RUANG pameran di lokasi terpilih.
RUANG pameran di lokasi terpilih.
Lizam Ridzuan


Bukan sekadar gaya malah ia didatangkan dengan ciri keupayaan laluan lasak yang diuji oleh media permotoran baru-baru ini.

Model kenderaan utiliti sukan (SUV) premium dalam segmen-C, Jaecoo menerusi model J7 'dilenjan' di Pusat Latihan dan Pengalaman Pacuan Empat Roda (4WD) Malaysia (M4TREC) di Semenyih, Selangor dengan enam cabaran dan halangan yang direka.

Terdapat beberapa siri ujian yang sudah dilakukan sebelum ini di lokasi yang sama bersama media dan ia terus dilakukan bagi menambah keyakinan ramai terhadap produk dan jenama ini.

Antara ujian itu ialah Ujian Roller Ramp bagi menguji kepantasan sistem pacuan semua roda (AWD) dalam mengagihkan tork pada keempat-empat roda.

Ia juga untuk membuktikan keberkesanan kawalan cengkaman kenderaan ini dan ia saling bekerjasama dengan sistem AWD membolehkan kenderaan bergerak dalam keadaan jalan licin.

Seterusnya Ujian Artikulasi bagi meguji akan kekukuhan struktur kenderaan dengan melalui permukaan jalan yang direka dengan keadaan tidak rata dan berbukit bagi memberi keyakinan kepada pemandu.

Ia juga bagi menguji kestabilan kenderaan dengan pindahan tork dari roda yang diangkat ke tiga roda lain sebagai ciri utama untuk pacuan ini.

Dalam kawasan itu juga terdapat ujian sisi cerun diadakan bagi memperlihatkan kenderaan ini stabil bagi melepasi laluan sebegitu selain menguji sistem kawalan cengkaman.

Sebagai model SUV, sudah pasti meredah air juga antara yang perlu dilakukan dan J7 ini mempunyai jarak kelegaan jalan sehingga 200 milimeter (mm) serta roda aloi 19 inci dan ia mengharungi kawasan berair sedalam 600 mm dengan mudah.

Menambah kepada kelasakan jentera ini, Ujian Lintasan Bukit dilakukan dengan J7 berada pada kedudukan 21 darjah manakala sudut pelepasan 29 darjah membolehkan SUV ini melepasi bahagian hadapan dan belakang tanpa bergeser.

SUV sesuai gaya hidup aktif.
SUV sesuai gaya hidup aktif.

MENGHARUNGI air boleh dilakukan.
MENGHARUNGI air boleh dilakukan.

CERUN sisi untuk ketasbilan kenderaan.
CERUN sisi untuk ketasbilan kenderaan.

Semua ujian dilakukan untuk menilai kepada elemen kelasakan yang ditawarkan buat sebuah SUV dengan sentuhan rekaan premium ini.

J7 dikuasakan dengan enjin 1.6 liter pengecas turbo empat silinder petrol dengan kuasa 194 hp dan tork 290Nm serta dipadankan dengan transmisi dwiklac 7 (DCT) kelajuan.

Untuk laluan lasak ia menggunakan Sistem Pintar Pemanduan Semua Laluan (ARDIS) serta pilihan tujuh mod pacuan.

Spesifikasi akhir hanya akan diketahui ketika pelancaran namun untuk kabin ia didatangkan dengan sistem infotainmen bersaiz 10.25 inci dan meter digital 14.8 inci untuk pemandu.

Dimensi J7 dengan 4,500mm panjang, 1,865mm lebar, 1,680mm tinggi dan jarak roda 2,672mm, dan ia mempunyai saiz seperti Toyota Corolla Cross tetapi lebih kecil berbanding Mazda CX-5.

Menurut siaran media oleh Jaecoo sebelum ini, dinyatakan dua varian bakal ditawarkan dalam pasaran Malaysia iaitu J7 AWD dianggarkan harga sekitar RM160,000 dan J7 2WD pada sekitar harga RM150,000 dan pelanggan bakal menerima model yang ditempah pada suku ketiga tahun ini.

Seperti sedia maklum Jaecoo adalah sub jenama di bawah Chery yang ditumpukan untuk pasaran luar dari negara China.

Model ini sudah dipertontonkan kepada media dalam satu sesi prebiu Januari lalu dan kini menunggu waktu pelancaran yang akan diadakan tidak lama lagi selain pengumuman harga.

Mereka juga sudah menyediakan ruang pameran sementara di beberapa lokasi terpilih di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Johor Bahru menerusi Jaecoo Premiere Experience.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 7:00 AM