PENULIS dan isteri menikmati pemandangan di Sunset Sorato.
PENULIS dan isteri menikmati pemandangan di Sunset Sorato.
Ahmad Taqiyyudin Arifin


Sebut saja Vietnam, rasanya orang Malaysia lebih sinonim dengan Ho Chi Minh dan Hanoi sebagai destinasi percutian.

Mahukan kelainan? Penulis sarankan Phu Quoc iaitu pulau di selatan Vietnam dan bersempadan dengan Kemboja.

Destinasi pulau itu memiliki keunikan dan tarikan tersendiri selain boleh dikatakan setara dengan keindahan pulau di Bali, Indonesia atau Phuket, Thailand.

Malah berdasarkan pengalaman penulis sendiri yang bercuti bersama isteri dan dua anak ke Phu Quoc tiga tahun lalu (Disember 2019) pulau terbesar di Vietnam itu menawarkan percutian bajet yang lebih sederhana.

Penulis berkunjung ke Phu Quoc menggunakan penerbangan Air Asia dan penerbangan mengambil masa satu jam 45 minit. Waktu Vietnam adalah lewat sejam daripada waktu Malaysia.

Mengenai Phu Quoc yang mempunyai keluasan 573 kilometer persegi itu, daya menariknya adalah beberapa lokasi pantai yang unik dan taman tema.

Untuk percutian kali ini kami menginap di Sunset Sonato Resort dan Villa yang terletak di Duong Dong. Lokasi kami ini agak strategik kerana terletak dalam kawasan bandar selain dikelilingi pelbagai kemudahan seperti kedai serbaneka.

Malah perjalanan untuk ke Phu Quoc Night Market juga dekat dengan lokasi kami menginap apabila tambang menaiki teksi kira-kira RM7.40 untuk pergi dan balik.

Tarikan menarik di Sunset Sonato itu sendiri adalah arca ikonik Phuo Quoc di pantai sepanjang 400 meter.

Anda yang berkunjung ke pantai ini berpeluang menikmati pemandangan senja yang mengasyikkan sambil merakam momen berlatarkan arca unik.

Selain pantai itu, satu lagi destinasi pantai yang wajib dikunjungi ketika di Phuo Quoc adalah Starfish Beach di sebelah Selatan, kira-kira 25 kilometer dari Duong Dong.

ARCA unik menjadi tarikan di pantai Sunset Sorato.
ARCA unik menjadi tarikan di pantai Sunset Sorato.

Anak kami paling teruja sepanjang berada di lokasi terbabit kerana tapak sulaiman begitu mudah ditemui.

Pemandangan pantai di situ sangat cantik apabila air lautnya yang kebiru-biruan jernih dapat dirakam menerusi lensa selain pantainya yang putih.

Ada yang menyarankan supaya pantai itu dikunjungi pada September hingga Oktober kerana dikatakan tapak sulaiman lebih banyak dalam musim itu.

Untuk aktiviti di pantai itu pula, selain bergambar, berenang yang sering dilakukan pengunjung. Jika ingin bergambar dengan tapak sulaiman, pengunjung perlu elak keluarkan tapak sulaiman dari air laut.

Satu insiden ketika kami berada di pantai ini apabila ditegur seorang pelancong mat salih kerana memegang tapak sulaiman ketika bergambar.

Sebenarnya tapak sulaiman sebaik-baiknya tidak dipegang dengan tangan atau dikeluarkan daripada air kerana mudah mati. Di sini pengunjung perlu lebih peka dengan hidupan marin.

Tidak hanya pantai, kami sekeluarga turut mengunjungi Vinpearl Land Team Park. Boleh dikatakan destinasi ini tidak kurang menariknya seperti Pulau Sentosa, Singapura apabila ada kereta kabel merentasi laut selain beberapa permainan yang menyeronokkan.

KERETA kabel merentasi laut wajib dicuba.
KERETA kabel merentasi laut wajib dicuba.

Kereta kabel itu membawa kami merentasi laut sejauh 3.32 kilometer pada ketinggian aras laut 100 meter selain merentasi tanah besar Na Thrang ke pulau Hon Tre. Destinasi lain yang sempat kami kunjungi ialah Vinpearl Safari.

Cuma cabaran bagi pelancong Malaysia di Phuo Quoc adalah kesukaran mencari makanan halal dan komunikasi kerana rakyat tempatan kebanyakan tidak fasih berbahasa Inggeris.

Jalan terbaik adalah dengan menggunakan aplikasi 'Google Translate.' Malah sepanjang berada di sana, aplikasi ini sangat membantu penulis.

Hanya terdapat dua restoran menyajikan sajian halal iaitu Naan Kabaab dan Spices of India. Tetapi lebih baik bawa bekalan sendiri untuk memastikan anda dapat menikmati sajian kena dengan selera sendiri.

SANTAI sambil menikmati bayu laut.
SANTAI sambil menikmati bayu laut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 7:00 AM