USTAZ Mohd Zarimi mengabadikan kenangan di kawasan Kubu Qaitbay iaitu sebuah kubu pertahanan yang dibina pada abad ke-15  di pantai Laut Mediterranean di Alexandria, Mesir.
USTAZ Mohd Zarimi mengabadikan kenangan di kawasan Kubu Qaitbay iaitu sebuah kubu pertahanan yang dibina pada abad ke-15 di pantai Laut Mediterranean di Alexandria, Mesir.
Mohd Fadly Samsudin


ANTARA kota yang memiliki pemandangan mempesona di Mesir adalah Alexandria. Orang Mesir menggelarnya Iskandariah.

Terletak di utara Mesir, kota lama itu adalah yang kedua terbesar selepas Kaherah.

Terletak berhadapan kebiruan Laut Mediterranean, ia

sememangnya menjadi destinasi popular pelancong dari seluruh dunia.

Mudir Maahad Tahfiz Al-Istiqamah, Temerloh, Pahang, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih menceritakan pengalamannya bersama 70 peserta rombongan Kembara Makrifat ke bumi Mesir yang sarat dengan sejarah anbiya’ itu.

Menurutnya, Alexandria diambil sempena nama pahlawan terkenal dengan gelaran Alexander The Great.

“Peristiwa bermula apabila Alexander The Great menjejakkan kakinya di bumi Iskandariah lalu menyatakan di situlah beliau akan bangunkan kotanya selepas sekian lama diimpikan.

“Beliau memerintahkan ahli perancang kota Yunani iaitu Denekrates untuk merealisasikan impiannya membina sebuah kota di situ.

Alexander The Great dan pasukan tenteranya kemudian masuk ke wilayah Mesir pada tahun 332 Sebelum Masihi.

“Alexandria pernah menjadi ibu kota negara Mesir selama 1,000 tahun dan berterusan sehingga penaklukan Islam pada abad ke-21 Hijrah bersamaan 621 Masihi.

“Ia melalui tiga peradaban besar iaitu Ptolemi, Romawi dan Byzantein. Di sana juga dikisahkan pelbagai sejarah Islam antaranya terdapat makam nabi, sahabat dan wali seperti Abu Darda’, makam Nabi Daniel, Lukman Al-Hakim serta pelbagai tinggalan sejarah lama,” katanya.

SUASANA dan hiasan dalaman di dalam Masjid Abu Abbas Al-Mursi di Iskandariah.
SUASANA dan hiasan dalaman di dalam Masjid Abu Abbas Al-Mursi di Iskandariah.

Mohd Zarimi berkata, di sebelah timur pelabuhan Iskandariah terdapat Kubu Qaitbay yang dibina pada 1477 Masihi.

“Keluasan benteng itu adalah dua hektar persegi yang dibina di atas tapak rumah api yang pernah menjadi catatan sejarah kepada salah satu daripada tujuh perkara ajaib di dunia iaitu piramid di Giza.

“Masjid terpenting di Iskandariah pula adalah Masjid Abu Abbas Al-Mursi. Ia dinamakan sempena nama ulama besar dari Murcia, Sepanyol yang beragama Islam.

“Sheikh Abu Abbas datang ke Mesir pada kurun 13 Masihi ketika Sepanyol diserang Kristian. Beliau juga anak murid yang amat disayangi Sheikh Syazali iaitu ulama terkenal pada waktu itu,” katanya.

Menurutnya, kembara makrifat di bumi Mesir diteruskan ke kawasan subur di Al-Fayoum.

“Terletak 105 kilometer arah selatan Kaherah, kawasan itu sangat subur bagi aktiviti pertanian.

“Kehijauan Fayoum ada kaitan ketika Nabi Yusuf menjadi Menteri Perbendaharaan. Baginda ketika itu membina saliran bagi mengalirkan air dari Sungai Nil.

“Kemudian Nabi Yusuf membina kincir air dari danau dan disalurkan kepada penduduk serta tanaman sehingga menjadikan Fayoum sebuah bandar subur dan sumber makanan bagi rakyat Mesir.

“Perkara itu dinyatakan dalam Surah Yusuf, ayat 55 yang bermaksud: “Jadikanlah aku seorang yang berkuasa untuk mengelola (hasil) bumi (Mesir), sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya lagi mengetahui cara mentadbirkannya.”

“Nabi Yusuf AS pernah dibuang adik-beradiknya kerana perasaan iri hati. Baginda dijadikan anak angkat oleh Al-Aziz lalu digoda Zulaikha dan dipenjarakan kerana fitnah perempuan.

“Baginda dikurniakan Allah SWT mukjizat boleh mentafsir mimpi. Pada satu hari, Raja Mesir bermimpi dan memintanya untuk mentafsirkan mimpi itu.

“Akhirnya Baginda dilepaskan dari penjara selepas Raja Mesir mengetahui Nabi Yusuf tidak bersalah. Ketika Nabi Yusuf menjadi menteri, Mesir pernah ditimpa kemarau selama tujuh tahun menerusi mimpi raja Mesir.

PESERTA rombongan menunaikan solat di Masjid Abu Abbas Al-Mursi di Iskandariah.
PESERTA rombongan menunaikan solat di Masjid Abu Abbas Al-Mursi di Iskandariah.

“Bagaimanapun, hasil kecerdikan Baginda, mereka semua sudah bersedia menghadapinya,” katanya.

Beliau berkata, melalui peluang berkunjung ke Mesir, kita dapat melihat tanda-tanda kebesaran Allah SWT yang murka terhadap kesombongan dan ketamakan orang kanan Firaun bernama Qarun.

“Qarun hidup pada zaman Nabi Musa yang mempunyai hubungan kekerabatan iaitu sepupu baginda. Qarun juga adalah kawan baik Firaun.

“Qarun dikurniakan kekayaan dan kemewahan tetapi sombong dan kufur. Akhirnya Allah SWT menenggelamkan Qarun bersama-sama hartanya.

“Dalam Surah Al-Qasas, ayat 81, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Lalu kami timbuskan dia bersama rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya satu pun yang akan menolongnya selain Allah dan dia tidak termasuk orang-orang yang dapat membela diri.”

“Di Tasik Qarun itu dikatakan terletak istana Qarun yang ditenggelamkan. Memang sangat besar tasik itu dan bayangkanlah kekayaan yang Qarun miliki.

“Tasik itu adalah tasik air masin berdasarkan banyak kulit kerang dan siput yang terdapat di situ. Malangnya, kawasan sejarah itu tidak dijaga dengan baik kerana terdapat banyak sampah di sekitarnya,” katanya.

Mohd Zarimi berkata, dia bersama rombongan turut berkesempatan menerima nasihat dan ilmu daripada imam Masjid Al-Azhar dan sempat bersama seorang ulama terkenal iaitu Syeikh Yusri di Masjid al-Ashraf Muqattam.

“Benarlah seperti yang difirmankan oleh Allah SWT menerusi ayat 111 daripada Surah Yusuf yang menyatakan, kisah nabi itu mengandungi pengajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran.

“Ia bukan cerita yang diada-adakan, tetapi mengesahkan apa yang disebut di dalam kitab agama yang terdahulu selain menjadi keterangan serta petunjuk bagi kaum yang mahu beriman,” katanya.

PESERTA rombongan mentadabbur ayat al-Quran mengenai kisah Qarun di tepi Tasik Qarun di Fayoum.
PESERTA rombongan mentadabbur ayat al-Quran mengenai kisah Qarun di tepi Tasik Qarun di Fayoum.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 9:53 AM