LEBIH 500 pemilik berkumpul di Pantai Balok, Pahang.
LEBIH 500 pemilik berkumpul di Pantai Balok, Pahang.
Rosli Ilham


KIRA-KIRA 500 pemilik kereta BMW pelbagai model berkumpul di Pantai Balok, Kuantan menerusi 'BMW Division Bimmers Convoi Gathering 2020' baru-baru ini.

Perhimpunan besar-besaran julung kali diadakan itu membabitkan 19 kelab BMW dari seluruh negara dan dianjurkan BMW Division Malaysia.

Setiausahanya, Mohamad Zaman Awang Kechik berkata, pada awal pagi, 200 kereta dari utara, selatan dan Kuala Lumpur berkumpul di Bentong sebelum peserta dari semua negeri berkumpul di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kuantan pada jam 12 tengah hari.

"Kami berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberi sokongan dan mengiringi kami sehingga ke Pantai Balok.

"Acara dimulakan dengan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya oleh Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali," katanya.

Beliau berkata, kemuncak acara pada petang itu adalah pertandingan Auto Show membabitkan lima kategori iaitu 'Rare', Ubah Suai, Standard, Ekzos dan Sistem Bunyi Terbaik.

Menurutnya, turut diadakan Anugerah Kelab Terbaik bagi 'Mthusiast BMW Motorsport Enthusiast' dan Anugerah Penyertaan Terbanyak bagi kelab E46 Bicom membabitkan 70 kereta.

Katanya, mereka turut menyampaikan sumbangan kepada tiga pusat tahfiz terpilih di Kuantan.

"Perjumpaan ini amat bermakna kerana membabitkan kelab pelbagai model BMW dari seluruh negara dan sambutan kira-kira 500 pemilik kereta memang menakjubkan.

SEBAHAGIAN peserta yang menyertai konvoi.
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai konvoi.

"Sudah pasti ini menjadi satu permulaan baik untuk aktiviti seterusnya, lebih-lebih lagi membabitkan ahli kelab daripada pengeluar model sama," katanya.

Program dirasmikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Datuk Hamdan Hussain.

Kelab terbabit dalam program berkenaan adalah BMW Division Malaysia, East Coast Bimmer, E46 Bimmerz Club Malaysia, E36 Fanatics Motorsport Club, Bimmers Official Society, Lady Bimmers Official Society, Kelantan BMW Motorsport Club, E46 Hardcore Bimmerz dan BMW Society Malaysia.

Turut serta BMW Kelab Sahabat E46, 5S BMW Group, E46 BCOM Motorsport Club, Manjung Bimmers Club, BMW Northern Group, Mthusiast BMW Motorsport Enthusiast, Bimmerianz, Melaka Bimmers Club, Terengganu Bimmers Club dan BMW E60 Official Club Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 6:45 AM