HAMPARAN indah lavender yang mempesonakan pengunjung.
HAMPARAN indah lavender yang mempesonakan pengunjung.
Noriah Idris


JIKA berhasrat untuk berbelanja sakan, Dalat atau Nha Trang, Vietnam bukan tempatnya. Tidak seperti di bandar Ho Chi Minh dianggap syurga beli-belah, Dalat mahupun Nha Trang jaraknya sejauh 310 kilometer ke Saigon adalah lokasi percutian semula jadi yang mengujakan.

Penulis berkesempatan ke Dalat baru-baru ini, menerusi penerbangan terus ke Cam Rahn International Airport yang terletak di Nha Trang bertujuan riadah bersama rakan taulan.

Dalam rombongan kecil seramai 20 orang, kami memilih Big Trip iaitu sebuah agensi pelancongan berdaftar ke daerah terbabit bagi memenuhi kalendar percutian lima hari empat malam.

Percutian dirangka bersama sahabat disifatkan sebagai aktiviti ‘reunion’ yang sering kami lakukan bersama. Nostalgia pernah bertugas di organisasi media yang sama pada awal kerjaya dulu, kemudian terpisah dan membawa haluan masing-masing sehingga ‘bersara awal’ membuatkan kami sering merangka percutian di dalam mahupun luar negara.

ANTARA tarikan yang membuatkan anda terpanggil untuk ke Dalat.
ANTARA tarikan yang membuatkan anda terpanggil untuk ke Dalat.

Penerbangan dari Kuala Lumpur mengambil masa tiga jam tiba di Lapangan Terbang Nha Trang. Kami menuju bandar Dalat empat jam dengan bas dan difahamkan setiap kenderaan awam hanya dibenarkan berkelajuan 80 kilometer sejam.

Menurut pemandu pelancong, Rashid Yunos, 35, komuniti penduduknya adalah Muslim. Kami dibawa ke masjid di Perkampungan Champ

yang terdapat 200 penduduk beragama Islam. Kami singgah di masjid berkenaan untuk mengerjakan solat dan bertemu ketua kampung berkenaan.

Meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya, sepanjang perjalanan tidak membosankan kerana dibarisi pohon pain selain deretan vila hasil seni bina Perancis yang menarik.

Orang Perancis dikatakan membina bandar ini pada awal abad ke-20 dengan mempamerkan dekorasi ringkas, tetapi mempesonakan.

BERBARIS dengan payung warna-warni di atas bangunan di taman bunga berkenaan.
BERBARIS dengan payung warna-warni di atas bangunan di taman bunga berkenaan.

Seterusnya kami singgah di ladang teh untuk menikmati minum petang sambil melihat matahari terbenam dan terus daftar masuk di hotel penginapan.

Keesokannya kami dibawa meninjau tasik, ‘bandar bukit’ atau kawasan tanah tinggi yang sejuk dan taman bunga yang indah. Dalat juga terkenal dengan jolokan The City of Eternal Spring atau bandar bunga.

Terdapat ribuan spesies flora seperti hydrangea, bunga matahari, tulip, mawar dan lavender menyebabkan kami terleka dalam taman indah.

Oleh kerana percutian kami pada musim sejuk, terdapat bunga-bungaan yang sedang berkembang mekar. Peluang bergambar tidak harus dilepaskan bagi merakam momen menarik sebagai kenangan terindah buat kami.

PERCUTIAN ini mengeratkan ukhuwah antara kami.
PERCUTIAN ini mengeratkan ukhuwah antara kami.

Kreativiti pemilik ladang menyediakan bumbung berwarna-warni selain meletakkan payung pelbagai corak menambahkan lagi keceriaan bergaya di depan lensa. Di situ terserlahnya keseronokan sehingga menjadi ikutan rakan dalam rombongan meskipun masing-masing baru mengenali.

Terasa mahu ‘berlama-lama’ pula di Me Linh Coffee Garden, Ta Nung itu, tetapi banyak lagi program dirangka buat kami. Selepas itu sempat merasai anggur segar dan buah bidara muda di ladang Nho-Tao Vuron Ninh Thuan.

Aktiviti agak mencabar seperti flying fox yang memanjat jalinan tali, berjalan di atas kayu tergantung dan terakhir sekali memasuki gelungan buluh yang amat menyeksakan. Walaupun ada yang gagal tiba di penghujung, penulis bangga kerana berjaya menamatkan cabaran - bagaikan satu kepuasan peribadi dalam usia bergelar pesara.

Lebih menarik, selain Rashid, Big Trip turut menyediakan pemandu pelancong dari Malaysia iaitu guru agama, Mohd Fakhrulhadi Milatusamsi, 30. Walaupun bertugas separuh masa, anak jati Selangor ini sering memulakan kembara kami dengan bacaan doa, selain mengingatkan berkenaan solat apabila tiba waktunya. Selain itu, dia sering dijadikan ‘mangsa’ sebagai jurufoto kerana sikapnya yang ‘sporting.’

KEUNIKAN bunga hydrangea membuatkan penulis tidak melepaskan peluang merakam kenangan.
KEUNIKAN bunga hydrangea membuatkan penulis tidak melepaskan peluang merakam kenangan.

Dalam siri kedua, pengalaman tidak kurang mencabar apabila melakukan aktiviti ekstrem memandu ‘roller coaster’ sebelum tiba di air terjun. Begitu juga pengalaman di Nha Trang, kami diuji dengan cuaca buruk ketika mengunjungi Vinpearl Land.

Banyak aktiviti tidak dapat dilakukan sehingga memaksa ahli rombongan dihantar dengan bot ekoran ribut kencang. Apa yang berlaku selepas itu?

Bersambung minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 6:31 AM