DR Tengku Rinalfi Putra menunjukkan haiwan eksotik ayam Onagadori yang diawetkan.  FOTO Hazreen Mohamad
DR Tengku Rinalfi Putra menunjukkan haiwan eksotik ayam Onagadori yang diawetkan. FOTO Hazreen Mohamad
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Terdapat pelbagai jenis haiwan yang dijadikan sebagai haiwan peliharaan. Dari aspek biologi, jenis-jenis haiwan peliharaan eksotik boleh dikategorikan kepada beberapa spesies seperti mamalia iaitu arnab, tikus belanda, hamster dan sebagainya.

Manakala spesies reptilia seperti ular, cicak tokek dan biawak, burung (ayam, burung tekukur, burung kakak tua dan burung murai), ikan serta spesies serangga (tarantula dan rama-rama.

Pakar Hidupan Liar, Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan berkata, kesesuaian haiwan eksotik untuk dijadikan haiwan kesayangan atau peliharaan bergantung kepada peri laku dan tahap risiko merbahaya haiwan terbabit kepada manusia serta haiwan lain.

Menurutnya, ini kerana setiap haiwan eksotik mempunyai keperluan unik dan khas yang perlu dipantau serta disediakan pemiliknya.

DR Tengku Rinalfi Putra menunjukkan rangka haiwan eksotik.   FOTO Hazreen Mohamad
DR Tengku Rinalfi Putra menunjukkan rangka haiwan eksotik. FOTO Hazreen Mohamad

"Antara ciri-ciri haiwan eksotik yang boleh dijadikan haiwan peliharaan ialah tidak merbahaya, mudah diuruskan, boleh dibelai, peri laku tidak terlalu khusus, peri laku pembiakan mudah dan dapat dikawal, peri laku dewasa tidak terlalu berbeza dengan peri laku juvenil serta tidak memerlukan banyak kos.

"Penyakit yang sering dihidapi haiwan eksotik peliharaan pula bergantung kepada haiwan berkenaan," katanya.

Jelasnya, haiwan eksotik boleh terdedah kepada beberapa penyakit yang boleh menjangkiti manusia, haiwan domestik dan sebaliknya.

"Namun begitu, penyakit yang selalu dihidapi haiwan eksotik ialah ketidakcukupan sumber atau stimulus sekitaran yang akan mengakibatkan haiwan kesayangan ini mengalami masalah fisiologi.

"Masalah berkenaan seperti berat badan berlebihan, kekurangan nutrisi, salur makanan tersumbat, kecederaan akibat persekitaran dan penyakit berjangkit daripada haiwan domestik," katanya.

BURUNG diawetkan. FOTO Hazreen Mohamad
BURUNG diawetkan. FOTO Hazreen Mohamad

Katanya, pelbagai gejala penyakit sering dihidapi haiwan eksotik peliharaan yang kebiasaannya pemilik dapat melihat perubahan peri laku kurang aktif dan perubahan rupa bentuk tubuh (morfologi) haiwan berkenaan.

"Bagi mengelakkan haiwan eksotik daripada dijangkiti penyakit. pemilik perlu sentiasa membersihkan diri terutama tangan sebelum memegang haiwan ini.

"Selain itu, menyimpan haiwan eksotik di dalam persekitaran yang bersih dan terasing daripada haiwan lain," katanya.

Dr Tengku Rinalfi Putra berkata, penyakit haiwan eksotik boleh menjangkiti manusia kerana itu terdapat di antara haiwan itu tidak sesuai dijadikan haiwan peliharaan kerana ia boleh membawa penyakit berjangkit.

HAIWAN eksotik binturong yang diawetkan. FOTO Hazreen Mohamad
HAIWAN eksotik binturong yang diawetkan. FOTO Hazreen Mohamad

"Antara penyakit bawaan haiwan eksotik yang boleh menjangkiti manusia ialah jenis parasit daripada protozoa seperti malaria, babesiosis, kriptosporidiosis dan sebagainya.

"Di samping itu jangkitan cacing, jangkitan daripada atropoda seperti kutu dan juga penyakit bawaan bakteria seperti leptospirosis, tuberkulosis, bruselosis (bakteria), virus seperti rabies, avian flu serta hepatitis.

"Jenis penyakit haiwan eksotik yang boleh membahayakan nyawa manusia ialah seperti rabies, leptospirosis, selesema burung, Simian Immunodeficiency Virus (SiV), Ebola dan sebagainya," katanya.

Ditanya perkara penting perlu diketahui sebelum menjadikan haiwan eksotik sebagai haiwan peliharaan ialah keperluan dokumentasi dari segi undang-undang dan asal usul haiwan.

"Selain itu, kenal pasti peri laku normal haiwan, kaedah pemakanan, kaedah

kurungan, perilaku tak normal dan kos rawatan.

"Perkara lain pula mengenai kesediaan isi rumah untuk menyimpan haiwan eksotik, risiko penyimpanan (haiwan berbisa atau tiada bisa, haiwan garang atau tidak garang, haiwan bersaiz besar, haiwan terlindung oleh akta (kategori terancam, hampir pupus) serta pelbagai faktor lain," katanya.

Katanya lagi, kos merawat haiwan eksotik adalah pelbagai dan sebagai persediaan anggaran kos rawatan haiwan eksotik di antara minimum RM200 hingga lebih RM10,000 yang bergantung kepada jenis rawatan.

"Saya tidak galakkan haiwan eksotik dijadikan haiwan kesayangan kerana apabila haiwan ini dewasa sukar untuk dikendalikan.

"Ada yang memilih melepaskannya ke dalam hutan atau tempat awam menyebabkan kebajikan haiwan eksotik terabai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 7:01 AM