TIDAK sesak seperti kota metropolitan Tokyo, Kansai adalah  wilayah yang lebih tenang dan menarik untuk dikunjungi.
TIDAK sesak seperti kota metropolitan Tokyo, Kansai adalah wilayah yang lebih tenang dan menarik untuk dikunjungi.
Fariz Ubaidullah


Negara matahari terbit, Jepun bukanlah asing bagi masyarakat Malaysia.

Dengan jarak penerbangan terus kurang tujuh jam, negara itu juga antara lokasi pilihan utama rakyat kita untuk bercuti ke luar negara.

Bagi penulis, setiap kali berkunjung ke Jepun, banyak pengalaman baharu dapat dinikmati.

Bukan sahaja daripada segi kemajuan teknologinya, tetapi juga pemandangan panorama, aspek sosial dan kehidupan masyarakatnya.

Penulis sebenarnya sudah dua kali berkunjung ke Jepun, namun kunjungan kali ini lebih kepada urusan rasmi untuk melihat sendiri pengurusan sungai di sana dan lokasi pertama yang dituju adalah wilayah Kansai.

Tidak sesak seperti kota metropolitan Tokyo, Kansai adalah kawasan wilayah yang lebih tenang dan menarik untuk dikunjungi.

Meskipun berkunjung ketika musim sejuk, suhu di bandar itu masih tidak terlalu dingin dan penulis turut berkesempatan melewati beberapa lokasi dengan berbasikal.

Penulis dan rombongan juga mengambil peluang mengunjungi Masjid Kobe yang kekal bertahan ketika kawasan itu dilanda gempa bumi besar Hanshin pada 1995.

SUNGAI Toga di Hyogo, Kansai yang menjadi kawasan riadah penduduk tempatan.
SUNGAI Toga di Hyogo, Kansai yang menjadi kawasan riadah penduduk tempatan.

Untuk menyelesaikan tugasan rasmi, destinasi pertama penulis dan rombongan adalah mengunjungi Sungai Toga di Kobe, Hyogo.

Apa yang menariknya mengenai sungai berkenaan ialah apabila ia menjadi antara laluan utama penduduk ke tempat kerja.

Kerajaan negara berkenaan juga menyediakan Promenade selebar dua meter untuk kemudahan penduduk dan pelancong bersiar-siar di sekitar sungai itu.

Walaupun ia adalah sungai utama, daripada pemerhatian penulis, tiada pun bau busuk manakala airnya juga begitu jernih hingga menarik kehadiran itik dan haiwan lain.

Sebagai langkah keselamatan, kerajaan Jepun turut memasang tangga dan lampu kecemasan sebagai persediaan amaran jika berlaku banjir.

SUNGAI Ota yang mengalir membelah bandar Hiroshima.
SUNGAI Ota yang mengalir membelah bandar Hiroshima.

Menggunakan kereta api laju, Shinkansen, kami kemudian dibawa melawat ke Sungai Ota yang mengalir membelah bandar Hiroshima.

Air sungai itu berasal dari Gunung Kanmuri di Yoshiwa.

Istimewanya mengenai sungai berkenaan, kunci air Gi-On dan Oshiba adalah dua medium penting dalam mengawal banjir di Hiroshima.

Selain itu, kerajaan negara itu juga turut mengekalkan tangga dan struktur asal di Motoyasu River Water Terrace yang menempatkan memorial bom atom Hiroshima.

PENULIS berbasikal di Kansai.
PENULIS berbasikal di Kansai.

Ia menjadikan kawasan itu antara tarikan utama pelancong ke Hiroshima bagi menghayati sejarah bencana pengguguran bom atom yang meragut ratusan ribu nyawa satu ketika dahulu.

Rombongan penulis juga sempat berkunjung ke Sungai Tsurumi yang mengalir melalui Kanagawa, Yokohama, Kawasaki dan Tokyo.

Untuk pengetahuan pembaca, sebahagian daripada hulu sungai berkenaan sudah diluruskan bagi mengelakkan banjir.

Selain itu, di sepanjang sungai terbabit, terdapat kira-kira 5,000 tempat simpanan air banjir bawah tanah.

EMPANGAN Sabo di Asaminami.
EMPANGAN Sabo di Asaminami.

Di bahagian hulunya iaitu di pekan Machida, air sungainya begitu bersih dan jernih hingga jelas kelihatan ikan kap bebas berenang ke sana sini.

Di Sungai Arakawa pula, mengalir sumber air penting yang melintasi kota Tokyo.

Sepanjang kiri dan kanan tebing sungai itu bagaimanapun sudah ditinggikan bagi mencegah banjir.

Bagaimanapun, sebahagian tebing binaan di sebuah taman rekreasi bandar Edogawa yang boleh menempatkan 200,000 orang sebagai tempat berlindung jika berlakunya banjir besar atau gempa bumi.

HAMPIR  kebanyakan sungai yang ada di Jepun, memiliki tebing tinggi untuk mencegah banjir.
HAMPIR kebanyakan sungai yang ada di Jepun, memiliki tebing tinggi untuk mencegah banjir.

Sepanjang pemerhatian penulis, hampir kebanyakan sungai yang ada di Jepun, memiliki tebing tinggi untuk mencegah banjir.

Selain itu, deretan pepohon sakura turut ditanam bagi menyerikan kawasan sungai terbabit yang turut dijadikan sebagai kawasan beriadah untuk penduduk.

Apa yang pasti, ia memang jauh bezanya dengan keadaan sungai di negara kita yang masih memerlukan banyak usaha pemulihan dan pemeliharaan selain kesedaran awam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 6:30 AM