TENGKU Zafrul (tengah) selepas melancarkan Pusat Pengalaman rydeEV Yinson GreenTech di Kuala Lumpur. - Gambar Facebook Tengku Zafrul.
TENGKU Zafrul (tengah) selepas melancarkan Pusat Pengalaman rydeEV Yinson GreenTech di Kuala Lumpur. - Gambar Facebook Tengku Zafrul.

KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) berharap Kementerian Kewangan mempertimbangkan pemberian insentif yang bertujuan menggalakkan pembelian kenderaan elektrik (EV) dalam Belanjawan 2024 akan datang.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Miti menerima cadangan hebat daripada pemain industri dan rakyat untuk Belanjawan 2024, termasuk cadangan yang berkaitan ekosistem EV.

"Indonesia satu-satunya negara (Asean) yang memperkenalkan subsidi untuk EV bagi motosikal mereka.

"Ini (insentif untuk menggalakkan pembelian EV di Malaysia) menjadi satu cadangan baik untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2024. Saya yakin Perdana Menteri (selaku) Menteri Kewangan memberi pertimbangan sewajarnya," katanya selepas melancarkan Pusat Pengalaman rydeEV Yinson GreenTech di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai kemungkinan insentif EV dimasukkan dalam Belanjawan 2024.

Pusat Pengalaman rydeEV yang dilancarkan itu membolehkan pengunjung merasai masa depan mobiliti mikro dan kemudahan teknologi bateri boleh tukar Yinson GreenTech, mendaftar pakej pajakan untuk pemilikan atau pajakan berpatutan, mendapatkan e-motosikal mereka diservis atau dibaiki serta membeli barangan rydeEV.

Sementara itu, Tengku Zafrul dalam ucapannya berkata, Miti terus menyokong pertumbuhan infrastruktur pengecasan EV untuk kenderaan dua roda, sama seperti usaha kerajaan yang komited memasang 10,000 pengecas EV menjelang 2030.

Kerajaan juga terus menyokong dan memudahkan inisiatif serupa yang menyumbang kepada matlamat bersama iaitu Malaysia yang lebih bersih, hijau dan lebih makmur, katanya.

"Memandangkan bateri EV merangkumi sehingga 70 peratus daripada kos, kaedah pertukaran bateri boleh kurangkan kos pemilikan dengan ketara untuk pemilik e-motosikal.

"Dengan pemilikan sifar dan masalah penyelenggaraan, perkhidmatan langganan bateri ini mampu mempopularkan EV ke tahap baharu, yang mana pengguna boleh terus menghidupkan e-motosikal mereka dan menikmati tunggangan," katanya.

Beliau juga pada masa sama menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan menceburi industri EV dua roda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 7:01 AM