TAMAN riadah berhampiran.
TAMAN riadah berhampiran.
Nurul Husna Mahmud


TERIKAT dengan komitmen jangka panjang dalam milikan hartanah, membuatkan pemilihan atau pencarian sesuatu unit hartanah itu perlu diteliti segenap aspek.

Bukan hanya melihat kepada aspek berpadanan dengan bajet dan memenuhi senarai keperluan bakal pemilik, maklumat berkaitan termasuk pemaju perlu diteliti bagi memastikan setiap urusan pemilikan hartanah berjalan lancar.

Itu dilakukan Nur Farahain Mohd Isa apabila membeli rumah pertamanya jenis apartmen di Kajang, Selangor pada 2019.

Kata pegawai kredit berusia 32 tahun itu, mengenal pasti pemaju antara elemen penting bagi memastikan kadar risiko berkaitan pembelian rumah menjadi rendah.

"Pandangan saya, perkara pertama sekali dalam proses pencarian rumah ialah perlu kenal pasti pemaju projek rumah.

"Buat sedikit pembacaan dan carian berkaitan pemaju berkenaan termasuk latar belakang projek pernah dibangunkan. Ini mencegah isu berkaitan seperti rumah terbengkalai atau kualiti pembinaan teruk dapat dielak.

"Apabila sudah yakin, baru teruskan untuk langkah berikutnya. Jangan terburu-buru ketika mencari rumah, perlu dalam keadaan tenang dan ada simpanan," katanya turut berkongsi pengalaman itu menerusi akaun Instagramnya.

Mengukuhkan lagi impian memiliki hartanah pertama, Nur Farahain berkata, dia melakukan persiapan terutama pengetahuan mengenai hartanah.

"Sebenarnya persiapan untuk membeli rumah sudah lama saya lakukan kerana sasaran saya sebelum berkahwin ingin memiliki rumah sendiri.

"Selepas tamat belajar di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), saya sudah mula mengumpul maklumat menerusi pembacaan dan meneliti serba sedikit berkaitan hartanah.

"Saya aktif sertai forum di internet dan bertanya kepada kenalan yang bekerja dalam bidang hartanah. Fokus saya ketika itu mencari rumah sekunder di sekitar Kuala Lumpur.

DILENGKAPI fasiliti kolam renang.
DILENGKAPI fasiliti kolam renang.

"Cuma pada ketika itu, saya baru bekerja dan hanya membuat persiapan dari segi pembacaan. Selepas beberapa tahun bekerja dan ekonomi diri mula stabil, baru saya beranikan diri untuk melawat rumah contoh," katanya.

Tambah Nur Farahain lagi, dalam keterujaan meninjau prospek hartanah memenuhi keperluannya, dia tidak tergesa-gesa dalam membuat pilihan termasuk terus tidak membuat pembelian jika ada yang menambat hatinya.

"Saya lihat rumah contoh (untuk kediaman dibeli) sebanyak tiga kali pada penghujung 2019. Ia adalah projek rumah pertama yang saya lawati.

"Setiap kali lawatan saya ambil gambar dan video. Sebaik balik rumah, saya kaji setiap aspek rumah menerusi gambar atau video berkenaan.

RUANG tamu dengan balkoni.
RUANG tamu dengan balkoni.

"Saya tertarik dengan susunan rumah ini. Jadi, apabila saya sudah yakin dengan pelbagai aspek termasuk pemaju saya terus bayar deposit.

"Kira-kira awal 2020, ejen minta saya pilih unit dan sediakan dokumen kepada bank. Cabaran awal adalah permohonan pertama saya di sebuah bank tempatan ditolak. Namun, selang beberapa hari wakil bank lain menghubungi memaklumkan pinjaman perumahan diluluskan dan tahun yang sama saya tandatangan perjanjian jual beli (S&P)," katanya.

Persiapan lain dilakukan wanita itu termasuk membuat simpanan untuk persiapan bagi keperluan tinggal di rumah baharu itu.

Kata Nur Farahain, apartmen dibeli adalah projek perumahan baharu berlainan daripada perancangan asal iaitu untuk memiliki kediaman sekunder di Kuala Lumpur.

RUMAH berkeluasan 95 meter persegi yang baharu sahaja siap serahan kunci pada tahun ini.
RUMAH berkeluasan 95 meter persegi yang baharu sahaja siap serahan kunci pada tahun ini.

"Rumah yang dibeli adalah apartmen tiga bilik tidur, tiga bilik air, balkoni dan diberi akses dua parkir.

"Menariknya apartmen ini mempunyai fasiliti iaitu kolam renang, taman umtuk beriadah dan kawalan keselamatan yang baik.

"Selain itu, pakej unik ditawarkan pemaju turut menyediakan hampir 80 peratus perabot dan peralatan elektrik seperti televisyen, rak, peti ais, pendingin hawa, kabinet dapur, almari baju dan pemanas air.

"Harga rumah ini bernilai RM265,000 dan terletak dalam kawasan yang strategik bagi satu pelaburan yang berbaloi,"

katanya.

Nur Farahain menyifatkan hartanahnya itu masih menepati sebagai rumah cukup ideal untuk dimiliki kerana turut mempunyai akses pengangkutan awam yang mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 7:01 AM