PERMANDANGAN dari puncak Gunung Sinsing.
PERMANDANGAN dari puncak Gunung Sinsing.
Muhamaad Razis Ismail


GUNUNG Sinsing adalah salah satu gunung yang terletak di Banjaran Trusmadi, Sabah.

Berketinggian 2,603 meter dari aras laut, Sinsing yang membawa bermaksud cincin dalam bahasa Dusun adalah gunung ketiga tertinggi di Malaysia.

Pada April 2019, Dr Mohd Fitri Mohamed bersama tujuh peserta dari seluruh Sabah dengan empat jurupandu berpeluang mendaki gunung ini.

Beliau bersama peserta ekspedisi lain adalah antara pendaki terawal mendaki gunung yang baru sahaja ditemui pada tahun 2018.

"Apabila ditawarkan untuk turut serta dalam ekspedisi selama tiga hari dua malam ini, saya terus bersetuju.

"Memandangkan gunung ini belum dikomersialkan, saya teruja untuk melihat keindahan flora dan faunanya masih dipelihara disulam pemandangan hutan Mossy yang cukup memukau," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, perjalanan bermula dari Kota Kinabalu ke Pekan Tambunan yang mengambil masa lebih kurang dua jam.

TREK curam menguji fizikal dan mental.
TREK curam menguji fizikal dan mental.

"Kami berkumpul di Pekan Tambunan sebelum dibawa ke balai raya Kampung Nupakan dengan kenderaan pacuan empat roda untuk bermalam sebelum memulakan pendakian pada keesokan hari," katanya.

Katanya, pada keesokan hari, selepas sarapan, mereka diberikan taklimat oleh jurupandu dan ucapan dari pegawai Jabatan Perhutanan.

"Kemudian kami dibawa dengan kenderaan pacuan empat roda ke tempat permulaan pendakian yang mengambil masa 45 minit perjalanan.

"Kami tiba jam 9 pagi dan semua peserta dilihat sangat bersemangat dan teruja untuk memulakan pendakian," katanya.

Tambahnya, perjalanan pendakian bermula dengan laluan landai namun selepas satu jam trek mendaki berubah menjadi semakin 'pacak' sehingga menguji fizikal dan mental.

"Sesekali kami terpaksa berhenti berehat untuk mengumpul tenaga dan menghilangkan dahaga. Sambil berehat kami mengambil peluang membuang pacat yang leka menghisap darah di kaki.

"Selepas lima jam perjalanan, kami selamat tiba di tapak khemah Aerick Brooke. Nama kem ini diambil sempena nama salah seorang jurupandu kami yang menemui punca air di kawasan itu," katanya.

BEREHAT selepas menempuh laluan mencabar.
BEREHAT selepas menempuh laluan mencabar.

Dr Mohd Fitri berkata, suhu di tapak memang sejuk memandang ketinggian di situ sudah mula memasuki kawasan hutan Mossy.

"Oleh itu, pendaki dinasihatkan membawa baju tebal kerana suhu sangat sejuk terutama pada sebelah malam.

"Kami berehat dan tidur awal kerana perlu bangun sebelum matahari terbit untuk menuju ke puncak Gunung Sinsing," katanya.

Katanya, pada keesokan harinya, selepas solat Subuh dan sarapan, kami memulakan perjalanan menuju ke puncak Gunung Sinsing.

"Dalam perjalanan ke puncak, kami dihidangkan dengan pemandangan hutan Mossy dan pelbagai jenis periuk kera aneka saiz serta warna yang cukup mengagumkan.

"Kami tiba di puncak Gunung Sinsing pada sekitar 6.30 pagi. Di puncak, kami bersarapan sambil menikmati keindahan pemandangan matahari terbit yang sangat menakjubkan. Kemudian kami turun semula ke tapak perkhemahan," katanya.

HUTAN Mossy antara tarikan di Gunung Sinsing.
HUTAN Mossy antara tarikan di Gunung Sinsing.

Bagaimanapun sekitar jam 3 petang, mereka mendaki semula ke puncak Gunung Sinsing untuk melihat pemandangan matahari terbenam.

"Kami sangat bertuah kerana cuaca sangat bagus dan pemandangan sangat indah.

"Dari puncak gunung yang memberikan pemandangan 360 darjah, kami dapat melihat Gunung Trusmadi dan Kaingaran yang terletak bersebelahan dengan gunung ini.

"Kami juga dapat melihat gunung lain dengan jelas termasuk Gunung Kinabalu, Gunung Nungkok dan Gunung Mantapok. Apabila hari semakin gelap, kami turun ke tapak perkhemahan," katanya.

Pada hari terakhir selepas sarapan, mereka mula bergerak pulang ke tempat permulaan pendakian.

"Perjalanan pulang berjalan lancar dan kami selamat tiba lima jam kemudian," katanya.

Jelasnya, secara keseluruhan, pendakian ke Gunung Sinsing memberi pengalaman luar biasa kepada peminat aktiviti rekreasi itu.

BERSAMA rakan dan jurupandu di puncak Gunung Sinsing.
BERSAMA rakan dan jurupandu di puncak Gunung Sinsing.

"Sememangnya, trek mendaki yang curam menguji stamina dan mental pendaki yang sukakan cabaran.

"Namun segalanya berbaloi apabila anda dihidangkan dengan mossy forest yang tebal dan fenomena 'circular rainbow' yang dapat disaksikan di puncak gunung," katanya.

PEMANDANGAN luar biasa di puncak Gunung Sinsing.
PEMANDANGAN luar biasa di puncak Gunung Sinsing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 6:20 AM