PENDAKI berjalan rapat ketika melalui lereng gunung yang curam.
PENDAKI berjalan rapat ketika melalui lereng gunung yang curam.
PERJALANAN awal pendakian selepas memasuki pintu Kande.
PERJALANAN awal pendakian selepas memasuki pintu Kande.
PEMANDANGAN indah puncak gunung Machapuchare yang hanya dapat dilihat pada sebelah pagi dari Rest Camp.
PEMANDANGAN indah puncak gunung Machapuchare yang hanya dapat dilihat pada sebelah pagi dari Rest Camp.
Husain Jahit


DISERANG pacat menjadi igauan sebahagian 50 pendaki Malaysia ke Kem Pangkalan Mardi Himal, di Nepal yang akhirnya mengalah lalu membiarkan sahaja ia menghisap darah terutama di bahagian kaki malah, ada yang sampai ke muka dan badan.

Itulah sebahagian kecil kenangan yang tak dapat dilupakan bagi pendaki Ekspedisi Simulasi Menyelamat di Altitud Tinggi di Kem Pangkalan Hadapan Mardi Himal, Nepal disertai pelbagai agensi iaitu Pejabat KDYMM Sultan Pahang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSAS), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan wakil agensi media, baru-baru ini.

Pendakian gunung setinggi 4,500 meter itu dilaksanakan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

Perjalanan bermula di pintu masuk Kande dengan pengalaman berbeza daripada gunung lain di Nepal kerana kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan trek adalah hutan.

Terdapat juga perkampungan penduduk pada awal pendakian dan kemudian hutan, tetapi biasalah trek gunung di Nepal walaupun hutan, sudah tersedia tangga batu yang banyak dan tinggi untuk memudahkan pendaki.

Penulis yang turut menyertai kumpulan ini bersama-sama memulakan pendakian hari pertama ke Pitam Deurali pada ketinggian 2,100 meter yang agak santai kerana dekat saja. Ia mengambil masa kira-kira empat setengah jam dan elevasi kira-kira 895.6 meter.

SEMUA pendaki bergambar kenangan bersama Exco Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal dan Pengarah Negeri (Pahang), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa yang mengiringi sehingga ke kem Pitam Deurali.
SEMUA pendaki bergambar kenangan bersama Exco Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal dan Pengarah Negeri (Pahang), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa yang mengiringi sehingga ke kem Pitam Deurali.

Kami berhenti rehat untuk makan tengah hari di kem Pothana. Hidangan biasa disediakan restoran di pergunungan adalah nasi goreng dan telur dadar. Sebahagian daripada kami pula ada yang bawa petai untuk menambah selera.

Perjalanan diteruskan dalam tempoh hampir dua jam dan masih santai. Ada kalanya kami terserempak kawanan kerbau dan kuda belaan penduduk tempatan yang turut melalui jalan sama.

Sesampai di kem Pitam Deurali, kami membuat senaman menyejukkan badan. Ini penting untuk mengelakkan rasa sakit badan.

Apabila semua peserta sudah mendapat kunci bilik, masing-masing 'beracara' bebas atau berehat sementara menunggu makan malam.

Pasukan perubatan pula mula membuka kaunter untuk pemeriksaan tekanan darah, tahap oksigen dalam badan dan sebagainya. Ini penting untuk memastikan setiap pendaki berada dalam keadaan sihat dan bersedia untuk mendaki lebih tinggi lagi pada keesokannya harinya.

PEMANDANGAN indah kawasan pergunungan dari kem Pitam Deurali.
PEMANDANGAN indah kawasan pergunungan dari kem Pitam Deurali.

Selepas selesai solat Isyak berjemaah, kami membuat sedikit doa selamat dan tahlil arwah sebelum makan malam. Apabila selesai, kami pun melabuhkan gebar masing-masing untuk mendapatkan rehat secukupnya bagi perjalanan yang lebih panjang esok.

Hari kedua pendakian membabitkan perjalanan lebih mencabar sejauh 13 kilometer ke Rest Camp. Perjalanan lebih enam jam itu melalui kawasan hutan yang macam tidak habis-habis. Sekali-sekali bertemu aliran mata air yang bening dan sejuk.

Kami berhenti rehat dan makan tengah hari di Dod Kharka. Masing-masing mula menyelak seluar dan buka kasut untuk melihat sama ada pacat ada hinggap atau tidak. Makanan yang disediakan pula serba ringkas iaitu nasi goreng, telur dadar dan spageti goreng.

Selesai makan tengah hari kami teruskan perjalanan ke Rest Camp. Di sini kami kesejukan akibat hujan sepanjang jalan. Nasib baik lokasi penginapan ini ada pendiang yang cukup untuk kami memanaskan badan dan jemur kasut atau pakaian basah.

PACAT yang sentiasa menjadi igauan pendaki.
PACAT yang sentiasa menjadi igauan pendaki.

Hari ketiga bermula dengan tenang tanpa hujan pada sebelah pagi. Cuaca yang terang itu membuka pemandangan indah jajaran gunung yang antaranya Gunung Machapuchare dan Gunung Anapurna. Kami pun ambil peluang untuk bergambar dan mengabadikan kenangan.

Selepas perhimpunan pagi dan sedikit taklimat, pendaki meneruskan pendakian ke High Camp pada ketinggian 3,600mdpl dengan jarak 10 kilometer. Semakin tinggi kita mendaki semakin mencabar keadaannya dan lebih berbahaya kerana membabitkan laluan di lereng bukit.

Hujan sepanjang jalan menyebabkan pendakian lebih perlahan. Kira-kira 10 jam diambil untuk sampai ke High Camp. Laluan basah itu menyebabkan pacat bermaharajalela menunggu mangsa. Pantang berhenti pasti ada pacat yang hinggap.

Penulis sendiri yang geli dengan pacat akhirnya reda dan membiarkan saja ia menghisap darah hingga kenyang. Sudah kenyang ia pun jatuh sendiri.

PENULIS bersama rakan media dari Bernama Pahang Mohd Hafiz Abbas (tengah) dan Jurufoto TV3 Mohd Jufri Mohd Judin (kanan) bergambar di batu tanda Kem Pangkalan Mardi Himal.
PENULIS bersama rakan media dari Bernama Pahang Mohd Hafiz Abbas (tengah) dan Jurufoto TV3 Mohd Jufri Mohd Judin (kanan) bergambar di batu tanda Kem Pangkalan Mardi Himal.

Hari keempat, semua pendaki diingatkan supaya lebih peka dengan keadaan sekeliling dan tahap kesihatan sendiri kerana apabila sudah berada di ketinggian lebih 4,000 meter faktor oksigen menjadi lebih utama. Semakin tinggi kita mendaki semakin nipis kadar oksigennya.

Pendakian diteruskan walaupun hujan semakin lebat. Di sini pendaki rasa tertipu dek jurupandu pendakian kerana dikatakan dekat saja untuk sampai.

Hakikatnya selepas berjalan sejauh tujuh kilometer, pada jam 1.30 tengah hari barulah semua 50 pendaki menemui Kem Pangkalan Mardi Himal di ketinggian 4,500 mdpl.

Alhamdulillah, semua selamat dan sihat di puncak dalam hujan lebat. Pelbagai reaksi dan emosi ditunjukkan setiap pendaki. Tangis dan tawa, itu menjadi kebiasaan apabila sesuatu misi pendakian itu tercapai. Ia sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

PEMANDANGAN ketika pendaki melalui kawasan hutan.
PEMANDANGAN ketika pendaki melalui kawasan hutan.

Disebabkan hujan berpanjangan, tiada pemandangan yang boleh dibanggakan selain batu-batu tanda keberadaan pendaki di Kem Pangkalan Mardi Himal. Awan tebal terus menyelubungi pemandangan puncak gunung berdekatan.

Selepas puas merakamkan detik indah sebagai kenangan, perjalanan turun ke High Camp dimulakan pada jam 3 petang.

Hari kelima adalah hari untuk memulakan perjalanan pulang kepada semua pendaki bermula seawal jam lapan pagi untuk ke Sidhing Village dengan jarak 15 kilometer.

Perjalanan turun diteruskan pada hari keenam membabitkan jarak lima kilometer ke bandar Lumre. Hari terakhir itu tiada hujan dan suasana sedikit cerah.

PENDAKI merakam kenangan di High Camp sebelum memulakan perjalanan turun.
PENDAKI merakam kenangan di High Camp sebelum memulakan perjalanan turun.

Pemandangan indah dan mengagumkan kelihatan di bandar Lumre yang dihiasi jaluran sungai dan kehijauan bendang padi yang terbentang luas. Semua peserta selamat sampai pada jam 12.30 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 6:30 AM