MEDIA bergambar di salah sebuah pengecas EV TNB Electron di Paka, Terengganu.
MEDIA bergambar di salah sebuah pengecas EV TNB Electron di Paka, Terengganu.
Lizam Ridzuan

 

Semakin banyak model kenderaan elektrik (EV) mula ditawarkan di dalam pasaran tempatan dan sudah pasti ia bukan sahaja lebih efisien malah menawarkan ciri-ciri tenaga baharu dan mesra alam. 

Untuk itu 'ZEVA East Coast Media Roadtrip' diadakan baru-baru ini meliputi model-model EV daripada pelbagai jenama ke pantai timur bukan sekadar menguji prestasi kenderaan tetapi bagi melihat akan kemudahan pengecasan yang terdapat di sepanjang laluan.

Perjalanan meliputi Lebuhraya Karak menuju Gambang, Paka, Terengganu dan Kuantan, Pahang sebagai destinasi yang dituju yang dilepaskan Pengarah Program

(PMO Kenderaan Elektrik) Tenaga Nasional Berhad dan Presiden Persatuan Kenderaan Beremisi Sifar (ZEVA), Wan Ahmad Zam Zam Abd Wahab.

Dianjurkan ZEVA iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempromosikan penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV) dalam industri pengangkutan di Malaysia.

ZEVA bekerjasama dengan individu dan organisasi yang berkaitan (kerajaan dan bukan kerajaan) untuk menyumbang kepada pelaksanaan undang-undang, dasar dan/atau piawaian BEV.

Misi ZEVA adalah menggalakkan penggunaan EV bagi mengurangkan pelepasan karbon dan menyumbang kepada sistem pengangkutan lebih mampan.

Pada program itu penulis memulakan pemanduan dengan model Hyundai Ioniq 6 dengan keupayaan jarak capaian sehingga 500 kilometer (km).

ANTARA kenderaan EV yang disediakan untuk media.
ANTARA kenderaan EV yang disediakan untuk media.

Sememangnya kenderaan ini mempunyai kapasiti bateri 77kwh membolehkan lebih jarak perjalanan dicapai.

Setibanya di kawasan Rehat dan Rawat Gambang, media diberi penerangan berkenaan pengecasan EV di stesen Petronas disediakan Gentari yang menawarkan pengecasan aliran terus (DC).

Menurut Gentari, terdapat hampir 300 pengecas di seluruh negara dan menyasarkan 400 unit pada hujung tahun ini dan pengguna yang ingin menggunakan pengecas itu boleh menempah menerusi aplikasi Setel JomCharge dan chargEV pada kadar RM2.20 setiap minit.

Perjalanan kemudian diteruskan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menuju Kawasan Rehat dan Rawat, Paka Arah Utara yang mana terdapat pengecas TNB Electron yang disediakan Tenaga Nasional Berhad.

Ia menyediakan pengecas DC 180kW (90kw setiap satu) dan ia boleh ditempah menggunakan aplikasi GO TO-U dengan kadar sekitar RM2.05 sehingga RM2.35 seminit.

Buat masa ini TNB Electron sudah beroperasi di tiga lokasi iaitu Paka, Kawasan Rehat dan Rawat Lebuhraya PLUS, Tapah arah Utara dan Ayer Keroh Arah Utara serta enam lokasi lagi sedang dalam perancangan untuk dibuka pada masa hadapan.

Selepas ke Paka, konvoi ke Kuala Paka di dalam Dungun untuk sesi fotografi sebelum ke Indera Mahkota, Kuantan bagi meninjau satu lagi pengecasan disediakan Yinson Greentech.

Ia menawarkan dua pengecas DC 60 kW pada kadar RM1.20 untuk setiap kWh menggunakan aplikasi chargEV.

Secara keseluruhan sepanjang perjalanan itu tidak ada satu EV yang kehabisan bateri dan selamat sampai ke destinasi pengecasan untuk menambah kuasa bagi perjalanan seterusnya.

Selain itu menerusi penggunaan EV ia dilihat sebagai lebih kepada merancang perjalanan itu dengan teliti dan mengutamakan pemanduan berhemah iaitu memandu pada kelajuan yang selamat.

DEMO pengecasan menggunakan aplikasi.
DEMO pengecasan menggunakan aplikasi.

Mengenai pengecas EV pula pelbagai pihak seperti TNB Electron, Gentari dan Yinson Greentech sedang aktif melakukan usaha sama dan merancang bagi menambah lagi lokasi pengecas untuk kemudahan pengguna.

Ketika balik dari Kuantan, penulis berpeluang memandu uji Audi Q8 E-Tron dengan jarak kapasiti bateri sekitar 450km dan setibanya di Bangsar, Kuala Lumpur masih berbaki 140km tanpa perlu berhenti mengecas.

Sememangnya EV adalah salah satu langkah ke arah kemampanan alam sekitar dan bakal dinikmati lebih banyak golongan apabila kemudahan dan penggunaannya semakin bertambah pada masa hadapan.

Model-model EV yang terbabit ialah BYD Atto 3, Hyundai Ioniq 5, Ioniq 6, Kia, Audi Q8 E-Tron, Kia EV6, Renault Zoe, smart#1 dan Neta V.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 6:11 AM