SEMUA pendaki diketuai Datuk Nor Hisham Muhammad mengabadikan kenangan dalam hujan lebat ketika berada di Kem Pangkalan Mardi Himal.
SEMUA pendaki diketuai Datuk Nor Hisham Muhammad mengabadikan kenangan dalam hujan lebat ketika berada di Kem Pangkalan Mardi Himal.
Oleh Husain Jahit


Selepas mengharungi pelbagai cabaran sewaktu pendakian selama empat hari, kesemua 50 pendaki Ekspedisi Simulasi Menyelamat Di Altitud Tinggi@Mardi Himal, Nepal berjaya sampai ke Kem Pangkalan Mardi Himal setinggi 4,500 meter dari paras laut, pada petang Sabtu lalu.

Ekspedisi yang disertai pelbagai agensi kerajaan dan media itu direalisasikan bersempena memuliakan ulang tahun hari keputeraan ke-64 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

Timbalan Ketua Pengarah Bomba Malaysia (Bahagian Pembangunan) merangkap Ketua Kontinjen, Datuk Nor Hisham Mohammad berbangga kerana semua pendaki berjaya sampai ke Kem Pangkalan Mardi Himal tanpa masalah walaupun dalam keadaan cuaca hujan sepanjang hari.

"Ini semua cabaran dan titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Patik menjunjung perintah dan alhamdulillah pada hari ini, 12 Ogos 2023 keseluruhan 50 pacal-pacal pendaki berjaya sampai di sini," katanya dalam sebak ketika ditanya sebaik sampai di Kem Pangkalan Mardi Himal.

Kesemua pendaki sampai di Kem Pangkalan Mardi Himal hampir dalam tempoh yang sama selepas mendaki lebih tujuh kilometer dari Kem Tinggi yang mengambil masa kira-kira lima jam pendakian.

Menurut Nor Hisham, ia adalah hasil perancangan dan penelitian yang kita buat terhadap cabaran yang ada itu, dapat kita rangka strategi pada tempoh empat hari mendaki dan dua hari menurun.

"Salah satu daripada matlamat itu ialah kita letakkan pencapaian untuk sampai ke Mardi Himal Base Camp. Tetapi, setiap agensi mempunyai objektif tertentu. Saya percaya objektif-objektif ini dirangka oleh agensi tersedniri dan secara umumnya ia diperoleh.

"Namun begitu, saya juga melihat ekspedisi ini adalah di luar kepompong objektif awal yang diletakkan kerana apabila kita berada di trek kita melihat ada pelbagai perkara lain yang kita belajar. Itu saya nampak perkara yang lebih besar berbanding pencapaian asal yang kita capai ke Mardi Himal itu untuk kita bawa balik ke Malaysia," katanya.

Agensi yang terbabit ialah daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Persatuan Isteri dan Pegawai Wanita Bomba dan Penyelamat Malaysia dan media.

Pendaki tiba di Kathmandu, Nepal pada hari Isnin 7 Ogos 2023 dengan pesawat penerbangan tempatan.

Sementara itu, Pengarah Forest Eco-Park dan Taman Negeri, Mohd Yussainy Md Yusof berkata, tiada perkataan boleh digambarkan apabila sampai di Kem Pangkalan Mardi Himal.

Menurutnya, beliau tidak percaya boleh sampai, hanya motivasi daripada rakan-rakan sesama pendaki yang membawa dirinya sampai di atas, sedangkan jika diikutkan tenaga memang sudah habis di pertengahan jalan.

"Saya diserang penyakit akut gunung ringan (mild AMS) yang menyebabkan saya muntah lapan kali. Ketika itu saya terfikir untuk tidak meneruskan perjalanan. Tetapi atas dorongan rakan dan bantuan pasukan perubatan saya minta diberi peluang sampai ke View Camp.

"Apabila mula berjalan saya rasa boleh lagi meneruskan perjalanan dan akhirnya sampai ke Kem Pangkalan Mardi Himal. Saya banyak belajar daripada kejadian itu, antaranya ialah mengenai bagaimana kita hendak menyesuaikan diri dengan segera terhadap persekitaran, persediaan mental dan fizikal serta juga pemakanan," katanya lagi.

Semua pendaki tidak dibenarkan lama berada di Kem Pangkalan Mardi Himal disebabkan hujan yang semakin lebat. Mereka turun kembali ke Kem Tinggi untuk berehat satu malam sebelum berjalan turun selama dua hari untuk sampai ke bawah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 7:01 AM