FORD Maverick 2022 tawar ciri kompak sesuai untuk muatan dan gaya hidup.
FORD Maverick 2022 tawar ciri kompak sesuai untuk muatan dan gaya hidup.
Lizam Ridzuan


KEGUNAAN trak pikap sering dikaitkan dengan kelasakan membawa muatan atau mengharungi laluan hutan.

Namun kehadiran model Ford Maverick Serba Baharu kini mengubah konsep itu yang menawarkan ciri lebih kompak sesuai untuk kegunaan bandar dan gaya hidup.

Ia diperkenalkan di pasaran Amerika Syarikat (AS) sebagai model pertama untuk keluaran 2022 dengan saiz yang sedikit kecil berbanding Ford Ranger.

Ia juga dibangunkan di atas platform kenderaan utiliti sukan (SUV) model Ford Escape/Kuga.

Paling menarik ia ditawarkan dengan dua varian enjin iaitu hibrid-elektrik dan turbo.

Melalui enjin 2.5 liter kitaran Atkinson Hibrid petrol dengan motor elektrik, ia mampu menjana 191 kuasa kuda (hp) dan tork maksimum 210Nm dengan transmisi eCVT pacuan roda hadapan (FWD).

Sesuai dengan ciri trak pikap, ia mampu membawa muatan sehingga 680 kilogram (kg) dan kapasiti menunda sehingga 900kg.

Untuk enjin turbo 2.0 liter EcoBoost, ia menjana 250hp dan tork maksimum sehingga 378Nm dengan kotak gear lapan kelajuan automatik.

KABIN sentuhan gaya SUV.
KABIN sentuhan gaya SUV.

RUANG simpanan bawah tempat duduk.
RUANG simpanan bawah tempat duduk.

KARGO dengan ciri fleksibel.
KARGO dengan ciri fleksibel.

Ia dilengkapi FWD atau pacuan semua roda (AWD).

Ruang kargo dengan ciri FlexBed bersaiz 1,371 milimeter (mm) direka untuk memudahkan pengguna melakukan sendiri (DIY) pemisah atau aturan barangan mengikut kreativiti sendiri.

Ia juga membolehkan bahagian kargo menjadi lebih fleksibel bagi meletakkan barangan seperti basikal, alatan perkakasan rumah atau runcit dengan cangkuk dan rel yang tersedia.

Untuk ruang dalaman, ia dilengkapi lima tempat duduk. Ia menawarkan suasana seperti SUV yang terhasil daripada rekaan 'unibody' untuk keselesaan ruang kaki keseluruhan penumpang.

Sesuai dengan ciri kompak, terdapat ruang simpanan bawah tempat duduk belakang menjadikan ia lebih kemas.

Kokpitnya dilengkapi ciri termaju menerusi sistem multimedia bersaiz lapan inci dengan ketersambungan Bluetooth, Apple CarPlay, Android Auto dan aplikasi FordPass Connect bersama WiFI dan enam pembesar suara.

Ia juga datang dengan dua punca kuasa 12V serta storan unik pada poket pintu membolehkan botol 1.5 liter dimuatkan.

Ciri keselamatan pula antaranya membabitkan lampu utama hadapan automatik, Brek Kecemasan Automatik dengan Bantuan Pra-Perlanggaran, kamera undur serta Bantuan Stereng Mengelak.

Tiga varian Ford Maverick Serba Baharu ditawarkan iaitu XL, XLT dan Lariat yang dijual pada harga bermula US$19,995 (RM82,300). Ia kini dibuka untuk tempahan pasaran AS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 7:00 AM