GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bank Rakyat memperkenalkan platform lelongan secara dalam talian, e-Lelong Ar-Rahnu bagi membolehkan pelanggan membuat bidaan barangan kemas atau barangan emas Pajak Gadai-i di mana-mana sahaja.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, pengenalan inisiatif itu bertujuan untuk mempertingkat produktiviti dan kecekapan pengendalian sesi lelongan, mengikut masa sebenar selain membantu menjimatkan masa pelanggan dan memastikan tidak berlakunya ketirisan maklumat.

Katanya, menerusi platform ini, pelanggan berdaftar boleh mengakses maklumat dengan lebih mendalam mengenai butiran barang lelongan, rekod transaksi lepas, tempat lelongan barangan dan harga rizab dengan lebih lancar dan mudah.

"Identiti pembida juga dirahsiakan yang mana secara tidak langsung meningkatkan ketelusan dan integriti proses lelongan.

"Pelaksanaan platform e-Lelong Ar-Rahnu ini menunjukkan komitmen berterusan bank dalam menyesuaikan capaian platform kepada tawaran produk dan perkhidmatan bank, dengan keperluan pelanggan serta persekitaran yang berubah-ubah menerusi penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam operasi perniagaan," katanya.

Untuk permulaan, barangan lelong yang ditawarkan adalah menerusi 10 cawangan Bank Rakyat dan Ar-Rahnu X'Change di Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu di Sentul, Jalan Rakyat, Ampang, Shah Alam, Melawati.

Selain itu, cawangan Bank Rakyat di Desa Pandan, Jalan Tangsi, Bangsar, Serdang Raya dan Seksyen 23, Shah Alam.

Bagaimanapun, tawaran bagi inisiatif ini akan diperluaskan ke semua cawangan Bank Rakyat atau Ar-Rahnu X'Change di seluruh negara secara berperingkat.

Pelanggan yang berminat boleh layari laman web e-Lelong, arrahnueauction.bankrakyat.com.my/ untuk mendaftar dan ikuti media sosial rasmi Bank Rakyat untuk sebarang notifikasi lelongan Pajak Gadai-i.

Sesi lelongan berlangsung setiap bulan, pada 20 atau 21 hari bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 4:18 PM