Hafiz Ithnin

SENGAJA penulis meminta mereka berlapan menyarungkan pakaian tampak lebih santai dan bersahaja meskipun jika menyebut mengenai gamelan pasti terfikir pemainnya akan berbusana tradisional yang sudah senada dengan iringan halwa telinga itu.

Ironinya, sebelum menemu bual secara panjang lebar, penulis dimaklumkan kumpulan gamelan yang dinamakan Gangsapura itu turut aktif mengajar individu yang minat untuk mempelajari seni permainan muzik yang cukup terkenal di Nusantara itu meskipun usia masih muda.

Di sebalik angka usia 24 hingga 31 tahun itu sebenarnya majoriti mereka mempunyai latar belakang pendidikan formal dalam gamelan.

Sehinggakan nada sentuhan kumpulan itu turut pernah dipaparkan dalam sebuah rancangan di Amerika Syarikat.

Pengasas Bersama Gangsapura, Nur Diyana Nadirah Shaharuddin berkata, kumpulannya ditubuhkan secara rasmi pada 2016 bersama suaminya, Teuku Umar Ilany Teuku Iskandar masing-masing berusia 27 dan 31 tahun.

Manakala, enam ahli terawal Gangsapura selain Nur Diyana Nadirah dan Teuku Umar ialah Mohd Faliq Che Adeni, 30, Amira Farhana Ahmad Hamidi, 31 dan Ahmad Syahmie Ahmad Kamal, 29.

KUMPULAN anak muda aktif semarak seni permainan muzik gamelan. FOTO: Aizuddin Saad & Gangsapura
KUMPULAN anak muda aktif semarak seni permainan muzik gamelan. FOTO: Aizuddin Saad & Gangsapura

KEROMONG antara peralatan yang digunakan untuk bermain gamelan. FOTO: Aizuddin Saad & Gangsapura
KEROMONG antara peralatan yang digunakan untuk bermain gamelan. FOTO: Aizuddin Saad & Gangsapura

Penubuhan Gangsapura antaranya untuk menarik lebih ramai orang terutama generasi baharu meminati gamelan dan mempelajarinya.

Menceritakan mengenai latar belakang ahli Gangsapura, Nur Diyana Nadirah berkata, hanya dia tidak menerima pendidikan formal, tetapi mempunyai minat mendalam dalam muzik itu.

Ahli lain mempunyai diploma dan ijazah sarjana muda dalam muzik tradisional dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Malah, Teuku Umar kini adalah pensyarah di akademi itu.

"Meskipun tidak mempunyai ijazah atau diploma dalam muzik gamelan, tetapi saya mula mempelajarinya sejak di bangku sekolah menengah.

"Malah, hasil perkongsian hidup dengan Teuku Umar dan berkawan dengan mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan secara formal ini, sekali gus saya dapat mengasah ilmu dalam gamelan Melayu," katanya.

NUR Diyana Nadirah bersama saron baron. FOTO: Aizuddin Saad & Gangsapura
NUR Diyana Nadirah bersama saron baron. FOTO: Aizuddin Saad & Gangsapura

Sejak ditubuhkan Gangsapura diterima baik oleh banyak pihak untuk bekerjasama dengan mereka bagi memperluaskan muzik tradisional itu termasuk individu dari rantau asing.

"Setakat ini, 80 pelajar mengikuti kursus muzik gamelan kami anjurkan termasuk peserta dari luar negara yang begitu menghargai seni muzik tradisional di rantau Nusantara termasuk Malaysia.

"Apabila orang asing menunjukkan minat dan menghargai seni muzik tradisional ini dengan mempelajarinya, kita secara tidak langsung dapat menghargai nilai seni budaya tempatan yang seharusnya perlu diperluaskan lagi kepada generasi masa kini," kata graduan Sains Komputer, Universiti Teknologi Petronas itu.

Lebih dua jam penulis bersama jurufoto, Aizuddin Saad dan juruvideo, Halim Saleh merakam suasana persembahan ringkas Gangsapura mempelihatkan generasi baharu itu begitu santai dan ceria ketika mempersembahkan alunan gamelan.

MEMBUAT persembahan untuk rakaman sebuah rancangan di Amerika Syarikat. FOTO: Aizuddin Saad & Gangsapura
MEMBUAT persembahan untuk rakaman sebuah rancangan di Amerika Syarikat. FOTO: Aizuddin Saad & Gangsapura

GANGSAPURA turut mengajar kanak-kanak prasekolah. FOTO: Aizuddin Saad & Gangsapura
GANGSAPURA turut mengajar kanak-kanak prasekolah. FOTO: Aizuddin Saad & Gangsapura

Dimaklumkan juga Gangsapura mempunyai barisan lagu mereka sendiri hasil sentuhan Teuku Umar yang menjadi pengarah muzik kumpulannya.

Malah, sudah berada dalam aplikasi penstriman muzik sejak tahun lalu.

Dalam tempoh tiga tahun Gangsapura ditubuhkan mereka juga sudah menganjurkan konsert pada tahun lalu selain turut tersenarai pendek sebagai penerima Anugerah Terbaik 2019 BOH Cameronian Arts daripada Kakiseni yang keputusannya diumumkan dalam bulan ini.

Sementara itu, Teuku Umar berkata, sejak berusia tujuh tahun sudah didedahkan dengan muzik gamelan apabila menyertai kumpulan kesenian teater terdiri daripada kanak-kanak dan remaja, Tunas Budaya.

TURUT mendapat perhatian peminat dari luar negara. FOTO: Aizuddin Saad & Gangsapura
TURUT mendapat perhatian peminat dari luar negara. FOTO: Aizuddin Saad & Gangsapura

Sejak itu, minatnya dalam muzik tradisional mula bertunas sehingga serius melanjutkan pendidikan tinggi dalam bidang muzik dan komposisi.

Katanya, muzik gamelan seharusnya dilestarikan kerana ia adalah malar segar yang boleh serasi diadun dengan pelbagai genre muzik lain walaupun ia sebuah nada tradisonal.

"Jika kita lihat pada hari ini sudah ada artis tempatan yang mengadunkan nada gamelan dalam muzik pop dimiliki mereka dan begitu serasi, malah sedap untuk didengari," katanya.

GENDANG antara instrumen penting dalam gamelan. FOTO: Aizuddin Saad & Gangsapura
GENDANG antara instrumen penting dalam gamelan. FOTO: Aizuddin Saad & Gangsapura

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 7:00 AM