TURUT berpeluang menaiki unta di kawasan Piramid.
TURUT berpeluang menaiki unta di kawasan Piramid.
Hairul Anwar Ali


Perjalanan penulis ke Mesir bersama ahli rombongan lain dari Malaysia pada Mei lalu disifatkan antara tempoh penerbangan yang panjang berdasarkan kira-kira 13 jam diambil sebelum mendarat di Kaherah.

Mana tidaknya perjalanan yang menggunakan khidmat penerbangan Emirates itu juga melalui tempoh transit selama dua jam di Dubai sebelum sampai ke ibu negara Mesir itu.

Sebaik sahaja tiba, kami hanya sempat makan malam sebentar sebelum menyambung semula perjalanan sejauh 250 kilometer kira-kira tiga jam ke bandar kedua terbesar di Mesir iaitu Iskandariah. Ia berada di pinggir laut Mediterranean.

'Mood' perjalanan masih begitu santai dan selesa kerana Mei adalah musim bunga yang dirasakan tempoh ideal untuk menjelajah bumi anbia yang berlangsung selama lapan hari.

Pengembaraan sebenar hanya bermula seusai Subuh keesokan harinya apabila lokasi empayar kerajaan Islam dan makam ulama tersohor dikunjungi.

Bagi lawatan di Iskandariah, antara tempat kunjungan kami Kubu Qaitbay (peninggalan kerajaan Mamluk), masjid dan kubur Sidi Abbas Al Mursi (seorang ulama sufi terkenal di Mesir), Makam Saidina Abu Darda RA, Masjid Nabi Danial AS berserta makamnya dan makam Luqmanul Hakim.

Kami juga sempat menjengah taman diraja iaitu Taman Montazah yang dibina Khedive Abbas II iaitu pemerintah Mesir sekitar 1892-1895.

Hari berikutnya kami kembali ke Kaherah untuk menyusuri lokasi bersejarah bagi umat Islam. Rombongan dari Malaysia 'wajib' mengunjungi masjid dan kubur Imam Syafii yang juga pengasas Mazhab Syafii.

ISTANA lama turut dilawati ahli rombongan.
ISTANA lama turut dilawati ahli rombongan.

MAKAM Imam Syafii.
MAKAM Imam Syafii.

Tidak hanya itu, kami pengunjung dari Malaysia turut dapat melihat masjid dan makam yang berkait dengan waris susur- galur Rasulullah SAW.

Antaranya, masjid dan makam Sayyidah Aisyah RA (cicit Rasulullah SAW), masjid dan makam Sayyidah Nafisah RA (piut Rasulullah SAW), masjid dan makam Sayyidah Zainab RA (cucu Rasulullah SAW) dan masjid serta makam Saidina Husein yang juga cucu Rasulullah SAW.

Semestinya Kaherah juga amat tersohor dalam kalangan orang Malaysia kerana ramai pelajar dari Malaysia menuntut di kampus utama Universiti Al Azhar di bandar itu.

Penerimaan orang tempatan terhadap orang Malaysia juga sangat baik sehingga digelar 'Ahsan Nas' (sebaik-baik manusia) kerana reputasi atau imej akhlak penuntut Malaysia begitu disenangi.

Kami memilih laluan ke Semenanjung Sinai kerana laluan ini lebih banyak kesan sejarah nabi dan Islam berbanding ke arah selatan Mesir seperti Luxor serta Aswan.

Jika mahu masuk ke Semenanjung Sinai, pengunjung perlu menempuh terowong Ahmad Hamdi iaitu terowong yang melintasi di bawah Terusan Suez. Terowong ini sangat terkenal dan penting bagi laluan perkapalan dunia.

Ketika melewati perjalanan ke bandar Tursina, kami berpeluang melawat 12 telaga mata air Nabi Musa AS. Kisah telaga itu berkait dengan 12 golongan pengikut Nabi Musa AS yang berjaya menyeberangi Laut Merah.

Sinai juga adalah destinasi penuh dengan sirah atau kisah rasul. Nabi Musa AS, Nabi Harun AS, Nabi Saleh AS dan Nabi Isa AS juga ada penceritaan atau tinggalan sejarah di situ. Bagi orang Yahudi dan Nasrani (Kristian), tempat itu juga menjadi tempat suci mereka kerana percaya kitab Taurat diturunkan di sini.

MAKAM Abu Darda RA.
MAKAM Abu Darda RA.

BELAYAR di Sungai Nil antara aktiviti tidak boleh dilepaskan di Kaherah.
BELAYAR di Sungai Nil antara aktiviti tidak boleh dilepaskan di Kaherah.

Selepas Sinai, giliran Giza pula menjadi lokasi kunjungan kami apabila tiga piramid yang terbesar pernah dibina atau masih berada di lokasi itu.

Piramid Khufu, Khafre dan Menkaure berada di tapak sama terletaknya patung berbadan singa berkepala manusia, Sphinx yang sangat ikonik.

Di kawasan ini juga pengunjung perlu berhati-hati daripada ditipu penjual jalanan dan penggembala unta serta kuda. Jangan lepas peluang menaiki unta dan pastikan meminta bantuan pemandu pelancong rombongan untuk aturkan supaya lebih selamat serta tidak ditipu.

Di Giza juga tarikan berbelanja apabila pengunjung boleh membeli minyak wangi dan kertas papirus bermutu tinggi. Papirus adalah kertas pertama di dunia.

Di Bahnasa pula kami berpeluang melawat tapak perkuburan syuhada yang dikatakan jasad 5,000 sahabat Rasulullah disemadikan. Mereka terkorban ketika misi membebaskan bumi Mesir daripada cengkaman Rom. Bahkan Bahnasa ini digelar Baqi' (Taman Pepohonan) kedua selepas bumi Madinah.

Kami menyambung perjalanan ke Faiyum yang juga kota ketiga tertua di dunia. Kota tua itu dikatakan dibina dalam masa 1,000 hari. Ada juga mensabitkan Faiyum dibina ketika zaman Nabi Yusuf AS.

Faiyum adalah wilayah subur dengan pertanian dan masih terdapat kincir air yang dikatakan dibina sejak zaman Nabi Yusuf lagi. Kincir air ini masih berfungsi dan ia unik kerana mengeluarkan bunyi seperti muazin mengalunkan azan.

Di Faiyum juga kami berpeluang melawat Tasik Qarun yang Allah SWT menenggelamkan Qarun bersama pengikut dan hartanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 7:04 AM