Tiga varian baru ditawarkan berasaskan model Panamera sport saloon. FOTO Ihsan SDAP
Tiga varian baru ditawarkan berasaskan model Panamera sport saloon. FOTO Ihsan SDAP
Lizam Ridzuan


SIME Darby Auto Performance (SDAP), pengedar utama kenderaan mewah Porsche melancarkan model serba baru Panamera Sport Turismo yang pertama kali diperkenalkan untuk pasaran tempatan.

Tiga varian ditawarkan iaitu Panamera 4 Sport Turismo, Panamera 4 E-Hybrid Sport Turismo dan Panamera Turbo Sport Turismo yang diasaskan daripada model Panamera sport saloon, dengan pintu but luas, ruang kemasukan rendah, peningkatan ruang simpanan beg dan tempat duduk konfigurasi 4+1.

Ketua Pegawai Eksekutif SDAP Arnt Bayer berkata, model itu mengetengahkan inovasi terkini daripada segi rekaan dan teknologi sesuai untuk kegunaan harian atau gaya hidup hujung minggu.

“Walaupun ia dalam segmen baru, namun ia mengekalkan karakter prestasi dan rekaan asal Porsche ditambah dengan ciri seperti Kokpit Termaju Porsche, sistem casis kendalian gandar belakang dan Kawalan Casis Dinamik Porsche (PDCC Sport).

“Semua model Panamera Sport Turismo juga dilengkapi dengan Pengurusan Cengkaman Porsche (PTM) iaitu sistem pacuan semua roda yang dikawal secara elektronik oleh klac plat-pelbagai,” katanya pada majlis pelancaran di Kuala Lumpur, hari ini.

Kenderaan ini dikuasakan dengan tiga pilihan enjin iaitu 3.0 liter V6 Turbo (Panamera 4) yang menjana kuda 330 hp, 2.9 liter V6 biturbo dengan motor elektrik (Panamera 4 E-Hybrid) (462 hp) dan 4.0 liter V8 biturbo (550 hp).

Ia dijual pada harga bermula RM990,000 (Panamera 4 Sport Turismo), RM1.12 juta (Panamera 4 E-Hybrid Sport Turismo) dan RM1.94 juta (Panamera Turbo Sport Turismo) dengan empat tahun jaminan dan pakej penyelenggaraan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 4:37 PM