DHAKSHINI menunjukkan keunikan lukisannya.
DHAKSHINI menunjukkan keunikan lukisannya.
Lydia Saiful dan Suhaila Khairie


KEINDAHAN seni di Bazar Seni 2023, di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG), Kuala Lumpur baru-baru ini meraikan seniman tempatan dengan mempamerkan bakat dan memupuk kemahiran keusahawanan mereka.

Menariknya, bazar itu bertemakan Apa Khabar? dengan menampilkan pelbagai karya seni dan memberi seniman ruang untuk meneroka serta menzahirkan erti kesejahteraan.

Bazar berkenaan menggalakkan interpretasi seni yang meluas termasuk catan, lukisan, seni cetak dan karya seni daripada media campuran yang juga dijual pada RM2,500 dan ke bawah.

Kurator BNM MAG, Siti Melorinda Khuzaina Sakdudin berkata, pameran yang diadakan selama dua minggu itu adalah kali kelapan dianjurkan Muzium Bank Negara.

"Tema yang diketengahkan tahun ini adalah kesejahteraan apabila ia kesinambungan daripada tema tahun lalu iaitu kelestarian.

"Artis yang dipilih berdasarkan karya yang menepati tema atau melalui pensyarah dari universiti. Namun, ada juga yang diterima melalui cadangan yang dihantar.

"Selain pameran, kami juga menyediakan demonstrasi karya dan bengkel daripada pengkarya di tapak pameran masing-masing sepanjang berlangsungnya pameran itu," katanya ketika ditemui Xpresi.

Siti Melorinda berkata, konsep yang dibawa bertujuan menenangkan dan meluahkan apa yang dirasai pengkarya serta berkongsi perasaan serta emosi secara dua hala bersama pengunjung.

ANTARA seni sulaman yang dipamerkan.
ANTARA seni sulaman yang dipamerkan.

"Pengunjung dapat mengenali pengkarya dan hasil seni yang dipamerkan selain dapat berkongsi dan memperoleh inspirasi daripada karya yang dipamerkan.

"Saya berharap lebih ramai dapat menyokong dan menghargai pengkarya tempatan kita untuk membantu meningkatkan nilai karya mereka pada masa akan datang," katanya.

Menurut Siti Melorinda, selain menghayati karya seni di bazar itu, pengunjung juga berpeluang melihat koleksi lain yang dipamerkan di BNM.

Sementara itu, anak kelahiran Semenyih, Selangor, Lim Tong Xin, 22, berkata, dia menggunakan media campuran dalam penghasilan karya seninya. Dia juga menggunakan lebih daripada satu medium.

FARID Sarudin bersama karya seninya.
FARID Sarudin bersama karya seninya.

"Kebanyakan karya yang dihasilkan terinspirasi daripada pelbagai benda, tetapi selalunya penghasilan berkenaan adalah berdasarkan pengalaman dan kehidupan saya serta emosi dirasakan ketika itu," katanya.

Lim berkata, ibu bapa adalah individu yang sering memberi galakan dan menjadi pendorong utama dalam mengembangkan hasil karyanya terutama daripada segi kewangan.

"Saya sangat gembira kerana ini adalah kali pertama menyertai pameran seni kerana sebelum ini saya hanya menyertai pertandingan.

"Jadi saya memang memanfaatkan pengalaman dan peluang ini dan tidak sabar untuk menanti perkara lain yang akan 'diberikan' kepada saya," katanya.

LIM bersama karya seninya.
LIM bersama karya seninya.

Sementara itu, pelatih industri, Mohamad Farid Sarudin, 26, berkata, konsep seni yang dihasilkan adalah imej makanan, budaya dengan lukisan dan kemudian dimasukkan elemen sulaman dalam lukisan.

Sulaman yang terhasil daripada lukisan dibuat perlu dimasukkan dengan pelbagai jenis warna benang yang boleh menarik minat orang ramai untuk mencuba makanan itu.

"Kebanyakan lukisan makanan itu, saya selitkan konsep Menu Rahmah menggunakan pinggan berwarna oren dan kuantiti yang kecil bersesuaian dengan konsepnya yang dihasilkan secara tiga dimensi (3D).

Artis visual, Dhakshini Jeganathan, 26, pula berkata, lukisan yang dihasilkan adalah daripada muzik, alam semula jadi dan imaginasi tertentu selain cuba membawa pergerakan kepada kerja keluli juga dengan cara melakukan seni kinetik yang boleh bergerak.

SENI bergerak yang dihasilkan menggunakan kayu dan akrilik serta bahan aluminium.
SENI bergerak yang dihasilkan menggunakan kayu dan akrilik serta bahan aluminium.

"Saya menggunakan lukisan akrilik dan untuk seni bergerak pula dihasilkan menggunakan kayu dan akrilik serta bahan aluminium.

"Semua karya seni yang dihasilkan berkonsepkan 'healing' atau penyembuhan kerana saya mengalami pengalaman yang sukar dilupakan iaitu kematian ahli keluarga (ayah).

"Sejak berumur 10 tahun, saya sudah melukis dan bapa saya adalah pelukis, namun dia tidak mengajar saya berkenaan seni tetapi percaya darah seniman itu mengalir dalam diri saya," katanya.

Di samping itu, antara artis lain yang turut mengambil bahagian dalam bazar seni berkenaan adalah Hazimah Harith, Farid Sarudin, Zulaika Simon, Zera Hamzah, Khairanee, Arman Rizaudin, Badrilzzaman Abu, Nasrul Rokes, Amirul Zulkifli, Sok Yeng Leong, Zulhimi Fauzi, Nurfazleen Kasim, dan Herman Rawi.

ANTARA artis yang menyertai Bazar Seni 2023.
ANTARA artis yang menyertai Bazar Seni 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 6:20 AM