdasarkan data yang diterima, pasaran lelong kini mengalami peningkatan 10 ke 20 peratus.

Kebanyakan unit yang dilelong pula adalah membabitkan kediaman jenis itu yang berharga antara RM300,000 hingga RM600,000.

Kata Ishak, kebanyakan apartmen servis yang dilelong disebabkan pemilik terkesan akibat pelaksanaan PKP dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

"Katanya, pelaksanaan PKP sememangnya memberi kesan kepada rakyat, ada yang dibuang kerja kerana penutupan beberapa industri dan ada yang terpaksa menjadualkan semula hutang-hutang yang ada.

"Kenaikan OPR pula menyebabkan peminjam perlu membayar ansuran bulanan lebih kepada bank iaitu anggaran antara RM200 hingga RM500 sebulan.

"Selain itu, ramai juga pemilik yang terkesan kerana kediaman mereka tidak dibenarkan untuk disewa sebagai rumah percutian Airbnb oleh pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau pihak pengurusan kediaman dan peraturan kerajaan negeri.

"Pasaran lelong memang kita jangka meningkat, sejak November tahun lepas pihak bank sudah memulakan prosedur untuk mendapatkan perintah kawalan secara lelongan awam daripada pihak mahkamah atau pejabat tanah," katanya kepada Harian Metro.

SISTEM E-Lelong lebih mudah dan telus.
SISTEM E-Lelong lebih mudah dan telus.

Mengulas lanjut, Ishak berkata, kediaman jenis kondominium yang dilelong kebanyakannya membabitkan kumpulan pembeli yang bekerja dalam sektor minyak dan gas.

Katanya, pemilik biasanya sudah memiliki rumah pertama dan kondominium itu adalah aset hartanah kedua atau ketiga mereka.

"Apabila berlaku PKP dan keadaan ekonomi yang masih tidak stabil, pemilik yang kehilangan pekerjaan atau terjejas mula mengambil langkah untuk mengurangkan hutang yang ada termasuklah menjual dan melelong rumah yang tidak digunakan.

"Namun, dalam hal ini, hartanah jenis rumah bertanah khususnya yang berharga RM1 juta ke atas kurang terjejas kerana golongan T20 kurang terkesan.

"Yang paling terkesan, terjejas dan memerlukan bantuan adalah pemilik kediaman golongan pertengahan M40, kerana golongan B40 pula mendapat banyak bantuan daripada pihak kerajaan termasuk pembelian rumah mampu milik," katanya.

RAKYAT golongan M40 juga terjejas.
RAKYAT golongan M40 juga terjejas.

Sementara itu, Ishak berkata, peningkatan penjualan kediaman di pasaran lelong juga adalah peluang yang baik untuk direbut pencari rumah.

Ini kerana kebanyakan kediaman yang dilelong berada di kawasan yang sudah matang selain kaedah pembelian yang lebih mudah.

Menurut Ishak, kebanyakan proses lelongan rumah hari kini menggunakan sistem e-lelong secara maya dan individu yang berminat tidak perlu lagi menghadirkan diri secara fizikal atau mengambil cuti semata-mata untuk acara lelongan berkenaan.

"Kaedah itu lebih menyenangkan kerana bakal pembeli dapat mengetahui siapa pesaing yang berminat, sasaran harga dan acara lelongan juga lebih telus.

"Apapun, sebelum menyertai sesuatu bidaan, sebaiknya ketahui had kelayakan pinjaman dan mempunyai simpanan yang mencukupi.

"Ini kerana jika berjaya dalam bidaan, anda hanya ada masa selama 120 hari sahaja untuk menyelesaikan 90 peratus baki wang pembelian hartanah berkenaan," katanya.

Tambah Ishak lagi, pihaknya turut mengalu-alukan inisiatif kerajaan menerusi strategi pemulihan ekonomi untuk menaikkan kadar siling dan lantai.

Ini kerana kata beliau, inisiatif itu bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan rakyat malah jurang pendapatan juga dapat dikecilkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 7:00 AM