AFP

Tokyo: Selepas empat tahun dihentikan, puluhan bayi kini berdepan 'pertarungan' dalam acara tradisi 'sumo tangisan' yang dipercayai untuk membawa kesihatan baik untuk bayi.

Sepasang kanak-kanak kecil yang memakai apron sumo untuk upacara itu dipegang oleh ibu bapa mereka dan berhadapan antara satu sama lain dalam gelanggang sumo di Kuil Sensoji di Tokyo.

Kakitangan yang memakai topeng syaitan "oni" cuba membuat bayi-bayi itu menangis, dengan yang pertama meraung-raung diisytiharkan sebagai pemenang oleh pengadil sumo yang mengenakan pakaian seragam tradisional yang rumit sambil memegang kipas kayu yang digunakan untuk menandakan kemenangan.

Seorang bayi yang menyertai acara tradisi ‘sumo tangisan’. - FOTO AFP
Seorang bayi yang menyertai acara tradisi ‘sumo tangisan’. - FOTO AFP

"Kita boleh mengetahui keadaan kesihatan bayi dengan mendengar cara mereka menangis. Hari ini dia mungkin berasa gementar dan tidak terlalu menangis, tetapi saya mahu mendengar tangisannya yang sihat," kata Hisae Watanabe, ibu kepada anak berusia lapan bulan.

'Sumo tangisan' diadakan di kuil seluruh negara, untuk menggembirakan ibu bapa dan penonton.

Shigemi Fuji, pengerusi Persekutuan Pelancongan Asakusa yang menganjurkan acara itu berkata sesetengah orang mungkin menganggap acara itu mengerikan kerana mereka membuat bayi menangis.

"Tetapi di Jepun, kami percaya bayi yang menangis dengan kuat juga membesar dengan sihat. Acara ini berlaku di banyak tempat di Jepun," katanya.

Seramai 64 bayi menyertai upacara itu, menurut penganjur.

Peraturannya berbeza-beza dari rantau ke rantau di mana di sesetengah tempat ibu bapa mahu anak mereka menjadi yang pertama menangis, namun di tempat lain bayi pertama yang menangis dianggap kalah.

Dua bayi dipegang ibu mereka dalam ‘pertarungan’ sumo tangisan di Tokyo. - FOTO AFP
Dua bayi dipegang ibu mereka dalam ‘pertarungan’ sumo tangisan di Tokyo. - FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 4:58 PM