PENGALAMAN menarik menaiki ‘roller coaster’ yang dipandu sendiri. FOTO Noriah Idris
PENGALAMAN menarik menaiki ‘roller coaster’ yang dipandu sendiri. FOTO Noriah Idris
Noriah Idris


TIDAK puas menjelajah Dalat, Vietnam kerana banyak tempat menarik boleh diterokai.

Bagi tidak melepaskan peluang, sebelum meninggalkan daerah berkenaan kami melakukan aktiviti menaiki ‘roller coaster’ yang sangat mendebarkan selain cabarannya adalah memandu sendiri ataupun boleh memilih untuk ‘berdua-duaan.’

Apa yang penting anda mahupun pasangan perlu bijak mengawal gear dan pedal sebelum pemanduan itu berakhir di Datanla Waterfall.

Sebelum ke destinasi seterusnya, kami singgah Rumah Gila (Crazy House) yang menampilkan seni bina menarik tiga dimensi (3D).

Rumah berkenaan menggabungkan binaan seni bina seolah-olah dalam cerita klasik, pokok atau bangunan (besar) dan ‘scuptured’ pelik termasuk elemen binatang.

Entah di mana gilanya, namun sesiapa yang memasuki rumah berkenaan, mereka akan ‘kegilaan’ kerana ada keunikan tersendiri.

BERLATARKAN binaan bangunan yang penuh tarikan di Vinpearl Land. FOTO Noriah Idris
BERLATARKAN binaan bangunan yang penuh tarikan di Vinpearl Land. FOTO Noriah Idris

Menjelang senja pula, kami dibawa dengan trak meredah padang pasir, pantai dan lautan Phan Thiet sebelum meneroka puncak Dalat iaitu tempat paling mengujakan selain dianggap syurga buat pengunjung.

Ketika itu senja sedang berlabuh berserta kabus tebal di persekitaran. Indahnya ciptaan Allah!

Hari terakhir, kami mengisi jadual ke Nha Trang dengan mengunjungi Vinpearl Land yang seolah-olah ‘Disneyland’ versi Vietnam.

Sesungguhnya Nha Trang hanyalah sebuah bandar kecil yang dikelilingi pulau, tetapi memiliki taman tema yang agak menarik setanding taman tema lain.

Bagi menerokai taman tema ini, ahli rombongan perlu menaiki kereta kabel untuk masuk ke taman berkenaan. Kereta kabel di pulau berkenaan dikatakan terpanjang di dunia dan merentasi laut membuatkan ramai yang teruja.

Oleh kerana tempatnya agak luas dengan pengunjung yang ramai, memaksa kami menyaksikan persembahan tertentu saja.

SAUJANA indah pasir, pantai dan lautan yang memukau pandangan. FOTO Noriah Idris
SAUJANA indah pasir, pantai dan lautan yang memukau pandangan. FOTO Noriah Idris

Peluang menaiki belon udara, melawat zoo mini dan Ferris Wheel yang agak besar selain impian meninjau kehidupan bawah laut tidak dapat diteruskan.

Ini kerana menjelang petang, ribut kencang melanda hingga menghalang kami melakukan sebarang aktiviti.

Tiada tanda ribut berhenti, lalu kami meninggalkan Vinpearl Land dengan perasaan yang bercampur-baur.

Hampir dua jam terkandas di pulau, akhirnya kami tiba di daratan dengan menaiki bot penyelamat yang dikhaskan pihak berkuasa.

Sebaik tiba di daratan, kami ke restoran halal yang sudah tersedia makanan malamnya.

Sebelum pulang ke hotel, ahli rombongan dibawa ke pasar malam untuk melihat kehidupan masyarakat di sana.

UBI bit yang sangat popular dalam kalangan penduduk Vietnam. FOTO Noriah Idris
UBI bit yang sangat popular dalam kalangan penduduk Vietnam. FOTO Noriah Idris

Pada malamnya, kami meninjau pasar malamnya, namun tiada apa yang menarik kerana kebanyakan peniaga menjual pakaian musim sejuk.

Selain itu, buah-buahan, sayur-sayuran, jagung, keledek bakar dan kopi Vietnam yang popular ada dijual.

Namun, kami dilarang membeli makanan yang dimasak kerana dibimbangi tidak halal.

Keesokan hari, kami bersiap ke lapangan terbang kerana sudah rindukan negara tercinta.

Sesungguhnya, percutian ini sangat memberi kesan kerana dapat menikmati keindahan alam semula jadinya.

Ternyata, pengalaman merantau bersama rakan taulan bagaikan semua beban hidup dapat dilepaskan di hutan belantara Vietnam yang indah itu!

TARIKAN di taman safari di Nha Trang. FOTO Noriah Idris
TARIKAN di taman safari di Nha Trang. FOTO Noriah Idris

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 7:00 AM