PERUNTUKAN tambah pengecas EV.
PERUNTUKAN tambah pengecas EV.
Lizam Ridzuan


PENGUMUMAN kerajaan tentang insentif kenderaan elektrik (EV) dalam Belanjawan 2024 lalu dilihat berupaya memacu minat dan penerimaan rakyat terhadap kenderaan sifar emisi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam pembentangan itu di Dewan Rakyat berkata kerajaan mengalu-alukan pelaburan melebihi RM170 juta oleh syarikat terkemuka seperti TNB, Gentari dan Tesla untuk memasang 180 stesen pengecasan EV.

Selain itu langkah kerajaan memperkenalkan Inisiatif Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik Untuk Rakyat ini adalah selari dengan Dasar Automotif Nasional (2020) yang diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Subsidi rebat tunai motosikal EV ini akan memanfaatkan 10,000 orang pengguna motosikal EV yang pendapatan tahunannya di bawah RM120,000 dengan menikmati nilai rebat RM2,400 sehingga 31 Disember 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz menyifatkan ini adalah satu langkah penting dalam pembangunan teknologi serta aktiviti perniagaan tempatan berkaitan EV dan inisiatif ini dijangka akan meningkatkan permintaan dan penggunaan motosikal elektrik selaras dengan sasaran kerajaan untuk mencapai 15% jumlah jualan motosikal EV menjelang tahun 2030.

"Skim ini akan menggalakkan penggunaan motosikal EV dan secara tidak langsung membina keyakinan masyarakat terhadap penggunaan motosikal EV di Malaysia dan MARii turut menyokong pembuatan dan pemasangan EV serta Kenderaan Autonomi (AV) di negara ini melalui ekosistem yang sedia ada yang merangkumi aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi pembuatan komponen penting,".

MENARIK pelabur antarabangsa ke Malaysia.
MENARIK pelabur antarabangsa ke Malaysia.

"Kesediaan infrastruktur, teknologi, bakat dan sokongan kerajaan serta industri sokongan yang mantap seperti elektrikal dan elektronik (E&E) serta pengeluar komponen dalam rangkaian pembuatan bateri EV adalah penyumbang utama Malaysia sebagai hab bagi industri EV," katanya.

MARii turut menyokong pembangunan ekosistem EV yang komprehensif ini melalui kerjasama dengan pemegang taruh seperti pengeluar kereta, pemasangan motosikal, pembuat kenderaan komersial, penyedia pusat pengecasan dan pengeluar komponen tempatan.

Pengarah Program (PMO Kenderaan Elektrik) Tenaga Nasional Berhad dan Presiden Persatuan Kenderaan Beremisi Sifar (ZEVA), Wan Ahmad Zam Zam Abd Wahab menyatakan pandangan tentang keterujaan melihat perolehan EV sebagai kereta rasmi untuk pegawai kerajaan dan berpendapat ia seharusnya diutamakan untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD) agar dapat menarik lebih ramai pelabur untuk membuka kilang mereka di Malaysia.

Selain itu buat mereka yang masih mempertimbangkan untuk memandu EV namun belum mahu memiliknya, kaedah sewa adalah langkah yang tepat bagi merasai pengalaman itu.

USAHA menarik minat ramai tentang EV.
USAHA menarik minat ramai tentang EV.

Menurutnya untuk syarikat pengangkutan, ini adalah peluang terbaik bagi bertukar ke arah kenderaan emisi rendah dan ZEVA akan menyokong mereka dengan program sokongan pengetahuan dan maklumat, kemudahan pengecas dan penyediaan kenderaan.

Ini adalah susulan menerusi Belanjawan 2024 yang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas perbelanjaan kemudahan pengecasan EV untuk tempoh 4 tahun dan potongan cukai bagi kos sewaan EV untuk tempoh 2 tahun lagi.

Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dengan peruntukan 95 bilion yang turut memasukkan pembangunan industri EV membolehkan ia merangsang ekosistem terutama apabila industri automotif tempatan bersedia untuk bertukar ke EV.

Antara lain tentang EV dalam Belanjawan 2024 ialah untuk menyokong keperluan projek LRT3, Prasarana Malaysia Berhad bersetuju untuk memperoleh 150 bas elektrik dan membina 3 depoh bas dengan kos RM600 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 6:30 AM